Khamis, November 07, 2013

Tebak rupa 'tsunami' PRU-14?


"Politik menjadi semakin rumit menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti. "Jika PRU-12 (Mac 2008) kita katakan itu 'tsunami' orang muda dan media baru, PRU-13 (Mei 2013) 'tsunami' Cina, selepas itu tsunami apa pula lagi?". Mungkinkah 'tsunami' agama atau 'tsunami' luar bandar."

Itu antara telahan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, kepada penulis malam tadi apabila ditanya apakah Barisan Nasional (BN) di Selangor memerlukan method atau kaedah baharu yang lebih realistik dan relevan dalam menarik perhatian rakyat.

Sohaimi, 44, merupakan wakil tunggal Selangor yang akhirnya berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 25 ahli MT yang dipilih oleh 146,500 perwakilan UMNO dalam pemilihan parti 19 Oktober lalu.

Berkelulusan Master Corporate Communication dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Master of Business Administration (MBA) melalui West Coast University, Perth Australia, Sohaimi suatu ketika antara individu yang agresif memperjuangkan nasib penduduk Selangor dalam isu-isu antaranya melibatkan nasib pelajar dan pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Langat 2, masalah air, pendidikan dan ibu tunggal. Itu dilakukan menerusi NGO, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) yang diketuainya.

"Pada 2008, kaedah demonstrasi atau piket sebegini menjadi minat orang muda. Itu konvensional dan masih berlaku, mesti diteruskan. Tetapi cara baharu yang digunakan pembangkang adalah menggunakan segala medium untuk 'meyakinkan' rakyat - guna billboard, edaran CD, DVD dan You tube untuk di'copy paste' dan spin (putar belitkan) selain menggunakan medium bersemuka.

"Cuba lihat kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Limau yang agak tenang dan damai, tetapi sebenarnya dicemari dengan provokasi melampau. Tindakan meletakkan dan menggantung replika kaki bertujuan untuk memfitnah UMNO dengan mangaitkan UMNO menghina arwah Ustaz Azizan amat mengejutkan.

"UMNO dan BN tidak boleh memprovokasi seperti itu. Tetapi taktikal kena ada. Cuma seperti mana saya katakan di awal tadi, kita kena teka atau tebak dengan buat jangkaan awal apakah gelombang yang akan dicipta oleh pembangkang menjelang PRU-14. 'Tsunami' agamakah, 'tsunami' luar bandarkah atau tsunami apa?

"Kita perlu patahkan sebelum ombak bertukar menjadi ganas," kata beliau.

Mengambil contoh Selangor, yang sebahagian besar kerusi DUN dan Parlimennya berada dalam kawasan Kuala Lumpur atau urban, Sohaimi menarik perhatian, isu-isu semasa yang menyumbang kepada fakta nasional dan negara lebih cenderung menjadi milik kumpulan yang urban. Tetapi untuk luar bandar, fakta sedemikian tidak begitu 'diambil kira' disebabkan kerana faktor grassroot atau akar umbi UMNO yang masih utuh. Di bandar, proses urbanisasi meluas kerana orangnya datang dari pelbagai negeri, ceruk dan ragam. Juga, perlu diteliti faktor-faktor kaum lain yang mirip ke mana?


"Satu lagi doktrin adalah kebatilan atau fitnah terancang yang bukan sahaja dimainkan pembangkang, malahan dijadikan asas kempen mereka.

"Kita kena ada cara atasinya sebab dari segi ceramah, pembangkang tidak peduli dah dengan cuba menghasut rakyat seramai mungkin walaupun berunsur fitnah sekalipun. Contoh nyata mereka memfitnah kerajaan adalah kononnya ada seramai 40,000 orang Bangladesh menjadi pengundi hantu pada PRU-13. Fitnah inilah yang dibawa ke hari pengundian yang akhirnya ternyata tidak benar, cuma persepsi yang diadu-dombakan sehingga rakyat hilang pertimbangan dan BN 'agak terkorban'. Padahal, sudah terang lagi bersuluh, tak ada bukti dan fakta...ini amalan yang direka-reka mereka," kata beliau.

Berkeyakinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar cukup berkeupayaan untuk membawa kembali negeri itu ke pangkuan BN dalam pilihan raya akan datang, Sohaimi percaya kumpulan pemikir atau think tank group yang berkaliber perlu ada di Selangor - yang benar-benar fokus serta memiliki gerak kerja luar biasa, luar kotak.

Ini kerana, kali ini sudah penggal kedua PKR berkuasa di negeri itu, justeru mesti ada think tank yang dibarisi dari latar belakang yang pelbagai - orang politik, orang bisnes, belia dan cendekiawan.

Jadual gerak kerja juga perlu dilaksana berfasa-fasa. Sukat secara terperinci elemen taktikal yang dibuat, antaranya dari segi pemindahan pengundi dan pendaftaran pola-pola pengundi antara kaum.

"Taktikal ini tak salah sebab dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dan saya yakin dengan separuh (11) daripada 22 ketua bahagian di Selangor ketika ini terdiri daripada muka baru, mereka ini adalah aset disebabkan profil dan pemikiran yang berbeza-beza serta datang dari luar gelanggang.

"Ini akan membawa kekuatan baru kepada Noh dan dengan pelantikani Noh sebagai pengerusi majlis tindakan Persekutuan negeri Selangor bertaraf menteri akan memberi kekuatan untuk menyaingi pembangkang," katanya.

Bagi Sohaimi, untuk BN Selangor kembali mengecap kecemerlangannya, antara lain memerlukan team psywar atau perang saraf yang cekap.

"Sindrom memberi maklumat yang tepat perlu dibuat, bukannya sindrom membodek pemimpin. Contohnya dalam PRU-13 tempoh hari ada 'pemimpin' di Selangor yang tak bagi maklumat yang tepat sehingga mengaburi pihak atasan. Dalam hal ini juga, program-program berupa 'ceremonial' yang syok sendiri patut dihentikan segera sebab khalayaknya adalah sama, tidak tulen kerana datang 'bersebab' meramaikan majlis.

"Majlis-majlis yang berbentuk 'event' yang kosmetik patut disemak semula. Jangan sampai nanti rakyat tertawa," kata beliau.

Sohaimi turut mengingatkan betapa dalam peringkat awal inilah NGO-NGO pro BN perlu dipanggil untuk duduk bersama dengan UMNO dalam merancang strategi yang lebih berkesan.

"Delivery system itu kena sampai terus kepada rakyat. Rakyat dalam hal tertentu sebenarnya tak marah kepada UMNO tetapi persepsinya jadi begitu kerana delivery systemnya tak nampak. Inilah yang kita risaukan," kata Sohaimi lagi.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan