Selasa, April 22, 2014

MH192 : Tayar pecah punca patah balik?

Beginilah keadaan tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanan pesawat MH192 yang pecah, semalam yang mengakibatkan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas di KLIA.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangalore, India terpaksa membuat pendaratan cemas di sini pagi tadi selepas salah sebuah daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanannya pecah semasa berlepas.

Pesawat jenis B737-800 yang dijadualkan tiba pada pukul 11.35 malam semalam di Bangalore itu terpaksa berpatah balik ke KLIA selepas dimaklumkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (ATC) bahawa terdapat serpihan tayar ditemui di landasan.

MAS dalam kenyataannya berkata, pusat kawalan trafik dengan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi (OCC) MAS pada 10.25 malam, kira-kira 16 minit setelah pesawat itu berlepas bagi memaklumkan kerosakan yang berlaku.

"Pesawat ini yang berlepas dari KLIA ke Bangalore pada pukul 10.09 malam semalam, selamat mendarat semula di lapangan terbang yang sama pada pukul 1.56 pagi tadi, membawa 159 penumpang dan tujuh krew pesawat.

"Pesawat ini terpaksa berpatah balik selepas pihak ATC memaklumkan terdapat serpihan tayar di landasan dan dengan segera OCC dimaklumkan berhubung keadaan itu. Berikutan keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihak MAS, pesawat ini diarahkan untuk berpatah balik," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua penumpang dan krew pesawat selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua penumpang kemudian telah dibawa ke hotel berdekatan sebelum menaiki pesawat berikutnya dari KLIA ke Bangalore pada pukul 3.30 petang hari ini.


Dalam pada itu, jelas kenyataan tersebut, sebaik sahaja pesawat itu diarahkan berpatah balik, Unit Menyelamat Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS) telah dikerahkan bagi langkah berjaga-jaga.

"Pihak MAS memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi oleh penumpang pesawat ini.

"Semua penumpang telah dibawa ke tempat penginapan berdekatan sementara menunggu penerbangan MH192 yang dijadualkan semula untuk berlepas dari KLIA pada pukul 3.30 petang ini dan dijangka tiba pukul 5 petang pada hari sama," katanya.

Pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang, Kapten Nor Adam Azmi bersama pembantu juruterbang, Prakash Kumar.

Sementara itu, Siasat segala kemungkinan - Hishammuddin!

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat segera sebarang kemungkinan termasuk berlakunya unsur sabotaj dalam kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) sejak kebelakangan ini termasuk yang terbaharu melibatkan MH192 yang terpaksa berpatah balik ketika dalam perjalanan ke Bangalore, India, awal pagi ini.


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk segala kemungkinan yang timbul berhubung kejadian yang menimpa MAS termasuklah kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan ke Beijing, China.

"Biarpun MAS di bawah Khazanah Nasional, namun pihak kami mahukan satu laporan lengkap disediakan secepat mungkin. Ini kerana sudah banyak insiden menimpa MAS termasuk kes kehilangan MH370 dan laporan itu perlu diserahkan kepada kementerian ini dan Kabinet pada Rabu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini awal pagi ini selepas menemui krew dan penumpang pesawat MH192.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin memuji kecekapan juruterbang MH192, Nor Adam Azmi Abdul Razak, melaksanakan tugasnya dengan profesional dalam memastikan kesemua 166 penumpang dan anak kapal selamat, semasa mendarat cemas.


"Walaupun keletihan, para penumpang sempat meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecekapan juruterbang sehingga berjaya mendaratkan pesawat dan kesemua penumpang terselamat. Perkara ini diluahkan semasa saya berjumpa dengan mereka dan mereka amat berterima kasih kepada juruterbang pesawat itu,’’ katanya.

Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang, Prakash Kumar bagaimanapun enggan ditemu bual pemberita dan meninggalkan tempat itu bersama Hishammuddin.

Nor Adam dilihat tersenyum ketika Hishammuddin memakaikan topi juruterbang ke kepalanya sebagai tanda penghargaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat segala kemungkinan termasuk unsur sabotaj seperti yang dimahukan oleh Hishammuddin.

"Kita akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyiasat perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Tahunan Interpa di Kuala Lumpur, hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan