Penerima-penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 menyerbu meja urusetia pada majlis penyampaian BR1M Daerah Kuching di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kuching, Sarawak kelmarin.
Kelmarin, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 3.00) 2014 yang memberi manfaat kepada 7.9 juta isi rumah dengan nilai peruntukan sejumlah RM4.5 bilion.
BR1M diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang layak tanpa mengira apa juga fahaman politik, agama mahupun latar belakang keturunan mereka. Walaupun sejak BR1M pertama kita sering menyaksikan program ini tidak terlepas daripada dipolitikkan oleh pakatan pembangkang namun kerajaan BN tidak menghiraukannya.
Apa yang lebih penting bagi kerajaan ialah berusaha sedaya upaya mencari apa juga jalan yang boleh mengurangkan beban rakyat dan memberikan kesejahteraan kepada mereka.
Sebab itulah ketika berucap di Pekan, semalam, Najib berkata, Tak apalah orang tuduh kita, itu soal politik. Kalau dia kata kita baik susahlah dia. Memang pembangkang akan tuduh kita, apa kita buat tak akan dia nak kata baik. Dia akan cari jalan kutuk kita. Tapi tak apa, kuatkan iman kita, peganglah kepada ajaran Islam....insya-Allah akan diredai."
Sememangnya Najib sudah masak dengan perangai pembangkang yang tidak akan menyokong apatah lagi memuji sebarang usaha kerajaan bagi membantu rakyat. Bagi pembangkang jika rakyat gembira dengan dasar dan program kerajaan ia ibarat mengundang bencana politik kepada mereka.
Justeru kita tidak perlu terkejut jika pakatan pembangkang akan terus konsisten untuk memburuk-burukkan pemberian BR1M ini termasuklah berhujah bahawa ia hasil daripada kutipan cukai rakyat.
Fakta ini kita tidak nafikan tetapi apa salahnya jika kerajaan mengembalikan ia kepada rakyat, kenapa pembangkang mahu meracuni fikiran rakyat dengan politik songsang mereka?
Pembangkang sebenarnya sudah banyak mengajar rakyat negara ini supaya tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur dengan apa yang dinikmati. Mereka akan berhujah sememangnya sudah menjadi tanggungjawab kerajaan meningkatkan taraf hidup dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat
Tetapi apa yang anehnya apabila kerajaan melaksanakan program bagi membantu rakyat termasuklah BR1M, mereka menuduh pula ia bermotif politik dan kerajaan BN ingin mencari sokongan politik. Dalam kata mudah, buatlah apa sahaja, semua tidak akan dipandang positif oleh pembangkang.
Mungkin disebabkan ajaran inilah ada antara penyokong pembangkang yang langsung tidak berterima kasih kepada kerajaan sebaliknya mengeluarkan pelbagai hujah untuk menghalalkan langkah mereka untuk menerima BR1M, biar pun kelompok inilah yang selalu mengecam kerajaan dengan menuduh BN zalim dan sebagainya.
Dalam keghairahan pembangkang mengkritik segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban hidup rakyat, mereka sendiri tidak pernah tampil dengan sebarang cadangan atau pandangan bagi tujuan itu.
Sebelum ini, kita melihat bagaimana pembangkang begitu ghairah menyalahkan kerajaan berhubung kenaikan harga barang. Pelbagai tuduhan mereka lemparkan tetapi di negeri yang mereka perintah seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan tidak ada satu usaha pun yang dilakukan bagi membantu rakyat.
Ini berbeza dengan kerajaan yang menyusun pelbagai strategi bagi menangani permasalahan itu termasuklah mengwujudkan Jawatankuasa Kuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga mengerahkan seluruh kementerian khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencari mekanisme bagi membolehkan rakyat mendapat keperluan asas dengan harga lebih murah.
Ia disusuli pula dengan gerakan turun padang bagi memantau harga barang tetapi persoalannya pernahkah kita mendengar pakatan pembangkang memuji usaha kerajaan itu? Sudah pasti tidak!
Sebaliknya, apa yang kerap kita saksikan, pembangkang akan mempolitikkan segala-galanya.
Apa yang lebih malang, turut bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ialah Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan sudah pasti memahami keperluan untuk berterima kasih kepada orang yang berbuat kepada kita serta bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah melalui usaha kerajaan BN.
Bagaimanapun setakat ini, kita melihat kerajaan BN tidak pernah tergugat atau terganggu dengan mainan politik pembangkang. BN yang diberi mandat untuk memerintah negara ini terus menyusun pelbagai program demi kepentingan rakyat.
Inilah selaras dengan penegasan yang dibuat oleh Najib dalam ucapan beliau ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013 yang antara lain beliau menegaskan:
Satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun, kita bukanlah barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk bersimpuh dan berdiam diri.
BN mengambil resminya padi, makin merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari masa hingga masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat, demi negara."
Oleh itu biarlah pembangkang terus dengan mainan politik mereka demi memburu cita-cita untuk menguasai Putrajaya. Berdasarkan tindak tanduk mereka selama ini sudah terbukti pembangkang bukanlah kelompok yang diwujudkan untuk membela nasib rakyat tetapi hadir ke persada politik tanah air hanya untuk merebut kuasa.
Mereka cuba memaparkan bahawa mampu melakukan jauh lebih baik daripada kerajaan BN jika memerintah negara tetapi saksikanlah keadaan di negeri-negeri di bawah takluk mereka. Terlalu banyak dan kemelut yang berlaku sehingga jawatan Menteri Besar pun menjadi rebutan sehingga memaksa sebuah pilihan raya kecil diadakan.
Kita harus mengakui bahawa bukan mudah untuk memberi penjelasan kepada kelompok yang sudah terhasut dengan mainan politik pembangkang tetapi kerajaan BN sudah membuktikan tidak akan berputus asa apatah lagi mengalah.
Kerajaan BN mempunyai tanggungjawab untuk memakmurkan negara ini dan memberi kesejahteraan kepada rakyatnya. Kalau mahu ikut rentak pembangkang mungkin sampai kiamat pun belum tentu mereka akan menyokong apa yang kerajaan lakukan.
Apa yang lebih penting ialah kerajaan BN memahami bahawa segala yang dilakukan adalah atas niat yang ikhlas demi rakyat, biarlah pembangkang dengan sandiwara politiknya kerana akhirnya bak kata Najib;
Apa pun kebaikan yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang kita lakukan, ada saja yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata kawan-kawan di seberang sana. Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua."
Oleh : Zulkifli Bakar
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan