Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Julai 28, 2013
Ada pihak ambil kesempatan politikkan isu kantin sekolah dan mainkan sentimen perkauman?
Kejadian berlaku di sebuah sekolah kebangsaan iaitu SK Seri Pristina, bertempat di Sungai Buloh, Selangor. Ramai yang bingung mengapa hal kantin sekolah di bilik persalinan menjadi begitu heboh. Hal yang pada awalnya tiada apa-apa yang luar biasa bertukar rumit dan menjalar menjadi isu yang dikait-kaitkan pula dengan soal agama dan perkauman.
Hal yang sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi isu emosional yang ditanggapi secara berlebihan. Mengapa, kerana ada orang politik yang tiada kena mengena mahu mengambil kesempatan demi meraih keuntungan politik.
Bukankah hal yang luar biasa untuk seorang pembesar dari sebuah negeri yang nun jauh di sana sanggup menggunakan waktunya untuk mengulas isu ini? Satu demi satu kenyataan dikeluarkan sehingga hal-hal sampingan pun mahu diulasnya. Kenyataan demi kenyataan itu disebar luas seolah-olah beliau begitu signifikan dengan kejadian tersebut.
Anehnya, Menteri Besar Selangor atau Exco yang menjaga hal ehwal pendidikan, tempat di mana sekolah itu berada tidak pula kedengaran mengeluarkan kenyataan. Ketua-ketua parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memerintah negeri Selangor juga tidaklah setangkas beliau mahu mengulas hal ini. Jadi, apa halnya?
Motifnya mudah diduga. Sikap seperti ini sudah lama menjadi cara parti ini berkembang. Jalan fikir pemimpin parti ini mudah, mainkan persepsi dan tiupkan sentimen atas apa juga perkara yang boleh menimbulkan keraguan.
Cuba fikirkan sejenak mengapa kumpulan ahli politik ini dan media yang menyokong mereka bersungguh-sungguh mengulas isu kantin di bilik persalinan ini. Mereka seperti sengaja mengesampingkan urutan proses mengapa bilik itu terpaksa digunakan sebagai kantin sejak tiga bulan lalu iaitu sebelum bulan Ramadan lagi.
Segala upaya juga sudah dilakukan agar bilik itu layak sebagai tempat makan untuk sementara waktu bukan sahaja kepada murid bukan Islam tetapi juga semua murid dan kakitangan sekolah itu. PIBG juga sudah maklum tentang hal tersebut.
Apa yang juga jelas, bukanlah ada niat daripada pihak pengurusan sekolah untuk meminggirkan murid bukan beragama Islam yang kebetulan merupakan kumpulan minoriti di sekolah rendah itu. Cuma mungkin keputusan menjadikan bilik persalinan sebagai kantin adalah tindakan yang kurang bijak tetap hal ini masih boleh diperdebatkan.
Jadi, apa halnya yang kecoh sangat. Isu kaum dan agama yang cuba dibangkitkan sebenarnya hanyalah satu cubaan jahat untuk meniupkan api kebencian antara masyarakat.
Ibu bapa yang marah-marah sepatutnya marahkan diri sendiri kerana tidak peka dengan perkembangan sekolah malah mereka sendiri pun mungkin malas menghadiri mesyuarat PiBG. Mengapa pihak berkaitan tidak mempertikaikan keputusan itu sejak mula dilaksanakan tiga bulan lalu adalah persoalan yang menarik untuk diteliti.
Cauvinis
Ada ibu bapa malah membiarkan hal kantin ini dipergunakan sebagai isu politik. Mereka membiarkan diri untuk dijadikan alat kepada kumpulan tertentu terutama dari parti cauvinis itu untuk 'mencucuk' jarum.
Jadilah isu kantin di bilik persalinan sebagai modal kononnya kumpulan minoriti dipinggirkan. Di tangan kumpulan ini, jadilah isu yang mudah bertukar rumit yang kemudian cuba dikait-kaitkan dengan soal kaum dan agama.
Dengan mudah pula kumpulan ini mengaitkannya dengan tindakan-tindakan oleh kerajaan sebelum ini. Tak semena-mena tindakan pantas pejabat Peguam Negara mendakwa pasangan blogger lucah Alvian Tan dan Vivian Lee kerana menghina Islam dijadikan sandaran alasan kerajaan lemah, tidak cekap dan tidak jujur.
Mereka mahu menunjukkan kerajaan pilih bulu dan membuat pendakwaan terpilih. Tak semena-mena pula ada yang mengaitkan dengan pemimpin tertentu. Mereka mengaitkannya dengan kenyataan mengenai Bible oleh Datuk Ibrahim Ali. Begitu juga hal itu dikaitkan dengan kenyataan mengenai kaum India oleh Datuk Zulkifli Noordin yang sudah berkurun-kurun lamanya. Kedua-duanya dikaitkan kerana mereka adalah pemimpin yang memperjuangkan Islam dan nasib orang Melayu.
Mengapakah kelompok ahli politik ini tidak membangkitkan hal-hal yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang pernah dilakukan oleh beberapa pemimpin DAP sebelum ini?
Jika benar memperjuangkan kepentingan nasional mengapa kelompok ini berdiam diri dalam isu laporan polis pada Mei lalu tentang seorang guru sekolah menengah di Johor yang menghina orang Melayu? Merekalah sebenarnya jaguh membangkitkan isu-isu terpilih.
Telitilah, ke manakah arahnya hingar-bingar isu bilik persalinan ini? Tetapi inilah resam berpolitik di Malaysia. Dengan dukungan pegawai penyelidik dan sokongan tentera siber mereka, fakta bukanlah perkara penting kerana boleh diputar belit. Mereka akan menyerang dan menimbulkan keraguan dengan berbekalkan fakta yang separuh benar.
Setangkas mereka membuat ulasan, sepantas itulah juga kumpulan ahli politik ini mengelak jika ada isu yang tidak memberi kelebihan kepada kelompok atau kepentingan mereka. Mereka sentiasa ada helah untuk mengalihkan isu.
Paling mudah ialah salahkan kerajaan yang merupakan sasaran mudah untuk meraih simpati. Tidak terlihat pun mereka mahu mencari jalan menyelesaikan masalah apatah lagi meredakan kegawatan yang timbul.
Jika sesuatu isu itu gagal ditangani, jawapannya ialah salahkan kerajaan sedangkan merekalah sebenarnya punca masalah tersebut bertambah rumit, lantas gagal diatasi secara menyeluruh.
Kumpulan ahli politik ini lebih suka masalah terutamanya yang melibatkan sentimen kaum dan agama. Mereka suka bermain di permukaan dan kemudian memelihara sentimen itu agar terus terapung-apung.
Ini kerana, jika terdesak atau sesak-sesak boleh digunakan untuk menimbulkan persepsi tidak baik kepada pihak lawan. Benar-benar politik kantin sekolah!
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan