Ahad, November 24, 2013

Polemik cukai taksiran cadangan DBKL!


Media perdana mahupun alternatif, banyak membangkitkan isu mengenai cukai taksiran yang dicadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kebanyakan komen dan maklum balas, melihat kenaikan ini sebagai sesuatu yang bakal membebankan pengguna dan pemilik aset di dalam kawasan Kuala Lumpur.

Penulis juga terbabit sama. Pemberitahuan tentang kenaikan diterima baru-baru ini sahaja. Memang benar, sebagai pemilik kita dibenarkan membuat bantahan kepada DBKL. Kita juga diminta menghubungi talian yang disediakan, sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kenaikan tersebut.

Sayangnya, panggilan penulis kepada talian yang dimaklumkan tidak pernah berjawab. Hampir separuh hari mencuba. Penulis membuat kesimpulan bahawa DBKL hanya bergurau dan tidak bersungguh-sungguh mendengar keluhan warga kota seperti penulis. Makna kata, pemberitahuan cukai taksiran DBKL sudah hampir pasti berlaku.

Kiriman khidmat pesanan ringkas penulis kepada seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional juga tidak dibalas. Mungkin nombor penulis tidak dimasukkan dalam daftar ‘rakyat’ yang layak dibantu dan diberikan perhatian, namun ia adalah satu hakikat yang mengecewakan.

Sebarang perubahan yang menambah beban pengguna, seharusnya diperkukuh dengan agenda komunikasi dan pemerolehan maklum balas yang jelas dan bersungguh. Bukan main hentam keromo. Bukannya sekadar membuat pengumuman dan menghantar makluman mengikut sedap dan jalur kuasa yang ada.

Apakah DBKL sudah berasa terlalu angkuh untuk mendengar rayuan dan harapan pemilik aset kalangan warga kota? Lebih malang lagi jika keangkuhan sama turut diangkat sebagai modal politik baru kepada jentera kerajaan.

Kenaikan yang dikenakan bukan sedikit. Jika merujuk kepada laporan sebuah akhbar, kadar tahunan sebelum kenaikan sekitar RM500. Jika cadangan kenaikan cukai taksiran ini diterima, pemilik aset sama perlu membayar hampir RM2,000!

Soalnya, rakyat perlu dimaklumkan tentang perencanaan komprehensif di sebalik kenaikan ini. Mesti ada komitmen khidmat yang jelas. Perlu ada kesungguhan dan iltizam kekuasaan untuk merubah tatakelola dan tadbir urus DBKL agar lebih telus dan responsif. Perlu ada penjelasan mengenai formula kenaikan yang dicadangkan.

Penulis cuba melihat ucapan belanjawan DBKL tahun lalu, yang mungkin ada menyelitkan frasa ‘berkemungkinan menaikkan kadar cukai taksiran dalam masa yang terdekat ini’. Paling hampir pun, ucapan Datuk Bandar yang merintih kerana cukai taksiran tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1992.

Malah pada perenggan 10, ucapan belanjawan 2013, Datuk Bandar menegaskan bahawa walaupun tanpa kenaikan cukai taksiran, DBKL masih lagi mencatatkan peningkatan pendapatan kerana bertambahnya bilangan hartanah yang dikenakan cukai taksiran.

Dari sudut akauntabiliti, mungkin Datuk Bandar mempunyai kelebihan kerana tidak perlu mempertahan belanjawan secara bersungguh dalam sidang yang terbuka. Belanjawan lebih kepada formaliti tatakelola yang tidak memerlukan Datuk Bandar memberikan jawapan kepada rakyat.

Pernah penulis nyatakan di dalam akhbar sebelum ini, Datuk Bandar dan pimpinan DBKL mestilah menjiwai semangat transparensi dan reaksi spontan media baru. Hanya dengan mewujudkan platform yang sesuai, pimpinan DBKL dapat benar-benar merasai denyut nadi dan keluhan rakyat.

Kalaupun kenaikan ini dirasakan perlu, ia perlu didahului dengan agenda komunikasi yang strategik. Kalangan wakil rakyat, persatuan penduduk, pemimpin masyarakat mestilah dibawa dalam diskusi dan perbincangan. Maklum balas mesti tepat.

Ia mesti didahului dengan komitmen jelas DBKL untuk mengurus bajet dengan berkesan dan bertanggungjawab. Rakyat berhak terlebih dahulu dimaklumkan pencapaian belanjawan 2013. Masih adakah projek yang sakit? Masih wujudkah projek gajah putih?

Apakah peruntukan pembangunan lebih RM700 juta dalam belanjawan 2013 dibelanjakan dengan efisien dan berkesan? Hanya 60 peratus (%) peruntukan pembangunan dibiayai sendiri oleh DBKL; sementara baki dibantu oleh kerajaan pusat.

Datuk Bandar perlu faham bahawa tidak ditegur oleh Ketua Audit Negara itu memang satu pencapaian yang baik; namun kepuasan hati dan penerimaan baik rakyat dan warga kota secara umumnya, juga perlu diberikan perhatian.

Ada sepuluh aspek asas perkhidmatan yang dinyatakan dalam belanjawan DBKL tahun 2013, antaranya; kebersihan bandar, penyelenggaraan infrastruktur, kesihatan awam, pengindahan taman, perumahan awam dan perumahan rakyat, penjaja dan peniaga kecil.

Pernahkah DBKL membuat kajian mengenai indeks kepuasan hati warga kota dalam aspek-aspek yang dijadikan keutamaan ini? Apakah ia pernah dikongsi dengan masyarakat umum?

Polemik dan politik cukai taksiran ini boleh dikendalikan dengan lebih baik sekiranya pimpinan DBKL lebih rela untuk berkomunikasi dengan warga kota dengan lebih kerap dan tuntas. ‘Komunikasi’ ini tidak hanya merujuk kepada rancangan berkala yang dijayakan di dalam radio.

Komunikasi yang bersifat ‘sudah terhantuk baru nak tengadah’ memang menjemput lebih banyak masalah. Kalau facebook Datuk Bandar hanya sekadar mempunyai '776' pengikut, apa harapan jutaan warga kota dapat dihargai dan dilayani dengan efektif dan berkesan.

Kepada mereka yang menunggu sahaja ruang dan peluang untuk ‘menjaringkan gol’ pengaruh politik - cukai taksiran ini satu hadiah paling bermakna. Mereka kelihatan bersungguh memihak kepada rakyat; dan kita terus bersungguh mempertahan dasar dan keputusan yang diambil di atas kerusi empuk. -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan