Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, November 21, 2013
Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi : Rasuah Dalam Pengambilan Pekerja Asing Harus Didedahkan?
Kita seharus berani membuat analisis yang boleh membuka minda rakyat dalam isu atau peristiwa yang berimpak besar dan mendalam terhadap pemikiran masyarakat dan membabitkan kepentingan awam.
Sebagai contoh isu rasuah dan kes hukuman penjara yang dijatuhkan kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baru-baru ini atas kesalahan menerima rasuah. Masyarakat tidak harus melihat kes ini hanya kepada apa yang tersurat (tuduhan, perbicaraan, hukuman dan sebagainya) bahkan lebih penting lagi melihat kepada apa yang tersirat yang mesti dibongkar dan dinilai.
Perbuatan rasuah adalah salah di sisi undang-undang dan siapa didapati melakukannya mesti dijatuhkan hukuman. Inilah yang tersurat. Yang tersirat pula adalah suasana persekitarannya yang menyebabkan berlakunya perbuatan rasuah.
Dalam kes ini misalnya, apa yang mendorong kejadian ini berlaku dan pasti berlaku hendaklah dikaji dan dinilai secara objektif dan ilmiah dan ceritanya disiarkan untuk tatapan umum. Bahkan dengan mendalami kefahaman isu-isu dan keadaan persekitaran di sebalik kejadian rasuah ini, pihak berwajib boleh menjadi lebih celik, arif dan proaktif dan tidak reaktif dalam tindakannya membanteras gejala rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program transformasi sosialnya mahu rasuah menjadi fenomena yang telah berlalu atau 'a thing of the past' di negara ini.
Sebagai usaha ke arah ini, pihak media mesti memainkan peranan yang cukup penting bagi memangkin fikiran rakyat atas dasar dan prinsip profesionalisme, ketelusan dan integriti mereka.
Sejak kita mula membawa masuk pekerja asing ke negara ini, kegiatan itu telah menjadi satu 'perniagaan'. Ada juga pihak yang menamakan kegiatan ini sebagai 'human trade' atau memperdagangkan manusia, walaupun istilah ini dikecam hebat oleh banyak pihak.
Pada mulanya ia berjalan pada skala yang kecil melibatkan segelintir bilangan ejen sahaja. Dengan bertambahnya bilangan pekerja dibawa masuk tahun demi tahun bagi memenuhi permintaan yang mendadak dan disertai pula dengan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) bilangan pekerja asing mencecah jutaan orang. Dalam masa singkat pengambilan pekerja asing menjadi 'multi million business' melibatkan ratusan juta ringgit, bahkan berbilion ringgit perolehan daripadanya.
Perniagaan ini cukup lumayan tanpa risiko yang tinggi. Siapa yang dapat menjadi ejen dan mempunyai hubungan baik dan akrab dengan pihak-pihak yang berwajib memang memiliki lombong emas dan ramai sudah menjadi kaya-raya daripada perniagaan ini. Sama seperti mereka yang mendapat permit import (AP). Ini semua orang tahu. Bahkan bukan semua orang yang berkebolehan dan berkeupayaan dalam perniagaan ini akan dapat memperolehi lesen.
Maka tidak hairanlah pada satu ketika dulu ejen-ejen pengambilan pekerja asing ini sebelum kerajaan bertindak menyekat bilangannya dan mengenakan syarat-syarat yang ketat, tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Namun tindakan untuk mengawal dan menyelaras fenomena ini agak terlewat diambil kerana sekian lama pengambilan pekerja asing ini berjalan secara bebas di mana berjuta-juta ringgit wang telah mengalir dan bertukar tangan di sana sini untuk 'melariskan' sistem yang sedia ada.
Beberapa 'vested interest' sudah berkuku kuat 'entrenched' dalam sistem pengambilan pekerja luar ini. Mereka yang terlibat dalam kalangan pihak swasta (ejen-ejen dan majikan-majikan) dan jabatan kerajaan seperti imigresen, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan sebagainya sudah cukup arif tentang selok-belok dan cara sistem tersebut dilaksanakan.
Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa perbuatan rasuah berlaku di tiap-tiap fasa dalam sistem ini sebagai satu perkara yang lumrah. Ini diakui oleh mereka yang terlibat dari yang tertinggi hingga yang terendah atau dari A hingga Z mendapat bahagian habuan masing-masing, maka semuanya berjalan lancar atas keadaan 'menang-menang'.
Apabila keadaan telah sampai ke tahap ini, maka amat sukar bagi yang berwajib untuk mengesan perbuatan rasuah kerana ia dijaga dengan begitu rapi oleh pihak-pihak yang terlibat. Melainkan ada pihak dalam rangkaian sistem ini yang belot atau berpaling tadah.
Bak kata peribahasa Inggeris 'until someone spills the beans'. Lagipun yang selalu tertangkap adalah yang menerima rasuah. Mereka yang memberi, kebanyakannya lepas begitu sahaja.
Kenapa sekarang baru penangkapan berprofil tinggi dibuat? Mungkin ini berlaku secara kebetulan. Jika benar, kita harus terima hakikat ini. Kita tidak boleh membuat sebarang andaian liar sebaliknya.
Tidak berlakunya penangkapan yang berprofil tinggi sebelum ini mungkin atas sebab-sebab berikut:
Pertama, mereka yang berkenaan memang mempunyai integriti dan ketelusan yang cukup tinggi yang tidak boleh dikompromi dan ditundukkan dengan apa jua bentuk rasuah. Mereka betul-betul menjalankan tugas dengan ikhlas dan jujur serta komitmen yang tinggi kepada negara.
Kedua, mereka mungkin pernah melakukannya tetapi bernasib baik kerana licik dan bijak menutup jejak-jejak mereka daripada dikesan oleh pihak yang berwajib.
Ketiga, walaupun mereka melakukannya, mereka mungkin mendapat perlindungan daripada pihak-pihak tertentu atas sebab yang hanya mereka ketahui sendiri.
Namun pada hakikatnya perbuatan rasuah tetap wujud dalam sistem pengambilan pekerja asing dulu dan sekarang. Ini mungkin tidak dapat dibuktikan di mahkamah duniawi kerana sebab-sebab tertentu seperti kekurangan bukti, saksi tidak mahu bekerjasama atau berpaling tadah dan sebagainya. Selain daripada tidak kesempurnaan manusia itu sendiri.
Namun di mahkamah akhirat nanti, semuanya akan terdedah dan tiada yang tersembunyi walaupun sebesar zarah. Siapa yang terlibat dalam kesalahan ini akan mendapat hukuman pada hari itu walaupun mereka terlepas di dunia ini.
Amaran ini hanya boleh difahami oleh orang yang beragama Islam sahaja. Itu pun jika mereka mahu percaya.
Adalah diharapkan bahawa pihak media selain menghidangkan berita-berita yang penting dan memuji-muji secara berlebihan hingga ke tahap mendewa-dewakan personaliti atau individu-individu dalam siarannya, ia patut berani memuatkan bahan analisis dan ilmiah walaupun 'controversial' yang berpaksikan perspektif seperti kes ini bagi kes-kes lain yang telah berlalu atau mungkin timbul di masa hadapan untuk menjadi pemangkin kepada fikiran rakyat.-UMO
Untuk rujukan kes sebelum ini, sila baca di sini.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan