Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Januari 21, 2014
Biadap dan kurang ajar - Khai Loon didesak mohon maaf?
Pertubuhan Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok) mendesak Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu memohon maaf secara terbuka bagi mengelakkan bantahan yang lebih besar selepas ini.
Ketua Penerangannya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan bangkit mendesak Khai Loon supaya memohon maaf sekiranya pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu masih berdegil.
Beliau berkata, ekoran daripada itu, Suara Pondok bimbang suasana akan menjadi lebih tegang dan mencetuskan perkara yang tidak diingini berlaku.
Kita bimbang akan berlaku huru-hara. Ibarat api, semasa kecil memang tidak membahayakan tetapi kalau ia terus marak sukar dikawal. Begitu juga tahap kesabaran manusia, kalau sudah melampau sangat sabar itu akan hilang.
Sebagai seorang pemimpin tidak sepatutnya Khai Loon bertindak dengan menunjukkan kelakuan buruk menghina pemimpin nombor satu negara kerana ia akan menimbulkan kemarahan orang ramai.
Sikap yang ditunjukkan itu bukan sekadar tidak sopan tetapi tidak beradab malah kurang ajar yang terlampau," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian di Pasar Malam Alma, Bukit Mertajam, Rabu lalu, sekumpulan penyokong PKR yang diketuai Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri dan mempersenda kenyataan Najib berhubung penurunan harga sayuran berkenaan baru-baru ini.
Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik turun berhimpun secara aman membantah tindakan Khai Loon yang dianggap sebagai keterlaluan, kurang ajar serta tidak boleh diterima.
Mohd. Syamsul mengesyorkan, barisan pemimpin tertinggi PKR supaya menasihati atau memberi motivasi berkaitan sahsiah diri bagi memperbetulkan norma-norma tidak bermoral sebagai seorang pemimpin di kalangan ahlinya agar perkara seperti ini tidak berulang.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan