Sebuah kapal Tentera Laut India, INS Kesari yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 kembali ke pangkalannya di Port Blair, di Kepulauan Andaman dan Nicobar, semalam selepas gagal mengesan pesawat MH370.
Sebuah laman web terkenal di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kemungkinan pesawat MH370 terlibat dalam satu komplot rahsia seperti yang pernah berlaku pada sebuah lagi pesawat Boeing pada tahun lalu membabitkan dua penyeludup dadah antarabangsa menggunakan laluan di Lautan Hindi dalam perjalanan dari Mali dan mendarat di Papua New Guinea (PNG) untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pegawai AS dan Vanuatu atas motif yang tidak diketahui.
Laman web Beforeitsnews.com melaporkan, pesawat MH370 dipercayai terlibat dalam komplot yang hampir serupa dengan meniru taktik dua penyeludup dadah kelahiran Vietnam, Vu Anh Quan Saken dan adiknya, Charles Henry Quan itu, yang menggunakan lapangan terbang terpencil seperti di Maldives atau PNG bagi mengelakkan dikesan kerana kawalan trafik udara di kedua-dua negara itu didakwa tidak ketat.
Pesawat MH370 didakwa mungkin menjadikan PNG sebagai tempat untuk mengisi minyak memandangkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Port Moresby hanya memakan masa lima jam.
Laman web popular yang membincangkan teori-teori misteri itu melaporkan dalam kejadian pada tahun lalu itu, ia membabitkan pesawat Boeing 737 melakukan penerbangan atau pendaratan tanpa dikesan menunjukkan kelemahan serius koordinasi antara agensi penerbangan untuk berkongsi maklumat.
Dalam kejadian pada 17 Januari 2013 itu, Beforeitsnews.com melaporkan, pesawat berkenaan berlepas dari Britain menuju ke Mali untuk mengambil dua penyeludup dadah terbabit yang juga dikenali sebagai Saken Brothers yang mendapat kerakyatan Vanuatu, sebelum menuju ke PNG.
Menurut laporan itu, pesawat berkenaan dalam perjalanannya ke PNG telah singgah di Maldives atas alasan untuk mengisi minyak, menggunakan ruang udara di Lautan Hindi, lokasi di mana MH370 dilaporkan kemungkinan hilang.
Tambah laporan itu, pesawat yang turut dinaiki tiga bekas askar Britain yang menjadi pengawal peribadi kepada Saken Brothers itu, mendarat di Port Moresby tanpa memaklumkan kepada menara kawalan, sekali gus menunjukkan potensi MH370 melakukan tindakan sama ada untuk mengisi minyak di situ.
"Kumpulan penyeludup dadah itu menggunakan laluan di bahagian selatan Lautan Hindi melalui Maldives bagi menjarakkan pesawat beribu-ribu kilometer dari kawasan darat terdekat bagi mengelakkan pesawat Boeing 737 yang dinaiki mereka (penyeludup dadah itu) dikesan," jelas laporan itu.
Maldives, merupakan negara yang mempunyai 1,190 pulau di Lautan Hindi, terletak di barat daya Sri Lanka dan India, serta memakan masa perjalanan selama lima jam dari Kuala Lumpur.
Bagaimanapun insiden kehilangan' pesawat Boeing 737 pada 17 Januari 2013 itu tidak dihebohkan media seperti yang berlaku kepada MH370 kerana kes tersebut melibatkan dua penyeludup dadah terkenal mengadakan satu pertemuan dengan beberapa pegawai AS dan Vanuatu di PNG atas motif yang tidak diketahui.
Menurut Beforeitsnews.com, semua suspek yang terlibat hanya didakwa atas kesalahan mendarat secara haram tanpa pengetahuan pihak berkuasa lapangan terbang selepas barangan seludup tidak ditemukan dan dipercayai disorok oleh Saken Brothers di Maldives ketika pesawat itu mengisi minyak.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa PNG dan pihak kastam hanya mengetahui tentang kegiatan penyeludupan dadah oleh Saken Brothers pada 25 Januari tahun yang sama selepas dimaklumkan oleh Pusat Penyelarasan Membanteras Jenayah Pasifik dan Interpol, sekali gus menunjukkan kelemahan saluran maklumat pihak berkuasa negara itu.
"Apa yang lebih menarik adalah pihak Kedutaan Vanuatu di Brussels dan PNG saling berhubung untuk memberi kebenaran kepada pesawat itu untuk berlepas, namun tiada pihak memaklumkan tentang kehadiran pesawat itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang PNG," jelas laman web tersebut.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan