Ahad, Mac 30, 2014

#MH370 Hari ke-23: Hubungan perdagangan M'sia-China terus mantap?


Malaysia yakin hubungan pelaburan dan perdagangan dengan negara China akan terus mantap walaupun terdapat perasaan tidak puas hati rakyat negara itu berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan China memahami situasi sukar dialami Malaysia dalam menjalankan usaha mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lepas.

"Kerajaan China memahami keadaan ini dan mereka berterima kasih dengan segala usaha dilakukan Malaysia dalam mencari pesawat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Umno bahagian Jeli bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di Seri Bendahara di sini.

Beliau berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak 40 tahun lepas.

Katanya kementerian setakat ini belum melihat sebarang tanda kemerosotan aktiviti pelaburan dan perdagangan melibatkan China di negara ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sementara itu, Pelajar China gesa media henti burukkan imej Malaysia!

Pelajar China yang sedang mengikuti pengajian di Malaysia dan mereka yang pernah menuntut di negara ini, menggesa media China dan rakyat negara itu supaya tidak memburukkan imej Malaysia berikutan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370.

PRESIDEN Persatuan Alumni Pelajar Cina Malaysia (MACSA), Adam Huang (duduk, tengah) menunjukkan sijil penghargaan mengenai bantuan kerajaan Malaysia kepada China semasa gempa bumi tahun lalu ketika mengadakan sidang media mengenai tragedi pesawat MH370 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Presiden persatuan Alumni Pelajar China Malaysia (MACSA) Adam Huang berkata persatuan itu telah menghubungi media di China melalui kedutaan negara mereka di sini untuk memintanya tidak lagi mengutuk Malaysia.

"Kami telah menghubungi media di China supaya berhenti daripada mengutuk dan memburukkan imej Malaysia. Kami juga minta mereka membantu memulihkan kepercayaan rakyat China terhadap Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Di samping itu, kata beliau, MACSA memulakan usaha memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar berhubung tragedi itu melalui media sosial.

"Sejak minggu pertama tragedi ini, kami menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada negara ini dan memberi penjelasan tentang keadaan sebenar di sini," katanya.

Huang berkata pengguna media sosial juga diminta tidak lagi melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa Malaysia, kerana perbuatan itu memburukkan lagi keadaan.

Ditubuhkan pada 5 Jan 2012, persatuan itu kini mempunyai lebih 1,000 anggota. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa penerbangan pesawat itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Ia berdasarkan analisis data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini oleh syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan