Sabtu, Mac 15, 2014

#PRK Kajang : PKR ketandusan calon berwibawa?


Kemunculan Datin Seri Dr. Wan Azizah berdepan dengan Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memang sudah diduga. Ia jelas memperlihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketandusan pemimpin untuk diketengahkan. Suatu ketika dulu Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding.

Sekarang Anwar tidak dapat bertanding kerana kes mahkamahnya dan Wan Azizah pula tampil sebagai pengganti. Ia adalah suatu fenomena yang tidak sihat seolah-olah PKR mengalami masalah kekontangan kepimpinan yang berwibawa.

Anwar mungkin menghadapi hukuman lima tahun penjara. Ia bergantung kepada rayuan di Mahkamah Persekutuan. Keterampilan Wan Azizah sebagai pengganti memperlihatkan elemen kronisme semakin menebal dalam PKR. Mengapa tidak letakkan Abdul Rahim Ghouse, Rafizi Ramli atau Saifuddin Nasution?

Meletakkan Wan Azizah sekadar mohon simpati pengundi tidak memadai. Politik yang berkualiti bukan politik memohon simpati. Politik berkualiti adalah kemampuan PKR meletakkan calon yang mempunyai kaliber untuk mengisi kepentingan rakyat. Ia bukan sekadar mengisi tempat kosong atau politik proksi.

Apa yang berlaku di Kajang mempunyai implikasi yang lebih jauh dari itu. Mulanya Anwar ingin bertanding kerana berhasrat menjadi Menteri Besar Selangor dan melakukan lonjakan ke Putrajaya. Anwar boleh merancang tanpa berunding dengan rakan pakatan. Allah maha mentakdirkan ia tidak terjadi.

Sekiranya ditakdirkan Wan Azizah, menang tidak mungkin dia ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan melakukan lonjakan ke Putrajaya.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diketahui sekian lama ialah proksi Wan Azizah. Wan Azizah tidak mampu melakukan ini. Kesan sampingannya ialah Azmin Ali terpaksa mengatur strategi baharu menghadapi realiti politik yang ada.

PRK DUN Kajang pada hemat penulis tidak boleh menyelesaikan politik Selangor apa lagi politik kepimpinan PKR. Semasa Anwar masih ada, kes Abdul Khalid-Azmin tidak mampu dilerai apalagi takdir akhirnya Anwar ke penjara. Tentu keadaan lebih rumit lagi.

Anwar dikatakan ingin menjadi Presiden PKR Mei ini. Ia bermakna Wan Azizah kena mengundurkan diri. Azmin dijangka bersaing jawatan Timbalan Presiden dengan Abdul Khalid. Azmin menguasai PKR Selangor dan Abdul Khalid menguasai pentadbiran negeri.

Sekiranya Azmin menang dan ditakdirkan Anwar menjadi Presiden, hubungan Anwar-Azmin menjadi lebih kuat dan menyebabkan Abdul Khalid-Azizah akan menghadapi masalah.

Dan sekiranya Abdul Khalid pula menang, krisis akan berlaku di Selangor. Kalau begitu penampilan Wan Azizah dalam pilihan raya di Kajang untuk apa?

Kalau isu kepimpinan dalam PKR masih kusut mana mungkin Wan Azizah dapat memberi tumpuan kepada penduduk Kajang. Ditakdir Anwar ke penjara lagi, Wan Azizah tentu akan menumpu banyak masa ke penjara bukan meraikan orang Kajang.

Apakah dalam keadaan begitu, bijak bagi pengundi Kajang diwakili Wan Azizah? Pengundi Kajang tidak harus terikat dengan simpati dan fahaman kroni. Kronisme adalah sesuatu yang tidak baik dalam kepimpinan politik.

PKR selalu menghubungkan dirinya memperjuangkan keadilan, menentang korupsi dan nepotisme. Sedangkan ia sangat jelas berlaku dalam amalan kepimpinan. Kalau dalam kepimpinan PKR ia berlaku, bolehkah ia tidak berlaku sekiranya PKR dan pakatan pembangkang dibenar memerintah negara?

Pengundi Kajang ialah orang berfikir. Ramai kelompok kelas menengah dan para akademik di sana. Kes Anwar di mahkamah adalah jelas. Menyatakan ia konspirasi, sekadar helah. Anwar mungkin menggunakan isu ini untuk memikat pengundi yang simpati.

Pengundi Kajang harus memikirkan nasib negara masa depan. Pastinya pengundi perlukan pemimpin yang berintegriti. Rekod baik dan kesinambungan adalah penting bagi menentukan jenis kepimpinan yang harus dipilih.

Simpati, emosi dan persepsi yang tidak kena pada tempatnya menyalahi agama. Agama menganjurkan imej jernih dan wibawa tinggi yang patut ada pada pemimpin. Pemimpin harus memiliki contoh teladan yang menjadi sumber ikutan.

Kajang adalah tempat yang terbaik membina senario baharu dalam politik Malaysia. Kalau politik ditentukan oleh sentimen perkauman dan simpati melulu, ia memberi petanda tidak baik bagi masa depan politik Malaysia.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan