Khamis, November 28, 2013

Siti Aishah 'bekas hamba abdi' pernah diburu polis?


Wanita dijadikan hamba domestik oleh sepasang suami isteri di London sejak 30 tahun lalu disahkan merupakan individu yang dikehendaki polis pada 1970-an kerana terlibat dalam aktiviti radikal dan pelampau berhaluan kiri serta persatuan menyokong perjuangan komunis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wanita itu, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, bersama beberapa rakan seangkatannya berpindah ke London memandangkan di negara berkenaan pada masa tersebut lebih bebas dan tidak menyekat aktiviti berhaluan kiri.

"Saya mengesahkan wanita ini (Siti Aishah) pernah menjadi warganegara kita satu ketika dahulu dan merupakan pelajar berhaluan kiri serta menyertai banyak kegiatan pelampau berhaluan kiri di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, pada Februari lepas.

Khalid seterusnya memberitahu, selepas melanjutkan pelajaran ke London, pihak polis negara ini masih memantau segala aktiviti berhaluan kiri yang disertai Siti Aishah tetapi tidak akan menahannya sekiranya pulang ke Malaysia.

"Kita sudah tidak nampak lagi keperluan untuk menangkap dia memandangkan perkara itu sudah lama berlalu malah rakan-rakannya yang dahulunya turut bersama-sama dengan Siti Aishah telah pulang ke negara kita," tambahnya.

Mengenai kewarganegaraan Siti Aishah, Khalid berkata, beliau perlu mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sama ada wanita itu masih lagi memegang status warganegara Malaysia.

POTRET Siti Aishah Abdul Wahab semasa remaja.

Sementara itu, sumber memberitahu , Siti Aishah mula hilang daripada jejak polis pada sekitar tahun 80-an selepas dia dikhabarkan ke China untuk tempoh waktu tertentu.

"Sebelum itu, iaitu pada 1979, dia dikesan berada di Brixton, London, malah pekerjaan terakhirnya adalah sebagai seorang pembantu kedai.

"Abangnya bergelar Datuk pernah berusaha mencari Siti Aishah dengan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Beijing tetapi gagal dan maklumat yang pernah diterima, dia dilihat kali terakhir berjumpa salah seorang abangnya yang merupakan bekas pengurus besar bank di London pada 1970 dan selepas itu tiada lagi berhubung dengan ahli keluarganya," katanya.

Kata sumber itu lagi, Siti Aishah yang menyertai pelbagai aktiviti radikal semasa di London telah menyertai beberapa badan berhaluan kiri antaranya Institute of Marxism Leninism Mao Tse Tung (WIMLMTT), Democratic Right in Malaya malah juga pernah menyertai beberapa demonstrasi anjuran parti komunis yang berpusat di London.

Siti Aishah kemudian bergerak lebih agresif dan pernah menyertai demonstrasi Anti-Tun Hussein Onn semasa lawatan bekas Perdana Menteri itu ke London.

Kata sumber lagi, pada 1982, dia berdamping rapat dengan Aravindan Balakrishnan yang merupakan bekas pelajar Singapura dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung WIMLMTT.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan