Jumaat, Ogos 16, 2013

22 Ogos penentu isu penggunaan kalimah Allah?


Timbangan dan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Ogos ini terhadap permohonan Paderi Besar Kristian Katholik, Tan Sri Murphy Pakiam bagi menolak rayuan dikemukakan Menteri Dalam Negeri berikutan keputusan Mahkamah Tinggi akan menjadi penentu kelangsungan isu pengunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam di negara ini.

Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, 22 Ogos ini merupakan tarikh penting yang akan mencatat sejarah sama ada Mahkamah Rayuan membenar atau sebaliknya tentang rayuan Menteri Dalam Negeri itu diketepikan melalui permohonan Pakiam.

Jelas beliau, seandainya permohonan Pakiam itu diterima bermakna rayuan yang dipohon Menteri Dalam Negeri juga akan tamat dan prosiding rayuan penuh dijangka diadakan pada 10 September 2013 turut tidak akan dijalankan.

"Ini juga bermakna bantahan umat Islam terhadap penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, khususnya penganut Kristian tidak lagi menjadi isu dan mereka akan bebas menggunakan kalimah Allah sewenang-wenangnya.


"Kesan jangka pendek dan jangka panjang telah dihuraikan panjang lebar oleh pihak berautoriti yang telah mengemukakan pandangan dan pendapat mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik The Herald menggunakan kalimah Allah.

Gereja Katolik itu yang diketuai Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Februari 2010 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, antara lain bagi memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.

Akhbar mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada God dalam The Herald terbitan bahasa Melayu terutamanya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak tetapi kerajaan berhujah bahawa kalimah suci itu hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.


Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah salah, batal dan tidak sah.

Kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sementara itu tambah Hasan, ulasan dan kritikan Pakiam terhadap kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri yang bertindak mengemukakan rayuan dilihat sebagai biadab dan mengenepikan sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Beliau telah menggunakan perkataan 'tidak rasional' dan 'tidak wajar' di pihak kerajaan yang membuat rayuan, padahal Kabinet telah memutuskan mengikut fahaman Pakiam akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi melalui kenyataan 10 perkara yang telah dikeluarkan," katanya.


Ulasan yang dibuat oleh Pakiam itu sesungguhnya bersifat subjudis, biadab dan sama sekali mengetepikan sensitiviti umat Islam di negara ini, malah permohonannya itu juga adalah satu tindakan keterlaluan dan berniat jahat serta sengaja ingin menguji tahap kesabaran umat Islam," katanya.

Dalam pada itu menurut Hasan, pihaknya berterima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bersetuju untuk menyediakan teks khutbah khas menyentuh persoalan kalimah Allah yang akan dibaca oleh para khatib pada Jumaat, 16 Ogos ini.

"Ini akan diikuti dengan solat hajat khusus sebaik-baik sahaja selesai solat Jumaat untuk memohon kepada Allah agar keputusan Mahkamah Rayuan nanti berpihak kepada umat Islam.

"Pada masa sama, JATI ingin menggesa pihak-pihak yang berwajib dan umat Islam di seluruh negara dapat mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan