Sabtu, Februari 08, 2014

Api cuba dipadam namun baranya masih lagi kuat?


Hasrat Anwar Ibrahim untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menarik untuk dianalisis. Anwar cuba memadam api krisis tetapi baranya masih kuat. Ia berbangkit kerana kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada krisis dalaman yang sekian lama tidak terlerai.

Simptom daripada api itu adalah bertanding di DUN Kajang tetapi akar-sebabnya (root-causes) masih tidak terungkai. Ada senario yang lebih besar sedang terjadi.

Semua orang tahu bahawa Anwar gagal menyelesaikan kemelut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim-Dr. Wan Azizah Wan Ismail -Nurul Izzah Anwar dengan Azmin Ali. Isu itu telah membara sekian lama. Puncanya bukan politik tetapi ia dikatakan bersifat peribadi dan melibatkan Anwar.

Tiba-tiba Abdul Khalid menjadi mangsa dan Azmin mula menonjol dan Wan Azizah tidak berani menyatakan apa-apa.

Bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin jauh lebih berani daripada Wan Azizah sendiri. Atau suara Faekah adalah suara Wan Azizah.

Anwar cuba melakukan lonjakan untuk membina imejnya. Kajang amat dekat dengan Putrajaya. Orang PKR berpendapat memang di Kajang ada harapan untuk menawan Putrajaya. Ini suatu sandiwara paling hebat abad ini.

Memang impian Anwar untuk menawan Putrajaya tidak pernah padam seperti terus menyalanya api krisis Abdul Khalid-Azmin. Sebelum ke Putrajaya, Anwar harus ada kemampuan menyelesaikan masalah Wan Azizah dengan Azmin.


Wan Azizah ialah Presiden dan isteri manakala Azmin ialah anak didik Anwar dalam politik. Kalau mereka berjiwa besar, api dalam sekam sudah lama terpadam.

Anwar cuba memadam api dengan melakukan strategi baharu. Dulu selepas PRU-13 kecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan. Demonstrasi jalanan berlaku tetapi strategi tidak menjadi. Pengikutnya berbaring di pintu masuk bangunan Parlimen tetapi Anwar tetap mengangkat sumpah. PKR tidak bertambah kukuh. Ramai pemimpinnya di Sabah meninggalkan PKR. Ia suatu kegagalan nyata kepimpinan Anwar.

Anwar bakal menghadapi isu Mahkamah Rayuan tidak lama lagi. Ini suatu tekanan untuk beliau. Ditakdirkan Anwar didapati bersalah, karier politiknya akan tergugat. Sekiranya Anwar menang, pihak yang kalah akan merayu ke Mahkamah Persekutuan pula.

Dikatakan Anwar kalau menang di Kajang bakal menjadi Menteri Besar. Apakah semudah itu prosesnya. Perkenan Sultan adalah syarat penting. Kalangan orang muda Pas merasa tidak senang dengan apa yang berlaku. Apakah ia ibarat asap dan bakal hilang ditiup angin kerana kepatuhan kepada tahaluf siasi.

Bila PKR membuat keputusan penting strategi menawan Putrajaya melalui Kajang, DAP dan Pas tidak dirundingi. Bila keputusan sudah dibuat, DAP dan Pas terpaksa bersetuju. Cara begini tidak selari dengan kaedah tahaluf siasi.

Pas masih tidak bising kerana baginya Anwar adalah aset dan DAP terpaksa jadi pak turut kerana kepentingan tertentu disebabkan Anwar adalah aset juga.


Anwar bernasib baik kerana mempunyai pengikut yang taksub. Tetapi pengundi Kajang belum tentu begitu. Ditakdirkan Anwar kalah strategi ke Putrajaya akan gerhana. Kalau menang pun belum tentu menjadi menteri besar. Mana tahu Pas tiba-tiba teringin menjadi menteri besar kerana jumlah kerusi Pas mengatasi kerusi PKR di Selangor.

Meski Anwar melonjak naik, api dalam sekam masih belum mampu dipadam. Ia akan tetap menyala akhirnya dan silap perhitungan boleh membakar diri.

Azmin semakin gagah dengan strategi baru Anwar ini dan Khalid hilang wibawa sebagai orang politik. Apa dosa besar Khalid hingga menyebabkan dia perlu berundur.

Sandiwara ini akan terus berjalan. Episod demi episod akan terus terjadi. Episod terbaru bertanding di Kajang ini menjadi suatu cara mengalihkan perhatian daripada episod-episod lalu yang ternyata gagal.

Pengundi dan rakyat sedang dibuai dengan mimpi baru ke Putrajaya. Dulu dengan slogan "Ubah! Ini kalilah" ternyata tidak menjadi. Sekarang strateginya menawan Kajang, jadi Menteri Besar Selangor dan menawan Putrajaya untuk jadi Perdana Menteri. Penulis yakin ia juga akan gagal. Ini adalah politik Mat Jenin.

Perjuangan politik menuntut arah yang jelas dan tidak berliku-liku. Perancangan boleh dibuat tapi akhirnya orang yang percaya kepada takdir yakin Allah Maha Penentu. Tidak selamanya pengundi tidak berfikir.

Politik taksub dan penuh emosi tidak selari dengan proses demokrasi dan jauh sekali seiring dengan syariah. Politik cara Islam mendukung kebenaran dan ketelusan.

Strategi Machievelli the end justify the means - matlamat menghalalkan cara tidak akan selamanya berlaku. Ada ketika ia kecundang. Penulis yakin Anwar bakal kecundang lagi. Fikir dan renongkanlah! Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan