Ahad, Ogos 04, 2013

Kekalkan Akta Hasutan 1948?


Penulis dan rakan-rakan rasa amat gembira sekali membaca berita bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri akan mempertahankan Akta Hasutan 1948 daripada dimansuhkan.

Pendirian beliau untuk berbuat demikian adalah sangat terpuji kerana beliau sedar bahawa tanpa akta ini, rakyat yang tidak bertanggungjawab akan bebas menghasut rakyat dengan segala macam propaganda dan niat jahat yang akhirnya akan memusnahkan kestabilan negara yang kita kecapi sekarang ini.

Kita hormat kepada Datuk Seri kerana keberanian, keazaman dan keprihatinannya memikul tanggungjawab, walaupun digugat. Menteri seperti inilah yang kita mahu dan yang mesti kita sokong dan pertahankan.

Kami tabik kepada Datuk Seri Menteri kerana berpegang teguh dan patuh pada undang-undang yang ada untuk mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Rakyat boleh hidup dalam harmoni dan aman apabila mematuhi undang-undang negara yang dibuat oleh rakyat negara itu sendiri.

Tetapi apabila undang-undang dicabul, maka hilanglah keamanan dan kestabilan negara dan rakyat akan berbuat sesuka hati mengikut nafsu buas untuk memenuhi kepentingan diri sendiri tanpa menghormati hak orang lain.

Sekiranya Akta Hasutan 1948 ini dihapuskan, maka akan berpestalah orang berhati busuk menabur fitnah di sana sini. Mereka tidak akan lagi takut untuk berbuat demikian kerana tiada undang-undang untuk menyekat mereka.

Buruk sangka akan terjadi antara rakyat negeri ini secara berleluasa, yang akhirnya akan menimbulkan malapetaka yang dahsyat.

Rakyat Malaysia tidak mahu perkara ini terjadi. Semua orang akan rugi dan kalah, tiada siapa yang untung dan menang. Ketika kita masih mempunyai Akta Hasutan 1948 pun sudah ada manusia menghasut demi untuk kepentingan mereka sendiri, seperti menghina Islam dan nabinya , Raja dan kedudukan orang Melayu yang terang-terang ditegah oleh undang-undang. Apatah lagi sekiranya akta itu dihapuskan! Penulis pasti keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Negara bertamadun yang kononnya mengamalkan demokrasi pun mempunyai undang-undang untuk menjaga keselamatan rakyat masing-masing.

Umpamanya, Amerika Syarikat yang mempunyai Akta Patriot dengan 10 tujuan, merangkumi hasrat untuk memperkuatkan keselamatan dalam negeri dan memperluaskan kuasa kerajaan untuk mengenal pasti dan memerangi pengganas.

Akta ini digunakan untuk menangani banyak perkara termasuklah bagi menentang anasir-anasir yang akan memporakperandakan negara.

Pada dasarnya Akta Patriot Amerika Syarikat ini adalah lebih kurang menyerupai Akta Hasutan 1948 negara kita. Tetapi demi untuk keselamatan negara mereka, rakyat Amerika Syarikat masih mengekalkan Akta Patriot mereka ini. Mengapa pula kita mahu menghapuskannya?

Semua agama mengajar kita supaya tidak menghasut. Dalam Islam, al-Quran dan hadis menyimpulkan bahawa mengumpat merupakan salah suatu dosa besar dan ia merupakan perbuatan yang tercela seolah-olah pelakunya memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati.

Dalam agama Buddha disebut If a person fails to have faith but instead slanders the sutra, immediately he will destroy all the seeds for becoming a Buddha in this world; To seek enlightenment without repudiating slander is as futile as trying to find water in the midst of fire or fire in the midst of water; And he is a slanderer, having heard something at one place, he makes it known elsewhere for causing variance among other people. Agama Hindu menyatakan One giving false evidence or uttering falsehood goes to Raurava hell.

Agama Kristian menyatakan You shall not bear false witness against your neighbor.

Taoism menyatakan To break up friendships and set kinfolk at odds is called maliciousness.

Orang yang tidak beragama sekalipun, sekiranya mereka mempunyai fikiran yang waras, tidak akan mengutuk perbuatan menghasut.

Teruskanlah usaha murni Datuk Seri dalam menegakkan undang-undang negara. Seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan sentiasa menyokong usaha murni ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan