Selasa, Oktober 01, 2013

Chin Peng perlu diingati sebagai petualang bukannya dijulang?


Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tegas menyatakan bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng adalah petualang seharusnya menamatkan segala desakan, tekanan atau tindakan yang bertujuan membenarkan abu mayat mendiang dibawa pulang ke negara ini.

Kesalahan dan dosa Chin Peng tidak boleh dimaafkan apatah lagi diampunkan begitu sahaja. Abu mayatnya tidak dibenarkan dibawa pulang untuk dikebumikan atau disemadikan di Malaysia hanyalah pembalasan kecil jika berbanding dengan dosa-dosa yang Chin Peng lakukan ketika memporak-perandakan negara melalui perjuangan dalam PKM.

Chin Peng seperti mana titah Sultan Selangor adalah petualang negara yang berjuang dan berazam untuk menjadikan negara ini sebuah negara komunis. Inilah fakta sejarah yang harus diterima, difahami dan dipegang oleh semua pihak.

Tidak usahlah cuba hendak mengiktiraf Chin Peng dengan menganggap sejarah adalah sejarah dan biar ia menjadi sejarah, sedangkan kerana sejarah itulah yang memungkinkan sehingga ke hari ini beribu-ribu rakyat Malaysia khususnya anggota keselamatan yang berjuang ketika ancaman komunis dahulu menempuh perjalanan hidup yang tidak sempurna.

Suami menjadi duda, isteri menjadi balu, ayah dan ibu kehilangan anak dan si anak menjadi yatim. Apakah semua penderitaan itu mahu dilupakan begitu sahaja?

Membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang secara tidak langsung mengiktiraf perjuangan PKM dan pengkhianatan serta keganasan yang pernah yang dilakukan satu ketika dahulu. Justeru tidak payahlah mana-mana pihak hendak melakukan usaha seolah-olah Chin Peng adalah salah seorang wira yang menentang penjajah sedangkan semua orang tahu bagaimana jahatnya perancangan PKM dalam usaha mereka melaksanakan agenda komunis.

Tidak kira siapa pun seandainya mereka membuat kenyataan untuk mendesak abu Chin Peng dibawa pulang, bermakna mereka seolah-olah tidak melihat apa yang dilakukan oleh PKM sebagai satu kesalahan. Mungkin mereka tidak berada dalam kelompok rakyat negara ini yang menjadi mangsa komunis tetapi janganlah cuba menjadi 'wira' tidak tentu hala.


Suka atau tidak, setuju atau tidak, mahu atau tidak, Chin Peng adalah pengganas komunis, Chin Peng bukan perwira yang berjuang untuk memerdekakan negara tetapi Chin Peng adalah pemimpin kepada satu gerakan yang mengundang kepada kesengsaraan dan penderitaan kepada rakyat dan menghuru-harakan negara.

Justeru kita memuji ketegasan kerajaan yang tidak mahu berkompromi dan bertolak ansur dalam soal ini. Memang tepat keputusan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang. Biarlah keputusan itu tidak popular, biarlah pendirian itu akan menyebabkan mungkin ada kelompok yang tidak akan mengundi kerajaan dan biarkanlah kerajaan dianggap berat sebelah.

Semua itu tidak penting dan tidak perlu dirisaukan kerana Chin Peng yang memilih untuk mati sedemikian rupa setelah merempat di negara orang. Chin Peng bukannya tidak diberi peluang untuk menjadi rakyat Malaysia.

Dalam Perjanjian Baling, salah satu perkara yang dipersetujui ialah anggota PKM termasuk Chin Peng diberi tempoh setahun untuk memohon menjadi warganegara Malaysia dan Chin Peng difahamkan tidak membuat sebarang permohonan. Oleh itu kenapakah ada pihak yang mahu bersusah payah memperjuangkan usaha membawa pulang abu mayat bekas Setiausaha Agung PKM itu? Apa motif mereka? Janganlah soal hak asasi manusia hendak diperalatkan dalam semua perkara!

Kalau hak asasi manusia hendak diperkatakan, bagaimana pula dengan nasib keluarga rakyat dan anggota pasukan negara ini yang terkorban akibat kekejaman komunis? Apakah mereka tidak mempunyai hak asasi atau hak asasi hanya terpakai untuk individu atau kelompok tertentu yang dibela oleh pihak tertentu sahaja?

Chin Peng sudah meninggal dunia tetapi itu tidak bermakna sejarah apa yang beliau lakukan akan turut terkubur. Sejarah keganasan PKM yang diketuai oleh mendiang akan kekal dalam lipatan sejarah. Tidak usahlah berdolak-dalik dengan membentangkan pelbagai hujah dangkal semata-mata kerana mahu melihat abu mayat Chin Peng disemadikan di negara ini.

Mereka yang tidak mahu menerima keputusan kerajaan akan dilihat kelompok yang seolah-olah sengaja mahu melupakan sejarah atau berhasrat menulis sejarah. Jika mereka tidak bersikap sedemikian maka hentikan usaha sia-sia untuk membela Chin Peng. Generasi muda yang tidak begitu faham sejarah keganasan PKM tidak sepatutnya dipesongkan pemikiran mereka dengan menyatakan PKM adalah kelompok pejuang kemerdekaan.


Sebaliknya generasi muda perlu terus diperingatkan dari semasa ke semasa bahawa PKM adalah komunis, Chin Peng adalah petualang negara dan perjuangan PKM membawa petaka kepada negara. Adalah diharapkan kelompok tertentu termasuklah pemimpin daripada parti politik yang disertai oleh orang Melayu akan berkongsi sentimen dengan ketegasan kerajaan.

Tidak perlulah bertindak apa sahaja semata-mata hendak menunjukkan kononnya kita terbuka dan memperjuangkan hak asasi manusia. Kalau mahu bersikap terbuka pun biarlah bertempat, kalau mahu memperjuangkan hak asasi manusia biarlah betul.

Kini Chin Peng sudah tiada, oleh itu hentikanlah usaha untuk membawa pulang abu mendiang. Sudah cukup dosa mendiang ketika dalam PKM, janganlah pula abu mendiang pula mahu menjadi punca perbalahan sesama kita. Chin Peng yang memilih untuk tinggal di negara orang sehingga nafas terakhirnya, oleh itu terimalah hakikat ini.

Kita tidak mahu tempat abu Chin Peng disemadikan akan menjadi kawasan pemujaan atau mungkin juga 'tarikan baharu pelancong' seperti mana dikhuatiri oleh banyak pihak. Tidak kira apa pun hujah, dosa Chin Peng tidak boleh dilupakan apatah lagi dimaafkan ini kerana selagi nyawa dikandung badan dan selagi ada bulan dan bintang maka selagi itu Chin Peng akan diingati sebagai pengganas.

Ingatlah titah Sultan Selangor, ''Jangan kerana ingin mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadaikan maruah bangsa dan tanah air sendiri.'' Semoga pihak-pihak tertentu faham peringatan bermakna ini!

Oleh : Zulkifli Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan