Isnin, November 18, 2013

Gelagat memualkan ahli Parlimen pembangkang berterusan?


Pakatan pembangkang ternyata tidak pernah mahu menghentikan tabiat mereka sejak pilihan raya umum 2008 untuk menjadikan Dewan Rakyat atau Bangunan Parlimen seolah-olah tempat untuk meneruskan agenda politik mereka.

Imbas kembali, pakatan pembangkang sejak awal lagi memang suka membuat kecoh apabila bersedia menghimpunkan penyokong mereka di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari Bangunan Parlimen tidak lama dulu bagi membantah majlis angkat sumpah ahli-ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sebelum ini , selepas pilihan raya umum 2008, kita juga sudah saksikan Bangunan Parlimen dan Dewan Rakyat menjadi seolah-olah gelanggang politik bagi mereka.

Di dalam dewan mereka terpekik terlolong dan di luar dewan pula ada ketikanya mereka membawa penyokong-penyokong untuk mengadakan demonstrasi dan sidang akhbar. Sama ada hendak diakui atau tidak, berikutan tindakan mereka itu taraf eksklusif Bangunan Parlimen yang sepatutnya dihadkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat (YB), sudah semakin terhakis.

Pemimpin-pemimpin pembangkang berbangga dengan tindakan itu kerana menganggap Parlimen adalah hak rakyat. Justeru bagi mereka, rakyat juga mempunyai hak untuk berkumpul di bangunan yang dianggap lambang demokrasi negara ini.


Minggu ini, sekali lagi, kita terpaksa menyaksikan adegan memualkan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang apabila mereka bukan sahaja membuat bising di dalam dewan tetapi juga membawa apa juga usul yang dilihat hanya bertujuan politik.

Walaupun memahami usul-usul yang mereka bawa akan ditolak oleh dewan kerana tidak memenuhi syarat dan sebagainya tetapi pemimpin pembangkang tetap berbuat demikian. Kesudahannya ia mencetuskan perbalahan dengan ahli-ahli Parlimen BN.

Akibatnya, wang dan masa yang seharusnya diperuntukkan untuk membahaskan masalah rakyat serta negara 'terbazir' begitu sahaja. Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkanglah yang juga selama ini mendabik dada kononnya mereka pejuang sebenar rakyat dan menuduh serta melakukan pelbagai tohmahan terhadap perbelanjaan oleh kerajaan BN.

Namun mereka tidak pula mahu mengkaji bagaimana tindakan mereka di Dewan Rakyat secara terang-terangan membazir masa dan wang rakyat.

Namun semua itu tidak perlu kita hairan kerana pakatan pembangkang sememangnya sejak dulu, kini dan selamanya akan berperangai bak kata pepatah 'Gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tak nampak.'



Begitulah juga dengan sikap mereka di Dewan Rakyat sepatutnya kalau mereka selalu mendabik dada sebagai pejuang demokrasi, pembela nasib rakyat dan menentang segala pembaziran, maka pastikan sidang dewan itu berjalan dengan lancar.

Dari segi undang-undang dan hak, tidak salah untuk mana-mana ahli Parlimen mewakili mana-mana juga parti membawa apa-apa juga usul di Dewan Rakyat, tetapi apabila dewan memutuskan usul itu ditolak maka terimalah dengan hati terbuka. Janganlah membantah dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan lebih malang lagi terjerit-jerit seperti kanak-kanak tadika tidak mendapat sesuatu barang yang diminta.

Bayangkan, perasaan rakyat yang melihat adegan ahli-ahli Parlimen tersebut di kaca televisyen. Mungkin bagi penyokong tegar, mereka akan menganggap pemimpin yang mereka sokong itu hebat boleh memaki hamun dan bertekak dengan wakil kerajaan di Parlimen.

Tetapi bagaimana dengan rakyat atas pagar yang berasa bosan dan mual dengan sikap pemimpin pembangkang yang tidak sudah-sudah berperangai seperti 'kaduk naik junjung' itu?

Dewan Rakyat bukan gelanggang politik, Bangunan Parlimen bukan medan pilihan raya dan lobi Parlimen bukan pentas ceramah.

Kita tidak pasti sampai bilakah perangai buruk pembangkang yang mahu berpolitik tidak mengira tempat dan masa ini akan berterusan. Apa yang pasti perbuatan mereka menunjukkan ketidakmatangan pembangkang untuk mencari modal politik dan publisiti murahan.

Seperti mana ditegaskan, tidak salah untuk pembangkang membawa apa juga isu atau usul di Parlimen sebab itu hak mereka tetapi pastikan ia bukan dengan matlamat untuk mencari keuntungan politik semata-mata.

Apa pun yang dilakukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat mestilah berteraskan kepada usaha mengutamakan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun apa yang kita saksikan, hanya terdapat segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak matang di dewan itu, selebihnya lebih banyak melakukan tindakan atas matlamat untuk menarik perhatian rakyat terhadap perbuatan mereka.



Adalah sesuatu yang malang, jika setiap tahun kita terpaksa menyaksikan gelagat membosankan ahli-ahli Parlimen pembangkang. Kalau merasakan politik yang dibawa oleh mereka hebat sangat maka gunakanlah pentas-pentas ceramah dan gelanggang pilihan raya untuk meraih sokongan rakyat.

Lebih mengecewakan kita, majoriti ahli Yang Berhormat daripada pembangkang memahami undang-undang dan peraturan. Namun apa yang kita saksikan golongan inilah paling banyak mencetuskan kekecohan seolah-olah mereka sahaja yang betul.

Sebab itulah, kita memuji ketegasan yang ditunjukkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam menangani sidang itu. Sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, Pandikar Amin dilihat berusaha untuk menjadi 'hakim' yang adil, siapa yang salah tetap dikenakan tindakan.

Bagaimanapun bagi pembangkang ia belum mencukupi, kalau keputusan yang dibuat menyebelahi mereka, maka ucapan 'Terima kasih Tan Sri Yang Dipertua' dilafazkan, tetapi kalau keputusan sebaliknya, maka Yang Dipertua akan dianggap 'bias' (berat sebelah).

Apa yang diharapkan, rakyat akan menilai dengan sebaik-baiknya perbuatan mereka itu, biarlah penyokong tegar mereka menganggap mereka hebat, tetapi rakyat pasti memahami bahawa kehebatan seorang ahli politik bukan berdasarkan kemampuan mereka terpekik terlolong di Dewan Rakyat semata-mata.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan