Selasa, Julai 30, 2013

Tuduhan untuk menghakis jasa UMNO!

Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai (tiga kanan) mendengar taklimat berhubung masalah pengambilan sebahagian tanah SJKC Chin Woo, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lazimnya masalah SJKC di seluruh negara mampu diselesaikan dengan kerjasama UMNO/BN.


"Bagi saya yang bukan ahli MCA, PRU-13 saya undi parti pembangkang tetapi saya juga tidak mahu MCA terumbang-ambing kerana pakatan pembangkang masih belum mainstream (terutama sekali PKR) untuk pastikan UMNO tidak monopoli.

"MCA sendiri mahu jaga kepentingan parti dan kepentingan pertubuhan dalam parti, sebab itu perlu patuh dan tunduk mengikut telunjuk UMNO. Jika mahu pertahankan kepentingan orang Cina, terpaksa menentang UMNO umpama durian dengan timun.

"Tetapi, jika MCA masih lagi bersikap konservatif di takuk lama, mengikut telunjuk dan duduk di bawah naungan orang lain untuk mendapat kepentingan yang sedikit, menggadaikan maruah bangsa sendiri, beranikah MCA impikan masyarakat Cina akan kembali kepada mereka? Jika begitu, kita sudah boleh jangka keputusan PRU-14 nanti!''

Apakah perasaan pemimpin UMNO, ahli UMNO dan orang Melayu apabila membaca petikan ini yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam ruangan Isu-isu akhbar Cina pada 25 Julai lalu. Baca di sini,

Tulisan Tai Boo Kui yang disiarkan oleh akhbar Sinchew Daily bertarikh 23 Julai 2013 itu jelas membuktikan sikap sebenar majoriti masyarakat Cina mengenai kedudukan MCA dalam Barisan Nasional (BN) dan persepsi mereka terhadap UMNO.

Kenyataan seumpama ini seharusnya menjadi cabaran kepada UMNO dan orang Melayu untuk menyedari agenda sesetengah kaum Cina untuk terus menghasut supaya kesepakatan dalam BN diranapkan. Penulis berkenaan sudah pasti antara mereka yang merasai nikmat daripada hasil kerjasama MCA dalam BN yang bermula dengan Parti Perikatan selepas merdeka.


Tetapi seperti diduga jasa-jasa BN dalam memperjuangkan nasib semua kaum semakin mahu dilupakan, malahan keikhlasan UMNO yang menjadi tonggak pemerintahan negara sehingga memungkinkan Malaysia mencapai tahap sekarang dan membolehkan kaum Cina turut menikmati kemakmuran khususnya menguasai bidang ekonomi mahu dilenyapkan.

Adalah jelas melalui penulisan itu, ada desakan supaya MCA tidak terus tunduk kepada UMNO, biar pun hakikatnya ia hanya dakwaan semata-mata. Bagi puak seumpama ini, MCA harus menjadi 'taiko' seperti parti cauvinis DAP dalam pakatan pembangkang.

Mereka mahu MCA bersikap seperti DAP iaitu memastikan parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu khususnya Pas tidak boleh bersuara banyak sebaliknya mengikut sahaja apa kehendak DAP.

Mereka mahu melihat MCA berpolitik seperti DAP yang sentiasa bersedia melakukan apa sahaja asalkan kaum Cina menyokong mereka dan mereka juga mahu MCA bersikap cauvinis seperti DAP untuk memainkan isu-isu yang menyentuh soal perkauman.

Selain itu bagi mereka juga, kepentingan dan hak orang Cina hanya boleh diperjuangkan dan ditegakkan jika MCA menjadi 'taiko' dalam BN dan bukannya membiarkan UMNO menjadi tonggak utama.

Bagi mereka, apa yang dicapai oleh DAP adalah satu kecemerlangan kerana berjaya mempedaya pemimpin-pemimpin Melayu untuk memastikan parti itu dominan dalam pakatan pembangkang, apabila memperolehi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum lalu.


Persoalannya, apakah sentimen seumpama ini wajar disebarkan? Wajarkah perpaduan dalam BN mahu diporak-perandakan semata-mata kerana ada puak merasakan sekarang adalah masa untuk kaum Cina menguasai politik selepas bidang ekonomi berada di bawah takluk mereka.

Sepatutnya, penulis berkenaan berfikiran lebih matang dengan mengkaji satu persatu bagaimana nasib kaum Cina sepanjang berada di bawah pemerintahan BN. Biar pun MCA bukan dominan dalam kerajaan BN namun kepentingan kaum Cina tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan.

Malahan sekolah-sekolah Cina yang menjadi institusi kebanggaan masyarakat Cina terus menerima peruntukan berjuta-juta ringgit setiap tahun, ada kalanya jauh lebih banyak daripada diterima oleh pondok-pondok pengajian Islam, oleh itu apa lagi yang penulis itu mahu?

Mungkin sekali lagi, tulisan ini dianggap rasis tetapi sebelum andaian itu dibuat, apakah penulis rencana berkenaan tidak bersikap rasis apabila menyatakan MCA patuh dan tunduk mengikut telunjuk UMNO sedangkan andaian itu tidak benar sama sekali.

Selama ini konsep perkongsian kuasa di dalam BN berasaskan kepada sefahaman, kesepakatan dan toleransi. Berikutan sikap seumpama itulah rakyat dan negara menikmati kemakmuran. Tetapi malangnya bagi penulis tersebut ia mencukupi.

Adalah diharapkan MCA tidak akan termakan dengan hasutan atau provokasi seumpama ini. MCA tidak boleh bersikap seperti DAP kerana selama ini pun hak-hak kaum Cina yang diperjuangkan oleh MCA tidak dipinggirkan oleh kerajaan.


Kegagalan MCA dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana kelemahan sistem perkongsian kuasa dalam BN tetapi disebabkan permainan politik perkauman oleh pakatan pembangkang khususnya DAP yang berjaya meracuni masyarakat Cina supaya tidak menyokong BN.

Sebenarnya yang menggadaikan maruah bangsa sendiri seperti mana dituduh oleh penulis rencana itu bukanlah MCA tetapi puak-puak dalam kalangan masyarakat Cina yang bersedia memainkan isu perkauman demi mencari kuasa politik.

Apa pun, kenyataan seumpama itu harus memberi peringatan kepada pemimpin dan ahli UMNO serta orang Melayu, inilah akibat apabila mereka dilihat semakin lemah akibat percaturan politik sesama sendiri.

Dalam keadaan kita bertolak ansur dan sentiasa bersikap toleransi melalui pendekatan politik yang diamalkan oleh BN rupa-rupanya ada pihak yang mahu bertindak sebagai penghasut bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen BN.

Justeru, UMNO perlu memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam persada politik tanah air. Persetankan dengan hasutan-hasutan yang cuba mengganggu gugat hubungan dan kesepakatan dalam BN.

Sebaliknya, UMNO perlu terus istiqamah untuk menjadi payung kepada orang Melayu dan dalam masa yang sama meneruskan dasarnya memastikan kepentingan kaum-kaum lain tidak terjejas.


Sekarang bukanlah lagi masa untuk kita menjaga hati sesiapa, sebaliknya memperkukuhkan kedudukan politik supaya puak-puak yang mahu bertindak sebagai penghasut bagi menghancurkan kerjasama dalam BN ditumbangkan.

Tidak apalah, jika mereka mahu menuduh UMNO menjadi 'taiko' dan parti-parti komponen lain khususnya MCA hanya mengikut telunjuk, itu andaian mereka tetapi yang pastinya UMNO sudah membuktikan bahawa parti itu bukan parti perkauman dan tidak pernah 'membuli' mana-mana ahli-ahli komponen BN.

Sebaliknya apa yang kita saksikan dalam pakatan pembangkang ada yang menjadi 'pak turut' dan ada yang menjadi 'taiko'. Kesudahannya kerjasama mereka tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara.

Mungkin benar ada kelemahan yang perlu diperbaiki oleh MCA tetapi bukannya dengan bertindak mahu menjadi jaguh kepada kaum Cina secara membuta-tuli.

Ia memandangkan jika seumpama itu jika dilaksanakan, percayalah MCA akan menjadi parti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dalam masa yang sama, kita juga percaya ramai yang tidak akan bersetuju dengan pandangan penulis rencana itu yang ternyata cuba memainkan sentimen perkauman semata-mata terlalu taksub mahukan MCA bersikap seperti DAP.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan