Rabu, Julai 17, 2013

Kenapa biarkan bukan Islam semakin biadab?


Sekali lagi, sebagai umat Islam, kita seolah-olah dipaksa untuk menyaksikan keberanian luar biasa pihak tertentu menghina kesucian Islam.

Tindakan terbaru pasangan Alvin dan Vivian melalui Facebook rasmi milik pasangan itu, mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan' cukup dikesalkan.

Tetapi sekadar melahirkan kekesalan, berasa sedih dan meluahkan maki-hamun kepada pasangan ini tidak akan menyelesaikan masalah. Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama kita terpaksa melihat bagaimana wujudnya satu keberanian oleh individu-individu tertentu bukan sahaja menghina agama Islam tetapi juga orang Melayu.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dihina dengan begitu teruk sekali oleh golongan bukan Melayu. Persoalannya, apa sudah jadi dengan agensi-agensi yang seharusnya bertanggungjawab menangani perbuatan biadab ini?

Kenapakah sekadar memerhati sahaja satu demi satu laporan polis yang dibuat? Siapakah yang harus dipersalahkan berikutan menularnya gejala yang dianggap boleh mengancam toleransi beragama di negara ini?

Anehnya, jika orang Melayu dilihat bertindak menyinggung perasaan bukan Islam, maka terpekik terlolong pelbagai pihak menggesa tindakan diambil. Tetapi apabila ia berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam, kes-kes yang dilaporkan seolah-olah didiamkan begitu sahaja.

Akibat kelemahan inilah ia memungkinkan wujudnya individu-individu biadab seperti Alvin dan Vivian atau sebelum ini Namewee yang pernah mempersendakan azan subuh. Mereka seolah-olah tidak takut dengan kemarahan umat Islam, sebaliknya mereka berasa bangga kerana boleh mengutuk dan menghina agama Islam.


Sebelum ini sudah terdapat banyak kes penghinaan yang dilakukan ke atas agama Islam orang Melayu dan raja-raja tetapi kesudahannya ia didiamkan begitu sahaja.

Walaupun laporan polis dibuat namun sehingga kini individu yang terlibat terus bebas melakukan perbuatan biadab mereka. Oleh itu pihak-pihak berkenaan tidak harus melenting jika ada yang menganggap agensi-agensi sedia ada dan bertanggungjawab menangani isu seumpama semakin hilang taringnya.

Kewujudan mereka hanya sekadar organisasi dan tidak berupaya melakukan apa-apa ke atas individu seperti Alvin dan Vivian mahupun Namewee.

Sama ada hendak diakui atau tidak, keberanian yang ditunjukkan oleh individu bukan Islam ini, bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan agensi terlibat tetapi juga akibat daripada perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Kita berpecah belah kerana politik, kita tidak boleh sekata kerana berbeza fahaman politik dan kita tidak boleh bersatu kerana perjuangan politik yang berbeza.

Keadaan itulah yang memungkinkan dari semasa ke semasa muncul individu-individu yang sewenang-wenangnya melakukan penghinaan ke atas agama Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja.

Kita sudah bosan dengan amaran dan kita berasa muak dengan laporan demi laporan polis yang dibuat tetapi kesudahannya ia tidak membawa apa-apa erti.

Bagaimanapun dalam kes Alvin dan Vivian ini, ia seharusnya menyedarkan umat Islam bagaimana begitu mudah agama suci kita dihina dan ibadat kita dipersendakan.

Puak-puak seumpama itu akan terus dengan perbuatan gila mereka selagi umat Islam tidak bertegas untuk bangkit melakukan penentangan supaya tindakan tegas dikenakan.


''Terus-terang saya katakan, sekiranya undang-undang membolehkan saya memijak kepala Alvin dan Vivian, tentu sudah pecah kepala saya kerjakan. Pada saya, mereka boleh bertelanjang dan mengadakan pertunjukan seks di depan pintu masuk Universal Studio atau di patung kepala singa di Singapura.

''Tapi kalau sampai mempersenda kesucian bulan Ramadan, mencemar hukum-hakam di dalam Islam dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang sedang berpuasa, pada saya perbuatan itu sudah cukup melampau dan tidak wajar dimaafkan lagi,'' tegas pengendali blog MyKMU.net.

Bukan kata pengendali blog tersebut, malahan keseluruhan umat Islam amat marah dengan tindakan biadab menghina agama Islam tetapi kuasa bertindak bukan di tangan mereka.

Sebaliknya ia terletak di tangan agensi-agensi yang diberi kuasa untuk bertindak. Tetapi malangnya kita melihat agensi-agensi berkenaan paling tinggi pun hanya menyatakan siasatan sedang dijalankan namun kesudahannya tiada apa-apa tindakan yang diambil.

Keadaan inilah yang memungkinkan, mana-mana pihak tidak berasa bersalah dengan perbuatan kurang ajar mereka. Malah mereka merasakan ia salah satu daripada kebebasan bersuara tanpa menyedari bahawa kesabaran umat Islam ada batasnya.

Sebab itulah, kali ini umat Islam mahu melihat tindakan tegas diambil ke atas individu-individu terlibat. Sekarang bukan lagi masa untuk berkompromi apatah lagi memberi amaran.

Apakah peruntukan undang-undang sedia ada begitu lemah sehingga memungkinkan agama Islam boleh dihina dengan begitu teruk sekali?

Justeru kepada agensi-agensi terlibat, sedarilah bahaya yang sedang dimainkan oleh puak-puak biadab berkenaan.

Kita bimbang jika perbuatan menghina agama Islam dan orang Melayu dibiarkan, ia boleh mencetuskan perasaan marah yang tidak mampu lagi dikawal sehingga memungkinkan tercetus huru-hara dalam negara.


Penulis percaya ramai lagi individu bukan Islam yang tidak bersetuju dengan perbuatan menghina Islam tetapi mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa sekadar memberi peringatan supaya perbuatan berkenaan dihentikan.

Atas sebab itulah, kita mahu melihat pihak berkuasa menunjukkan ketegasan yang sebenar-benarnya dalam menangani isu ini.

Sampai bilakah kita harus melihat kelompok yang biadab dan tidak tahu menghormati toleransi beragama ini dibiarkan bebas begitu sahaja tanpa dikenakan apa-apa tindakan?

Justeru cara terbaik bagi meredakan kemarahan umat Islam ialah memastikan golongan yang tidak bertamadun itu dibawa ke muka pengadilan.

Kita tidak peduli jika akan ada parti-parti politik tertentu akan bersedia menjadi pembela mereka dengan menyediakan peguam-peguam kerana apa yang lebih penting tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada individu-individu lain supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Namun kita hanya mampu berharap, membuat gesaan dan melahirkan kekesalan, kesudahan yang mampu bertindak hanyalah agensi-agensi yang diberi amanah untuk berbuat demikian.

Janganlah terlalu berlembut, apatah lagi memikirkan risiko itu dan ini, jika tindakan tegas diambil, ia memandangkan seharusnya tidak ada pengampunan terhadap sesiapa juga yang menghina mana-mana juga agama apatah lagi agama Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan.

Percayalah, jika perbuatan biadab itu dibiarkan berterusan ia akan mengundang petaka kepada keharmonian kaum dan toleransi agama di negara ini.

Jika itu terjadi, tiada apa yang boleh dilakukan sebaliknya bersedialah menyaksikan akibat buruk berikutan kelemahan agensi tertentu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kerana umat Islam tidak akan selama-lamanya mendiamkan diri jika agama suci kita terus dipersendakan. Oleh itu bertindaklah sebelum terlambat!

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan