Jumaat, November 15, 2013

Mampukah Noh 'jinakkan' ...?


Itu kondo, di sana kondo. Di belakang pasar raya besar itupun kondominium yang sedang naik.

Siapapun yang berada di Shah Alam, ibu negeri Selangor waktu ini akan akur, pembangunan 'tampak' merata di sana sini. Pawagam tujuh panggung di Space U8 pun semakin mencanak-canak menerima tamunya, orang muda dari belasan tahun ke hujung 40-an.

Urbanisasi benar-benar menghimpit Shah Alam.

Enam bulan berlalu sejak pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan BN Selangor gagal percubaan kali kedua untuk mengembalikan negeri ke pangkuan, tidak banyak boleh diperkatakan mengenai agenda dan misi UMNO negeri.

Sejak pemilihan parti 19 Oktober lepas pun tidak banyak petanda orak langkah BN negeri. Sepi. Kalau adapun yang 'terbaharu', retreat UMNO Selangor yang berlangsung di Pulau Langkawi minggu lepas.

Siapapun ahli UMNO di Selangor, akan akur bahawa cabaran BN negeri yang diketuai Datuk Seri Noh Omar untuk merampas kembali negeri itu, perlu menempuh laluan beranjau, penuh liku.

Kalau bercakap pasal kondomium tadi, apa lagi terletak di Shah Alam yang harga seunitnya pun sudah mencecah antara RM450,000 hingga RM800,000, akan terdetik di hati. Barangkalilah pada pengamatan penulis yang tiada sifat prasangka ini, orang Melayu 'biasa-biasa' - kecualilah yang memang berduit atau lebih lagi yang kerjanya terlibat dalam industri minyak dan gas seperti kebanyakannya di Bukit Jelutong - tidak akan mampu membeli unit-unit mewah ini.


Moralnya apa? Apa yang boleh dipelajari dari sini? Kalau diteladani dari insiden yang terjadi dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau 4 November lalu, catatan majoriti undi terbesar Pas di pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Besar sahaja dengan 1,103 undi sudah cukup mematikan cabaran BN.

Satu daerah mengundi seperti Bukit Besar boleh mempunyai jumlah pengundi yang begitu ramai di satu tempat? Sedangkan orang Sungai Limau dan Kedah sendiri, tahu banyak manapun pondok agama di Bukit Besar, tapi takkanlah sampai ratusan penghuninya.

Maknanya, saingan BN tempoh hari telah menjadikan jumlah undi orang luar sebagai senjata apabila mendaftarkan mereka sebagai penghuni pondok agama yang banyak di Sungai Limau.

Kalau berbalik ke insiden di Shah Alam tadi, apa kurangnya 'peranan' yang dimainkan oleh unit-unit kondo mewah tadi. Kalau satu unit kondo boleh dipergunakan alamatnya sehingga puluhan alamat pengundi - menerusi pertukaran alamat dalam kad pengenalan yang dibenarkan SPR - oleh pengikut sesuatu parti politik untuk persediaan pilihan raya umum ke-14, bagaimanakah impaknya nanti?

Percaturan, congakan dan strategi seperti itu tidak asing buat parti tertentu Mei lalu.

Buktinya jelas dari hasil PRU-13 berkenaan. Pada pengundian 5 Mei tahun ini itu, di DUN Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro dari BN yang cuma menang 642 undi pada 2008, kalah dengan jumlah undi lebih besar lagi, hampir 6,000 undi. Di kawasan itu sahaja, kira-kira 6,000 hingga 7,000 pengundi muda Cina yang baru memangkah undi.

Di Sri Serdang sahaja yang dulunya Datuk Mohd. Satim Diman menang dengan majoriti 45 undi, lebih 10,000 pengundi muda Cina dialihkan ke situ. Itu antara sebab calon BN, Mohamad Yusof Mohamed tewas teruk 16,251 kepada Pas.


Taktik menyusun atur pergerakan pengundi ke satu-satu bahagian pilihan raya nampaknya cukup berkesan sehinggakan BN Selangor kalah teruk dan memberikan pula majoriti dua pertiga kepada pakatan.

Pengundi Cina tidak peduli. Mereka tidak pandang isu moral pada calon-calon tertentu, yang penting 'bulatkan hati' sama-sama pakat undi. Walau dihidangkan projek kemudahan jeti seperti di Pasir Penambang, Kuala Selangor, bantuan sara hidup atau apa sahaja, tidak termakan mereka.

Jadi, apakah fokus dan misi BN Selangor sekarang? Kaedah atau method yang bagaimana perlu digerakkan dalam tiga empat tahun ini. Dengan negeri itu tidak lagi 'bertuankan' penduduk tempatan berbanding yang biasa kedengaran 'orang Kelantan, orang Johor atau orang Kedah', maka pengundi luar dari negeri itu adalah fenomena biasa. Ia bukan luar biasa lagi sebagaimana 'senjata ampuh' dipergunakan oleh Pas di Bukit Besar dengan mendaftarkan mereka sebagai penghuni pondok agama yang banyak di Sungai Limau.

Selangor, kota metropolitan dan sumber rezeki perantau dalam Lembah Klang ini menjadi hak milik pengundi semua negeri. Malah, jangan terkejut jika jumlah pengundi di negeri ini yang sememangnya mencatat angka tertinggi 2.1 juta Mei lalu, akan bertambah 600,000 hingga 800,000 orang lagi menjelang 2017/2018.

Dan sesekali penulis sendiri selaku anak jati Selangor merenung-renung di Selangor terlalu sukar untuk dicari lagi kawasan yang benar-benar bercirikan kampung seperti mana era 70-an dan 80-an. Carilah!.


Kalau bersandarkan pada statistik PRU-13 enam bulan lepas, kawasan urban (bandar) hampir disapu bersih oleh pakatan rakyat (PR) dalam posisi BN-PR (5 kerusi-34 kerusi) dan semi urban atau antara bandar dan luar bandar (20-35). Memang diakui BN kuat di luar bandar (rural) dengan kedudukan BN (108 kerusi) dan 20 kerusi diraih PR.

Tetapi barang diingat, katakanlah PR berupaya sapu bersih kerusi-kerusi di semi urban dan kemudian mengambil berbelas lagi di luar bandar, apa akibatnya?

Dan khususnya di Selangor, faktor-faktor dan analisis ini perlu diteliti dan dicatur sebaik mungkin oleh Noh.

Semarakkanlah kembali usaha keras ketua-ketua bahagian UMNO negeri turun padang mengambil tahu perihal masyarakat seperti mana wakil rakyat parti pernah singgah bertanyakan isu banjir di rumah penulis di satu penempatan di Kampung Lindungan, Sungei Way dekat Petaling Jaya sekitar awal 80-an.

Dengan suasana semakin berubah, masa silih berganti dan Kampung Lindungan sendiri kini digantikan dengan flat-flat Mentari yang agak sukar dijangka sokongan penghuninya, formula perlu dicari oleh UMNO Selangor untuk menempatkan diri dalam hati mereka.

Tidak seperti negeri-negeri lain yang kelihatan ada beberapa wakil mereka dalam Majlis Tertinggi (MT) parti, Selangor hanya memiliki seorang sahaja. Mungkin ada dua kalau dicampur Noh dalam mesyuarat platform pembuat dasar dan penentu strategi UMNO itu. Gunakanlah sepenuhnya wakil yang seorang tadi untuk membangkitkan sesuatu yang benar tanpa berselindung - usaha-usaha untuk mengembalikan Selangor ke pangkuan BN.


Di peringkat bahagian pula, dengan separuh daripada 22 ketua bahagian merupakan muka baharu, rancangkanlah dan kalau boleh 'perah kepala' setiap hari, tambah baik dan buat kerja temui rakyat.

Jangan sekadar muncul sekejap-sekejap sewaktu pemilihan parti. Itu tiga tahun lagi.

Hadir dan bersolat jemaahlah bersama penduduk setempat, paling afdal di awal Subuh dan solat kelima, Isyak. Beramah mesralah dengan jemaah dan kariah surau- surau dan masjid. Tanya mereka apa yang boleh UMNO negeri bantu. Dan 22 November ini, kalau ada kelapangan, 'jenguk-jenguklah' Muktamar Pas yang berlangsung di Stadium Malawati, cari-cari idea.

Noh, penulis percaya sudah ada perancangan dan strategi untuk mengembalikan Selangor ke pangkuan BN dalam PRU-14 nanti. Kalau tidak, masakan beliau berjanji tempoh hari seperti mana yang masih tergiang-giang di telinga penulis:

"Saya akan letak jawatan kalau gagal ambil semula Selangor dalam pilihan raya umum akan datang."
Mampukah Noh?

Oleh : Zulkifly Jalil

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan