Ahad, September 15, 2013

Pemerkasaan ekonomi bumiputera tidak ambil hak orang lain atau nafi kepentingan sesiapa, kata Najib!


SHAH ALAM, 14 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

“Yang pasti! Kami lakukan apa yang adil, kami lakukan apa yang betul, dan kami buat apa yang saksama. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa ‘nawaitu’ (niat) atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa lain,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.

Beliau dengan tegasnya berkata kerajaan ini adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.

“Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Perdana Menteri berkata sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Bumiputera telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Maka, Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional, tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Bumiputera, adalah tidak adil dan saksama, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak iaitu kerajaan sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

“Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak terbela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020,” kata Najib.

Najib turut menyelar sesetengah pelaku politik yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerunkan dan memesongkan pemikiran rakyat.

“Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita.

Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi Merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam,” kata Najib.

Inti pati Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

Berikut ialah intipati Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi MARA hari ini.

MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA

- Memperbanyakkan program latihan peningkatan kemahiran

- Mempergiatkan program latihan semula (reskilling)

- Mempergiatkan Skim Latihan 1Malaysia, Program Kebolehpasaran Graduan dan Program Peneraju Skil

- Memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA dan agensi berkaitan

- Memperluaskan Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB)

MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT

- Melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan suntikan pelaburan 10 bilion unit saham

- Mentransformasikan program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) melalui Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS)

MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA

- Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia

- Memperkukuhkan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (PUNB) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri.

- Memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dengan kerajaan negeri

- Perkukuhkan UDA Corporation untuk membangunkan hartanah

- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan hartanah memberi penekanan kepada pembangunan hartanah bumiputera

MEMPERHEBATKAN KEUSAHAWAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA

- Memperkuatkan peranan agensi pembangunan usahawan bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB

- Menambah pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta

- Menambah pembiayaan pinjaman kepada TEKUN Nasional sebanyak RM700 juta

- Mengarahkan kementerian dan agensi mengukuhkan Program Pembangunan Vendor (VDP)

- Memastikan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank

- Melonjakkan program VDP di bawah Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Telekom Malaysia (TM), Axiata dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM)

- Ketua Pegawai Eksekutif GLC menetapkan sasaran penyertaan bumiputera sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

- Program VDP Petronas RM20 bilion setahun dan 22 skop kerja untuk bumiputera

- GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) menerajui usaha mewujudkan konsortium syarikat bumiputera dalam sektor rangkaian pembekalan - Mempergiatkan program penswastaan perkhidmatan kerajaan secara terpilih

- Memperluaskan dasar 'carve-out’ untuk projek-projek besar di bawah kementerian, GLC dan GLIC.

(Dasar ’carve-out’ berjaya dilakukan dalam projek MRT dimana sebanyak 47 peratus atau RM9 bilion dianugerahkan kepada syarikat bumiputera terpilih secara meritokrasi)

- Membina satu komuniti baru ’entrepreneur’ bumiputera

- Memperkenalkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB)

MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

- Mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, komprehensif dan konstruktif - Mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) di semua kementerian

- Meningkatkan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada 250,000 menjelang 2020

- Menubuhkan beberapa kampus baru UiTM

- Menubuhkan dana pendidikan MARA berjumlah RM1 bilion

- Membestarikan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)

- Meletakkan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan SUPERB di bawah TERAJU

- Menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera

Sumber : Bernama

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan