Khamis, Januari 30, 2014

PAS Bantah Anwar Bertanding DUN Kajang?


PAS Selangor menyuarakan bantahan terhadap hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, terutamanya jika langkah itu bertujuan untuk beliau menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim dilaporkan malaysia-chronicle.com
mengkritik tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kajang, Lee Chin Cheh yang meletak jawatannya sebagai langkah untuk membolehkan Pilihanraya Kecil (PRK) diadakan di DUN itu.

“Pemuda PAS Selangor berpendapat bahawa adalah tidak wajar beliau untuk melepaskan jawatan tanpa sebab yang konkrit. Ia sebuah kisah mengkhianati kepercayaan orang ramai kerana Lee telah menerima majoriti besar 6,824 undi.

“Perbelanjaan bagi pilihan raya kecil juga melibatkan dana dari orang ramai yang agak besar,” katanya.

Perkara sama turut diutarakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Dr Mohd Khairuddin dilaporkan FMT berkata pihaknya menuntut penjelasan munasabah daripada PKR kerana pilihanraya kecil akan mengorbankan banyak masa, tenaga dan harta rakyat.

“Rakyat melihat situasi ini dengan penuh prihatin.

“Pergolakan kecil politik Selangor melibatkan jawatan Menteri Besar dan isu PKNS ditambah pula dengan perletakan jawatan ini boleh memualkan rakyat di saat rakyat dibelenggu dengan pelbagai isu negara khususnya melibatkan peningkatan kos hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkannya sebagai politik picisan, Mohd Khairuddin turut mengingatkan isu ini mampu menggugat keyakinan rakyat kerana Pakatan Rakyat sepatutnya fokus kepada mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi negara.


Katanya, Pakatan Rakyat perlu menilai semula sejarah Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang menyaksikan beberapa wakil rakyat dari PKR melompat dan meninggalkan parti yang telah merugikan dan menggugat keutuhan Pakatan Rakyat.

Manakala sejarah PRU ke-13 pula dimulakan dengan perletakan jawatan ADUN.

“Nasihat ini saya lontarkan sebagai peringatan bersama seluruh warga Pakatan Rakyat khususnya para pemimpinnya,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan Tantawi berkata, pihaknya kecewa kerana PKR tidak pernah berbincang dengan PAS mengenai konflik di Selangor sehingga menyebabkan berlakunya PRK Kajang.

“PAS ini apa ? Parti Tupper Ware? Tak bincang sepatah? Tak runding sikit pun? Politik apa ini? Cara dan skil mana digunakan,” soalnya.

Katanya, PKR tidak sepatutnya mempermainkan amanah rakyat yang berkerja, berjuang dan mengundi bersungguh-sungguh dalam PRU lalu.

“Saat rakyat berhempas pulas mencari sesuap nasi berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang yang melambung.

“Tak pasal-pasal cipta pilihanraya kecil dengan drama realiti perletakan jawatan,” katanya.

Manakala Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya menuntut penjelasan yang munasabah daripada Lee terhadap perletakan jawatan beliau secara bertulis kepada Ketua Dewan pemuda PAS Malaysia dengan kadar segera.

“Sekiranya penjelasan yang diberikan tidak munasabah maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi amaran akan mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera pilihanraya pemuda PAS di semua peringkat untuk tidak memberikan kerjasama di dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang nanti sekiranya calon yang ditentukan masih lagi dari kalangan calon PKR,” tegasnya.

Beliau menganggap tindakan Lee sebagai satu pengkhianatan amanah yang diberikan rakyat Selangor serta membelakangkan semangat ‘syura’ di kalangan Pakatan Rakyat Selangor.

Beliau juga kecewa terhadap pimpinan PKR Selangor yang mengamalkan agenda ‘politik egois’ dan ‘besar kepala’ dengan membelakangkan PAS dan DAP Selangor di dalam kerja buat mereka di Selangor.

“PKR Selangor berlagak seperti ‘boss besar’ yang boleh mengambil apa saja tindakan politik yang menguntungkan mereka tanpa persetujuan dan pandangan rakan-rakan parti PAS dan DAP sedangkan PKR Selangor hanyalah ‘pemegang saham minoriti’ di dalam Kerajaan PR Selangor,” katanya.

The Malay Mail online.com melaporkan PAS Selangor akan bertindak balas jika Anwar memulakan langkah untuk menjadi MB Selangor baharu.

“Sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan Menteri Besar, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat.

“PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon Menteri Besar yang dirasakan layak dan sesuai. Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) sebagai calon utama kita. Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN,” kata Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Otman.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan