Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Disember 24, 2013
Cubalah bersusah bersama rakyat?
Kesilapan paling besar mana-mana pihak adalah anggap orang ramai tak peduli atau tak tahu. Sekarang bukan macam dulu lagi. Dulu banyak orang buta huruf, saluran maklumat tak banyak dan kalau berjalan pun dekat-dekat saja. Jadi tak banyak berita dan cara nak bertukar-tukar fikiran pun terhad.
Sekarang kita belum habis bercakap, orang sebelah kita dah ‘tweet’ kenyataan kita. Kita belum habis menguap, orang sebelah kita dah ‘instagram’ gambar kita. Dalam masa beberapa saat satu dunia tahu.
Silap besar kalau ada pemimpin dan pembesar, parti politik dan kerajaan masih sangka rakyat jelata dan orang ramai tak tahu atau tak peduli.
Ambil contoh kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pengurangan subsidi sekarang. Rakyat mungkin tak tahu butir kenaikan, tapi oleh sebab mereka yang kena tanggung, mereka buat macam-macam andaian dan kesimpulan. Kalau media massa arus perdana tak bincang, mereka cari dan guna saluran lain.
Pengguna kita dah biasa dengan naik turun harga barang ikut musim dan perayaan. Yang mereka tak puas hati ialah pihak yang jaga hal ehwal pengguna nampak macam tak peduli dan tak bermaya. Kalau pantau pun macam hangat-hangat tahi ayam.
Mereka lagilah marah bila dua tiga subsidi dikurangkan serentak, cukai pintu naik lepas pilihan raya umum 5 Mei lalu dan rakyat dengar macam-macam cerita yang tak sedap.
Bila subsidi dikurangkan serentak, harga pun naik serentak juga. Lepas tu, ada pula yang jawab keluhan rakyat dengan cara kasar dan menyindir. Jangankan orang susah, orang senang pun ada masalah. Harga naik bila ibu bapa tengah pening fikir belanja sekolah anak. Sekolah buka dua minggu lagi. Maaf cakaplah kalau penulis kata, ‘timing’ tak berapa kena.
Penulis dah sebut yang subsidi bukanlah baik kepada ekonomi dan tak ada negara yang boleh tanggung subsidi selama-lamanya.
Beri pemahaman kepada rakyat
Tapi kenalah cerita kepada rakyat dengan cara yang mereka faham. Dulu kita boleh bagi macam-macam subsidi pasal bilangan rakyat kita tak ramai. Hasil negara banyak. Harga dan permintaan barang pengguna tak tinggi. Jadi belanja subsidi tak berapa banyak.
Sekarang rakyat kita makin ramai. Tak cukup dengan itu, kita tampung pula berjuta-juta pendatang asing. Permintaan makin bertambah, tapi hasil negara macam petroleum dan gas makin kurang. Harga eksport utama macam minyak sawit jatuh. Harga getah pun jatuh juga. Peneroka dan penoreh getah susah.
Jadi kalau kita tak mahu berhutang sampai muflis dan nak simpan sikit sumber petroleum dan gas untuk anak cucu kita, kita kenalah kurangkan subsidi. Kalau tidak, hasil bumi kita habis, hutang bertimbun dan anak cucu kita kena tanggung pada masa depan. Tak patutlah macam tu.
Lagipun cara kita bagi subsidi tak adil. Pengguna miskin yang pakai motosikal 75cc dapat subsidi petrol. Tan Sri yang pakai kereta 5,000cc pun dapat juga.
Tuan motor pakai 100 liter sebulan dapat subsidi RM53. Tan Sri pakai 100 liter sehari dapat subsidi RM1,590 sebulan. Orang susah dapat subsidi gula, jutawan dan syarikat minuman pun dapat juga.
Ada baiknya kita kurangkan subsidi berperingkat-peringkat, tapi jangan sampai harga barang dan perkhidmatan melambung.
Duit yang dijimatkan itu boleh kita guna dengan cara yang lebih adil macam tambah BR1M, tambah bantuan pelajaran, bina rumah murah untuk rakyat miskin dan bantu mereka menabung.
Kena sama-sama susah
Kalau pemimpin tahu rakyat susah akibat kenaikan harga, mereka pun kenalah sama-sama susah.
Tak perlulah terbang 1st Class dalam dan luar negara. Tak payahlah buat majlis rasmi mahal-mahal. Tak perlu bilik menanti, meja VVIP dan hidangan khas. Hiduplah macam rakyat bila di depan rakyat. Rakyat pun janganlah layan pemimpin seolah-olah mereka anak raja. Mereka wakil kita. Kita yang undi mereka.
Duduk dan makan dengan rakyat jelata sekali-sekala tak boleh ke? Sedap mata memandang, sedap lagi telinga mendengar. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya.
Wallahua’lam.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan