Khamis, Ogos 08, 2013

Aidilfitri mengembalikan diri kepada fitrah - Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin?


Aidilfitri adalah bulan yang ditunggu selepas sebulan melalui madrasah Ramadan. Seperti juga ibadat-ibadat lain maksud yang dipedomankan oleh Islam supaya setiap umat Islam dapat membina jiwa kehambaan yang tinggi dan berperanan sebagai khalifah yang penuh hikmah.

Kehambaan yang tinggi membangun jiwa rukuk dan sujud yang tinggi juga. Ia mendukung maksud ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan kepada Allah SWT. Dalam maksud yang luas tarbiyyah Ramadan mengukuhkan asas rohaniah dan membawa perubahan kepada diri.

Ramadan tidak saja amalan yang berifat rohaniah dan jasmaniah. Ada dorongan rohaniah yang menyebabkan manusia berubah dan ada dorongan jasmaniah yang menyebabkan manusia insaf.

Pengekangan hawa nafsu dari bersifat haiwani mempengaruhi tabiat, sikap dan tingkah laku. Kalau sebelum tarbiyyah ini terjadi, sikap sombong, angkuh, ego seseorang agak tinggi. Tetapi selepas melalui tarbiyyah Ramadan ia jadi berubah. Menginsafi betapa kerdil dirinya di sisi Allah dan menyedari bahawa puncak kebanggaan manusia ialah Allah Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat.

Justeru kesedaran dalaman diri manusia terlalu amat penting. Mengukur tarbiyyah Ramadan di lalui dengan jayanya adalah perubahan sikap dan tingkah laku yang ada pada diri. Daripada seorang yang kedekut dan bakhil, seorang yang bengis dan suka dipuji bertukar menjadi seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan seorang yang penyayang dan membantu yang susah. Dari seorang yang pendendam dan hasad dengki bertukar menjadi seorang yang sabar dan sentiasa berhemah dalam melakukan sesuatu.

Tetapi bagaimana harus terjadi sedangkan ibadah ini dianggap sebagai rutin hidup yang hanya terhubung dengan Allah tetapi tidak terhubung dengan diri dan manusia atau diri dengan orang lain. Setiap tahun orang berpuasa, melakukan tarawih, bangun sahur, bertadarus dan solat sunat, wataknya tidak berubah. Dimensi hablumminallah ada tetapi dimensi hablumminannas tidak banyak berubah.

Selepas Ramadan dengan melalui segala macam cabaran wataknya tidak banyak berubah. Secara zahir produktiviti rohaniahnya tinggi dengan aktiviti ibadah yang banyak tetapi pada hakikatnya produktiviti amaliahnya masih rendah. Ia memerlukan muhasabah yang tinggi supaya ada upaya merenung ke dalam diri mengapa watak diri tetap sama dan perubahan tidak juga berlaku. Perubahan diri manusia bergantung kepada niat yang bersih dan ilmu yang memberi suluh supaya perubahan diri terjadi.

Kalau ada tekad untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan keyakinan yang sungguh-sungguh bahawa ibadat bukan hanya ritual, ikut-ikutan dan turut-turutan semata tetapi ia suatu proses mengukuhkan rohani supaya perubahan diri itu bermula dari dalam.

Apabila hati dan niat mahu berubah ikhlas kerana Allah kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri seperti gelojoh, ego, sombong, pendendam, tidak ada jiwa pemaaf adalah dibenci oleh Allah, maka dengan sendirinya ahli ibadah ingin kembali kepada diri yang fitrah.

Inilah maksud Aidilfitri sebenarnya iaitu diri yang menang dalam pertarungan dengan hawa nafsu, diri yang berjaya dibebaskan daripada belenggu sifat-sifat mazmumah (terkeji) kepada sifat-sifat mahmudah (terpuji).

Jika ini berlaku di saat merayakan Aidilfitri, fitrah diri akan kelihatan seolah-olah kita baru dilahirkan dengan sifat dan sikap baru dan menjadikan watak dan amal kita sesuatu yang sangat bermakna.

Takbir dan tahmid yang dilafazkan, kesediaan menerima maaf dan saling memaafkan, memperbanyakkan ziarah, meraikan golongan miskin dan daif adalah gambaran awal memahami bahawa Kebesaran Allah itu terlihat dalam tingkah laku kita menyantuni yang tidak bernasib dan rasa syukur yang tinggi terhadap rahmah dan nikmah yang kita terima.

Sekiranya bawaan ini diperkukuh dengan ilmu yang membawa kepada keinsafan, ibadah yang mengukuh rohani bakal terpancar perubahan diri dalam bentuk amal dan perbuatan yang benar-benar bermakna.

Aidilfitri diharapkan menjadi sempadan zaman silam yang dilalui dengan pekerti mazmumah yang jelik dengan pekerti mahmudah yang ramah dan menjadikan diri kita orang yang dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dan hampir dengan manusia.

Penulis mengambil kesempatan ini memohon maaf zahir batin sekiranya penampilan Belantan selama ini menyinggung perasaan. Bacalah apa yang tersirat moga ia memberi manfaat. Wallahuallam.

Ikhlas dari : Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan