Sabtu, November 02, 2013

#PRKSgLimau : Pengundi Sungai Limau perlu 'berhijrah'?


Ustaz Kazim Elias semasa menyampaikan ceramah perdana dan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ceramah Perdana Kesenian Islam di Kampung Simpang Tiga, Sungai Limau, Yan, Kedah, Selasa lalu.

''Ada orang hantar mesej kat saya tadi, ustaz malam ini sila pakai baju hujan, kami nak lempaq teluq (lempar telur) kat ustaz… eeehelehh bro relaksla, saya bukan nak ceramah politik nak lempaq teloq fasai apa… sapa panggil pun saya pi.. sebab saya penceramah."

Itulah kata-kata penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias ketika menyampaikan ceramahnya di Malam Kesenian Islam yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Yan pada Selasa lalu.

Penceramah tersebut diberi amaran itu hanya kerana beliau menyampaikan ceramah di atas pentas yang membolehkan beliau dianggap menyebelahi BN.

Demikianlah ketaksuban sesetengah penyokong Pas sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung dan akan berakhir pada Isnin ini. Ketaksuban dan sikap politik melampau ternyata masih lagi terpahat kukuh dalam kalangan mereka.

Bagi mereka apa sahaja yang berkaitan BN dan UMNO harus ditentang habis-habisan apatah lagi dalam suasana Pas hendak mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau.

Malah ketika pemimpin-pemimpin mereka bercakap soal demokrasi dan kebebasan serta menjaga perpaduan Islam, di sesetengah kawasan di DUN tersebut, penyokong Pas tidak membenarkan jentera BN memasang poster apatah lagi berkempen.

Malang sekali, puak-puak Pas mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih baik daripada UMNO dari segi perjuangan Islam tetapi hakikatnya tingkah laku mereka tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Apa yang lebih malang, Pas mahu terus berada di Sungai Limau bukan kerana mempunyai matlamat untuk memajukan umat Islam di situ tetapi semata-mata demi mempertahankan legasi politik parti itu.

Pas bukannya tidak mengetahui bahawa Sungai Limau adalah salah sebuah kawasan yang harus dibangunkan dan mempunyai potensi besar dimajukan demi kesejahteraan penduduk khususnya umat Islam yang merupakan kelompok majoriti di situ.

Parti tersebut memahami bahawa mereka tidak akan berupaya membawa kemajuan dan pembangunan seperti mana dilakukan oleh BN malah juga secara diam-diam mereka percaya BN berkemampuan memajukan Sungai Limau yang merupakan kawasan kesayangan pemimpin mereka, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Tetapi Pas tidak mahu mengakui hakikat ini kerana Pas ingin memastikan Sungai Limau terus kekal dalam genggaman mereka demi kepentingan politik. Sebab itulah BN berusaha untuk memecah tembok politik yang merugikan umat Islam ini dengan membawa slogan 'Berani Berhijrah' di Sungai Limau.

Slogan itu bukan bermaksud mahukan ahli-ahli Pas berhijrah menjadi ahli-ahli UMNO, ia bukan bermakna penduduk Sungai Limau perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari kemajuan tetapi sekadar memberikan sokongan mereka kepada BN dan UMNO dalam pilihan raya kecil kawasan itu Isnin ini bagi membolehkan projek pembangunan yang lebih besar dilaksanakan.

BN tidak boleh membiarkan Sungai Limau berada dalam tangan pembangkang biarpun dalam masa yang sama penduduknya mahukan parti itu membantu mereka menikmati kemajuan. Mana mungkin BN boleh berbuat demikian dengan berkesan sedangkan peruntukan terhad, sudah pastilah parti tersebut akan memberikan keutamaan kepada kawasan yang menyokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun hakikat ini tidak pernah dipedulikan oleh Pas, sebaliknya berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen berjalan, penulis mendapati pemimpin-pemimpin Pas seolah-olah terus berusaha menanam kebencian umat Islam terhadap BN.

Dalam soal ini umat Islam khususnya pengundi di Sungai Limau perlu berfikiran terbuka, janganlah terlalu membenci sesuatu pihak itu seolah-olah kelompok tersebut tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mereka.

Sebagai umat Islam kita sering diperingatkan, kita hendaklah menyesuaikan seluruh amal perbuatan kita selaras dengan peraturan Allah, bukan berdasarkan kepada hawa nafsu atau kehendak orang lain.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 216:-

Maksudnya: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin Pas terus mengajar penyokong-penyokong mereka dan sesetengah umat Islam untuk memusuhi UMNO. Pelbagai gelaran buruk, ejekan, tohmahan dan ada kalanya bersifat fitnah ditaburkan kepada pemimpin parti keramat orang Melayu itu hanya semata- mata kerana bertujuan politik.

Mereka sengaja melupakan firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud;

''Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Begitulah juga dalam suasana kempen PRK DUN Sungai Limau, sentimen berunsur Islamik terus dimainkan oleh Pas bagi memburuk-burukkan UMNO dengan tujuan pengundi-pengundi Islam di kawasan itu akan memastikan BN tidak akan berupaya merampas kerusi DUN tersebut.

Bagaimanapun Pas hanya boleh berusaha untuk berbuat demikian dengan cuba menutupi kebenaran dengan kepalsuan, memutar belitkan fakta dengan pembohongan tetapi kesudahannya pihak yang benar tetap akan diredai oleh Allah SWT.

Justeru, kepada pengundi-pengundi Islam di Sungai Limau, kaji dan fikirkanlah 'tawaran' 'Berani Berhijrah' yang dibuat oleh BN. Parti itu bukanlah mahu memperalatkan sambutan Maal Hijrah pada Selasa ini demi kepentingan politik.

Tetapi tidak mahu umat Islam di Sungai Limau menyambut Maal Hijrah dengan berada di takuk lama dengan terus menyokong Pas yang ternyata dan sudah terbukti tidak mampu membangunkan kehidupan mereka untuk menjadi ummah yang disegani dan dihormati.

BN mahu menyirami semangat 'Berani Berhijrah' ke seluruh penduduk Sungai Limau khususnya umat Islam demi untuk mengubah nasib mereka kerana Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 bermaksud:

''Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka ."

Wallahuallam..

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan