Isnin, Disember 23, 2013

Benarkah Muzakarah Pas-UMNO hanya satu mimpi sahaja?


Beberapa penulis melihat usul Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bermuzakarah dengan UMNO sebagai satu yang baik dan positif kepada perpaduan umat Islam di Malaysia. Di samping itu terdapat juga penulis yang memandang usul itu tidak merubah keadaan yang ada kerana ia hanya satu retorika politik seorang pemimpin politik yang lemah untuk berusaha merealisasikan usulnya itu sendiri.

Dr. Ismail Ibrahim dalam akhbar Utusan Malaysia pada 13 Disember lalu bertanyakan, untuk apa UMNO dan Pas bermuzakarah?

Jawapan kepada soalan itu menyatakan bahawa kedua-dua parti politik itu perlu bermuzakarah untuk mendapatkan persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangun Islam dalam perspektifnya yang betul di negara kita.

Pada pendapat beliau, Pas dan UMNO adalah dua parti Melayu Islam. Walaupun pada fahaman Pas pula UMNO bukanlah parti Islam kerana dalam nama UMNO tidak ada perkataan Islam tetapi ada perkataan Melayu. Tiga tunggak perjuangan UMNO merangkumi agama, bangsa dan negara atau tanah air Malaysia. Agama yang diperjuangkan UMNO adalah Islam. Istilah Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, 1957-1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, 1963 seterusnya, dijelaskan bahawa Melayu beragama Islam.


Perlembagaan-perlembagaan negeri-negeri yang beraja di Malaysia menyatakan bahawa Sultan adalah ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sementara itu, negeri-negeri di Malaysia yang tidak bersultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, ketua agama Islam kepadanya adalah Yang di-Pertuan Agong. Demikianlah undang-undang di Malaysia yang melibatkan Islam dan bidang kuasa negeri-negeri yang bersultan dan wilayah dan negeri yang tidak bersultan.

Adakah pemimpin Pas dan UMNO dapat menerima tujuan muzakarah Pas-UMNO seperti yang diketengahkan oleh Dr. Ismail? Saya berpendapat kalau mereka berpendapat sama seperti Dr. Ismail, maka muzakarah akan diadakan untuk tujuan demikian. Tetapi setakat ini tiada usaha untuk bertemu dan bermuzakarah di antara pemimpin UMNO dan Pas. Yang ada Mat Sabu mahu memusnahkan UMNO dengan mengalah UMNO di kubu kuatnya iaitu Johor. Mengikut pendapat Mat Sabu, jika UMNO Johor dapat dikalahkan, maka UMNO dapat dihapuskan kerana Johor dianggap kubu UMNO yang kebal sehingga kini.

Pas telah melantik seorang lulusan bidang pengajian bernama Dr. Mahfuz untuk mengetuai Pas Johor. Dalam PRU-13, bekas Menteri Besar Johor dikalahkan oleh Lim Kit Siang dari parti DAP, satu perkembangan politik menolak calon UMNO di situ kerana dalam PRU-12 calon MCA yang menang di kawasan parlimen berkenaan. Oleh kerana calon MCA sakit, maka digantikan calon UMNO dan DAP berjaya kalahkan calon UMNO dalam PRU-13.


Datuk Ahmad Faris Abdul Halim (Utusan Malaysia 17/12/13) menyatakan, penyatuan UMNO-Pas suatu realiti berdasarkan keadaan politik semasa di Malaysia dan keputusan PRU- 13) dari sudut jumlah ahli parlimen Melayu/bumiputera dan bukan bumiputera. Semua 21 ahli parlimen Pas adalah Melayu/bumiputera; 38 ahli parlimen DAP terdiri daripada 1 Melayu/bumiputera, 3 India dan 34 Cina; 30 ahli parlimen PKR terdiri daripada 5 India, 9 Cina dan 16Melayu/bumiputera. Sementara itu, 133 ahli parlimen BN terdiri daripada 4 India, 7Cina dan 122 Melayu/bumiputera.

Ahmad Faris merumuskan mengundi pakatan pembangkang akan menguatkan lagi suara bukan Islam dalam Parlimen. Justeru, umat islam harus sedar, ke manakah haluan negara ini bakal dibawa jika pengundian hanya dilakukan tanpa asas matematik yang kukuh tentang realiti umat Islam di Malaysia.

Beliau menyandarkan harapan untuk penyatuan dua parti Melayu ini kepada Salahuddin Ayub, Takiyuddin Hassan dan Kamaruddin Jaafar dalam Pas. Beliau mengakui masih terdapat dalam Pas, yang masih berfikiran ekstrem dan taksub membabi buta. Terlalu ke kiri, hendak tegakkan ideologi sendiri. Mereka ini tidak mahu Pas dan UMNO bersatu.


Dua perkembangan baru dalam Pas yang membuatkan Ahmad Faris optimistik mengenai penyatuan Pas-UMNO adalah pengurangan atau penurunan pengaruh Mursyidul Am Pas yang tidak lagi menjadi Menteri Besar di Kelantan selepas PRU-13 dan sokongannya dan rayuannya supaya perwakilan Pas memilih Nik Amar, bukan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas tidak menjadi. Mat Sabu dapat mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas, jawatan nombor 2 dalam Pas.

Pendapat Ahmad Faris mengenai penurunan pengaruh politik Mursyidul Am Pas mungkin tepat tetapi dalam isu penyatuan UMNO dan Pas belum tentu pengaruhnya menurun dalam kalangan ahli dan penyokong Pas. Beliau bersama Mat Sabu telah berjaya menyahkan Nasharuddin Mat Isa yang berjawatan Timbalan Presiden kerana Nasharuddin memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam konteks muzakarah UMNO-Pas. Presiden Pas tidak mempertahankan tindakan Nasharuddin yang dilondeh oleh kalangan Pas yang menentang muzakarah UMNO-Pas pada zaman itu.

Mat Sabu dapat mengekalkan jawatannya sebagai pemimpin nombor 2 Pas dilihat positif oleh Ahmad Faris untuk perpaduan UMNO-Pas, tetapi berdasarkan ucapan-ucapan Mat Sabu yang mahu kekal dalam Pakatan Rakyat, maka ia menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak dalam Pas untuk bermuzakarah dengan UMNO.


Usul muzakarah Pas-UMNO bukanlah usul tahun 2013 ini. Ia sudah menjadi usul pada tahun-tahun sebelumnya dan ia tidak pernah menjadi realiti kerana pengemuka usul itu sendiri tidak mempertahankan Nasharuddin yang dihentam dan ditolak oleh segolongan besar dalam Pas yang menentang usul muzakarah atau kerjasama Pas-UMNO semasa UMNO diketuai oleh Abdullah.

Nasharuddin masa itu Timbalan Presiden yang memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dalam konteks kerjasama Pas-UMNO. Implikasinya beliau kalah dalam mempertahankan jawatannya dan Mat Sabu dipilih oleh perwakilan Pas menggantikan Nasharuddin.

Nasib Nasharuddin kemudiannya terpaksa tidak bersama Pas lagi senasib dengan Datuk Dr. Hasan Ali yang berjuang dalam Pas beberapa lama tetapi kerana tidak diterima oleh kumpulan tertentu dalam Pas mengenai pendapat-pendapat Hasan perkatakan, maka dia dipecat oleh Pas dan kini menjadi Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati). Dalam samannya terhadap seorang pemimpin Khalid Samad, Hasan memenangi kes berkenaan kerana mahkamah mendapati Khalid memfitnah Hasan.


Berdasar sejarah politik Pas yang tidak berusaha untuk merealisasikan usul Presidennya sendiri dan Timbalannya mahu Pas kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan hubungan baiknya dengan Lim Guan Eng sejak dalam penjara di Kemunting dan hubungan baru baik dengan Anwar Ibrahim selepas dipecat dari UMNO, maka saya berpendapat usul muzakarah Pas-UMNO tidak akan menjadi realiti.

Usul penyatuan Pas dan UMNO amat jauh dari realiti politik di Malaysia kerana setiap parti mahu mengalahkan parti lawan untuk mendapat kuasa politik dan wang elaun wakil rakyat peringkat negeri (DUN) dan peringkat parlimen.

Politik untuk kuasa dan wang mengalahkan politik untuk bangsa dan agama dalam konteks politik kepartian di Malaysia. Mat Sabu menegaskan demi untuk mendapat kerusi dalam pilihan raya di Malaysia, Pas perlu berada dalam PR. Calon Pas disokong oleh Cina dan India setelah Pas berada dalam PR. Untuk Pas berada di Putrajaya memerintah Malaysia Pas mesti berada dalam PR.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan