Isnin, Oktober 14, 2013

Pertelagahan dalam DAP, umpama retak menanti belah?


Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidaklah demokratik seperti yang sering dijaja oleh kepimpinan tertinggi. Ini berikutan pengakuan, kritikan dan kenyataan terbuka oleh pemimpin serta penyokong parti itu sejak akhir-akhir ini.

Rata-rata mereka ini tampil tidak berpuas hati dengan segelintir kepimpinan tertinggi dalam parti itu yang begitu 'tamak kuasa' sehingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun melanggar perlembagaan parti mahupun prinsip dan pegangan DAP selama ini.

Pergolakan serius antara pemimpin negeri dan kepimpinan pusat berikutan campur tangan 'ghaib' dalam urusan negeri masing-masing yang hanya bermotifkan kuasa politik berbanding perjuangan sebenar demi rakyat dan negara tercinta.

Antara yang sedang bergolak dengan hebat ketika ini ialah, Melaka apabila Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, Goh Leong San dari DAP meletakkan jawatan serta merta apabila disindir oleh ADUN DAP kerana ucapannya yang memuji Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron. Perletakan jawatan Goh diikuti oleh ADUN Bachang, Lim Jak Wong sebagai Ketua Whip.


Adalah sungguh memeranjatkan apabila Leong San bertindak sedemikian kerana selama ini DAP Melaka merupakan satu-satunya negeri dalam parti itu yang masih bersatu walaupun berlainan kem, masing-masing sanggup berdiam diri atau menyelesaikan kemelut dalam keadaan tertutup dan sukar dihidu oleh mana-mana pihak.

Leong San ketika dihubungi penulis baru-baru ini melahirkan rasa kekesalan yang tidak terhingga dengan sikap segelintir pemimpin parti itu yang sudah mula menunjukkan minat untuk menerajui kepimpinan tertinggi negeri yang ketika ini diterajui beliau.

"Dua pemimpin DAP Melaka ini mempunyai sokongan kuat daripada kepimpinan tertinggi parti, kerana itulah mereka berani memberi 'tekanan' kepada saya untuk meletak jawatan. Mungkin saya tidak menyokong kumpulan tertentu dalam parti, menjadi punca perkara ini berlaku.

"Sebagai Pengerusi Negeri selama lapan tahun, saya telah bertolak ansur sedaya upaya supaya masyarakat umum mempunyai tanggapan bahawa kami bersatu hati walaupun pada hakikatnya itu bukanlah satu kebenaran," ujarnya.

Peletakan jawatan Leong San itu memberi tamparan hebat kepada DAP selepas ADUN Luyang, Sabah, Hiew King Cheu baru-baru ini turut mengumumkan keluar parti tersebut dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Beberapa minggu sebelum itu, King Cheu turut meletak jawatan sebagai penasihat kepada Jawatankuasa Perhubungan DAP Sabah, difahamkan ekoran pertelagahan dengan beberapa pemimpin DAP Sabah susulan keputusannya menyokong ADUN Klias, Datuk Lajim Ukin sebagai Ketua Pembangkang Sabah sedangkan parti itu menyokong ADUN Tamparuli, Datuk Wilfred Bumburing.

DAP Kedah juga turut bergolak dan semakin bercelaru apabila wujud dua kepemimpinan susulan pelantikan jawatankuasa interim yang dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu. Sehingga kini, bekas Pengerusinya, Lee Guan Aik masih menganggap beliau mewakili organisasi kepimpinan DAP negeri yang sah menyebabkan terdapat dua Ibu Pejabat DAP negeri beroperasi di Kedah ketika ini.

Guan Aik mendakwa, pelantikan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai pengerusi sementara oleh parti itu pada Jun lalu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi prosedur perlembagaan parti.

"DAP Pusat melantik Zairil Khir sebagai Pengerusi DAP Kedah secara tidak sah kerana kami sebagai jawatankuasa asal tidak pernah diberitahu tentang tindakan ini, selain tiada diberi sebarang surat untuk menerangkan situasi yang berlaku," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya baru-baru ini.

Dalang

Guan Aik mendakwa, berlaku amalan pancung-memancung dalam DAP Kedah yang didalangi dua pimpinan DAP Pusat mewakili CEC yang diarahkan untuk menyelia negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Berikutan itu, beliau mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat lantikan jawatankuasa interim DAP Kedah tersebut yang didakwa dilakukan secara terburu-buru.


Terdapat khabar angin yang mengatakan Zairil dari Pulau Pinang sengaja dilantik supaya boleh mengetuai kepimpinan di Kedah dan dikuasai oleh kumpulan Dinasti Lim yang ketika ini lebih dikuasai oleh penyokong bukan dinasti Lim.

DAP Perak juga berantakan apabila sekumpulan ahlinya secara terbuka mengkritik pengerusi negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan sepupunya, Nga Kor Ming.

Pengerusi DAP cawangan Kampung Acheh Baru, Loh Eng Soon berkata, kemelut dalaman berlaku berikutan ramai ahli tidak berpuas hati dengan dua bersaudara itu.

Loh memberitahu dalam akaun Facebook, penyertaan beliau sebagai ahli parti itu selama ini kerana mengagumi kepimpinan Nga.

"Tetapi sekarang, saya mempersoalkan sama ada idola saya sedang berjuang untuk rakyat atau untuk poket sendiri, " katanya dalam satu status yang dikemaskini di akaun Facebook.

"Mengimbas kembali, saya rasa bodoh kerana membantu beliau menjual tiket makan malam dan meletakkan iklan tahniah di akhbar. Daripada berhala, dia (Nga) telah menjadi hamba untuk wang. Adakah anda sedar keutamaan anda? Adakah hanya wang penting kepada anda?" soalnya.

Malah, Loh juga mendesak jika Pakatan mahu kembali berkuasa di Perak, Ngeh dan Nga mesti disingkirkan.


Sementara itu, Pengerusi DAP Cawangan Desa Manjung Solaiman Syed Ibrahim memberitahu dalam akaun Facebooknya, Ngeh telah menikamnya dari belakang. Tanpa menerangkan lebih lanjut, Solaiman yang juga bekas ahli jawatankuasa negeri itu meminta Ngeh berjuang dengan cara yang betul.

"Ini adalah orang yang mendakwa untuk memperbaiki kedudukan parti di mata rakyat. Jika mahu berjuang, berjuang dengan cara yang betul. Jangan berjuang seperti pondan," katanya.

Pergolakan kuasa juga sedang berlaku di Johor di mana terdapat kumpulan tertentu mahu mencantas kedudukan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang sememangnya sejak dulu tidak pernah sebulu dengan Guan Eng dan Kit Siang. Berikutan itu, pada PRU lepas, sekumpulan calon dinasti Lim dihantar bertanding di sana. Ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Penyokong-penyokong Dr. Boo juga ramai telah beralih arah kepada kem lain.

Perkara yang sama juga terjadi Pahang di mana sekumpulan pemimpin negeri telah di gantung selama enam bulan dan tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan negeri yang akan diadakan pada masa terdekat, punca mereka digantung ekoran sokongan kepada ahli DAP yang keluar parti dan bertanding secara bebas. Antara yang digantung ialah Adun Tras, Choong Siew Onn.


Antara punca kebanyakan pemimpin tertinggi negeri tampil membuat kenyataan terbuka mempunyai hubung kait dengan pemilihan negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. Pemimpin kanan DAP seperti Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng akan memastikan orangnya dipilih pada pemilihan parti kali ini. Ini akan membantu mereka menguasai dan mencantas ahli-ahli yang tidak menyokong mereka.

Penulis hanya mahu mengingatkan kepimpinan tertinggi DAP supaya berhenti mencanangkan slogan-slogan indah khabar dari rupa yang sebenarnya hanya bersifat retorik dan pembohongan. Rata-rata pemimpin dan ahli yang mengeluarkan kenyataan sebenarnya kecewa dengan kepimpinan tertinggi, cara parti itu ditadbir dengan penuh keangkuhan, kronisme, nepotisme.

Bak kata peribahasa Inggeris, charity begins from home yang membawa maksud kebajikan bermula dari rumah. Seperti itulah, sebelum DAP bangkit dengan slogan mengubah Malaysia, terlebih dahulu ubahlah kedudukan parti sendiri.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan