Rabu, Oktober 16, 2013

Kenyataan Presiden PAS Pertahan Bukan Islam Boleh Guna Kalimah Allah Sebelum Keputusan Mahkamah Rayuan?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mempertahankan kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Muslim selagi mana ia tidak disalahgunakan.

Kenyataan terbaru Abdul Hadi dilaporkan Antarapos ketika ditemui semasa sidang media selepas Seminar Perlaksanaan Syariah Islam di Malaysia hari ini.

Menurutnya, mana-mana pihak tidak sepatutnya menghalang masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah itu kerana ia telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

“Allah adalah perkataan yang memberi makna dia sahaja Tuhan tak ada yang lain bagi orang Islam. Bagi penganut bukan Islam kita tak boleh halang mereka menggunakan kalimah Allah di tempat mereka.

“Bahkan perjanjian Nabi Muhammad dengan orang bukan Islam yang minta gunakan kalimah Allah dalam perjanjian (dan) dibenarkan tulis dalam perjanjian,” katanya.



Bagaimanapun Hadi menegaskan umat Islam berhak mempertahankan penggunaan kalimah Allah sekiranya orang bukan Islam sengaja menggunakan kalimah itu dengan cara yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Konsep membenarkan kalimah Allah pada semua manusia itu tak ada halangan namun sekiranya mereka nak menafsirkan dengan cara yang salah kepada orang Islam, kita perlu jawab dan jelaskan. Kerajaan dan pihak berkenaan kena jawab.

“Sebabnya penggunaan kalimah Allah ini memberi makna dia sahaja Tuhan yang disembah, undang-undang Dia sahaja yang dipakai. Kalau sekiranya dia sebut Allah, (tapi) tak pakai undang-undang Allah itu pun tak betul juga.

“Kita orang Islam boleh makan sembelihan Yahudi dan Kristian kerana dia sebut kalimah Allah semasa sembelih dengan syarat dia sembelih binatang yang kita boleh makan walaupun dia bukan Islam,” katanya.



Kenyataan terbaru Abdul Hadi itu Januari 2013 mengulangi kenyataan yang pernah dibacakan pada 8 Januari 2013 di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Damansara dengan bersaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“PAS adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 Januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: “Allah: Kalimah Yang Benar, Tujuan Yang Salah” pada bulan Januari 2010.

“Kalimah “ALLAH” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

“Kalimah “ALLAH” tidak wajar disalahgunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu, pengganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan ALLAH (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

“Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran,”katanya.



Anwar berkata kenyataan Abdul Hadi pada 8 Januari 2013 merupakan polisi rasmi Pakatan Rakyat yang bermaksud Pakatan membenarkan masyarakat bukan Islam, khususnya Kristian menggunakan kalimah Allah.

Apabila Majlis Syura Pas membuat keputusan sebaliknya pada mesyuarat 13 Januari 2013, Anwar berkata Pakatan hanya menerima keputusan rasmi daripada kenyataan Abdul Hadi pada 8 Januari sahaja.

“Pakatan Rakyat dalam mesyuarat yang lalu, meneliti kenyataan Presiden Pas, dan kami ambil pendirian untuk menyatakan persetujuan kenyataan Presiden Pas yang memberikan ruang tetapi memberikan juga peringatan supaya jangan disalah tafsir atau disalahgunakan.

“Kita ikut Presiden Pas, dia bentang balik dalam (mesyuarat) Pakatan..Kalau Presiden Pas, dia bawa balik apa-apa isu nak dinilai semula, dia (sepatutnya) bawalah (tapi) dia tak bawa.

“Jadi (keputusan 8 Januari) adalah polisi Pakatan Rakyat.”katanya.

Pendirian sama pernah ditegaskan Abdul Hadi pada 4 Januari 2010.

“Pas sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.



“Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

“Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

“Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

“Pas memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat, “kenyataan rasmi Abdul Hadi yang dibacakan oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas ketika itu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipertegaskan oleh Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu sebagai membenarkan kalimah Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam.

“Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) pernah keluarkan kenyataan pada tahun 2010 untuk tidak melarang penganut agama selain Islam untuk menggunakan kalimah Allah.

“PAS masih kekal dengan pendirian itu,” kata Mohamad Sabu. -AIDC

Memang sahlah PAS = Parti Ajaran Sesat..!!!

Suara Politik
Belantan





Tiada ulasan:

Catat Ulasan