Selasa, Jun 04, 2013

Wajarkah kakitangan kerajaan menyokong pembangkang?

Sekadar gambar hiasan

Pada PRU ke-13 yang lepas, kita dapati terdapat kakitangan Kerajaan yang secara terbuka memihak kepada pembangkang. Walaupun ini bukan petanda keseluruhan kakitangan Kerajaan terlibat, tetapi sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa terdapat juga di kalangan mereka yang mempengaruhi orang lain untuk sama-sama membenci Kerajaan, padahal dalam masa yang sama mereka masih kekal sebagai kakitangan Kerajaan, menerima gaji dan imbuhan dari Kerajaan serta menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.

Undurlah secara terhormat!

Dalam politik, kesan penentangan pegawai-pegawai dan kakitangan terhadap Kerajaan yang sah adalah terlalu besar dan merugikan semua pihak terutama sekali jika penentangan itu datangnya dari kalangan pegawai-pegawai dalam Kumpulan A iaitu Kumpulan Pengurusan.

Kita sedia maklum dan menghargai betapa besar dan pentingnya sumbangan pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan di dalam melaksanakan agenda memartabatkan bangsa Melayu. Nikmat pembangunan seperti mana yang dikecapi pada hari ini adalah secara langsung datangnya daripada keikhlasan pegawai-pegawai Kerajaan yang telah memberikan perkhidmatannya kepada rakyat dan orang ramai dengan cemerlang tanpa mengenal penat lelah.

Contoh terbaik bekas kakitangan kerajaan yang berpaling tadah dan masih menikmati pencen bulanan sehingga sekarang

Kemewahan dan kesenangan hidup yang kita semua nikmati pada hari ini adalah hasil daripada kemantapan dan profesionalisme pegawai-pegawai Kerajaan membantu menggubal dasar-dasar ekonomi negara.

Keamanan dan ketenteraman kehidupan di negara ini seperti mana yang kita nikmati hari ini adalah datangnya dari titik peluh anggota-anggota keselamatan termasuk perkhidmatan polis yang begitu komited dan berani mempastikan keselamatan dan keamanan terus kekal di negara ini.

Tanpa komitmen, keikhlasan dan profesionalisme mereka, tidak mungkin kita dapat hidup dalam aman. Dengan keadaan itulah maka agenda memartabatkan bangsa telah dapat dijalankan dengan sistematik, lancar dan berkesan. Ini semua membuktikan betapa pentingnya peranan pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan di dalam program memartabatkan bangsa Melayu.

Oleh itu, adalah diharapkan, sekiranya ada pegawai-pegawai Kerajaan yang tanpa disedari telah tersalah langkah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang lalu tidak menyokong Kerajaan yang sah ini, segeralah kembali ke pangkal jalan agar tanggungjawab mendaulatkan bangsa Melayu ini dapat terus dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Melalui trek rekod selama 56 tahun, pegawai-pegawai Kerajaan sepatutnya boleh mengesahkan bahawa Kerajaan yang ada pada hari ini adalah benar-benar komited untuk memartabatkan bangsa Melayu. Oleh itu, demi bangsa bertuah ini, janganlah ditarik balik sokongan tersebut sehingga boleh melemahkan Kerajaan dan menjejaskan program mendaulatkan bangsa Melayu ini.


Percayalah, masih banyak lagi anak-anak bangsa kita yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada anda. Masih ramai lagi orang Melayu yang masih jauh di belakang dalam banyak bidang penghidupan yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar agar mereka juga berjaya seperti anda!

Isu memilih parti yang diminati di dalam satu-satu pilihan raya adalah satu isu yang berlainan. Pegawai Kerajaan, sama seperti warganegara Malaysia yang lain, adalah bebas dan berhak memilih mana-mana parti yang mereka gemari.

Sekiranya parti yang mereka pilih menang dan berjaya menubuhkan kerajaan dan pegawai yang berkenaan terus bekerja sebagai Pegawai Kerajaan, maka mereka hendaklah memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi dan komitmen tinggi terhadap kerajaan baru yang memerintah itu!

Sehingga waktu itu tiba, semua pegawai dan kakitangan Kerajaan yang memilih untuk terus kekal di dalam perkhidmatan kerajaan, hendaklah terus menyokong dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang memerintah hari ini.

Namun setelah memahami dan mengetahui kesan-kesan negatif dari penentangan tersebut, jika sokongan kepada kerajaan hari ini tidak dapat diberikan, jika taat setia tidak lagi dapat dihayati dan jika persefahaman dalam dasar atau dengan pemimpin sudah tidak wujud lagi, maka langkah yang terbaik yang terbaik yang terhormat dan bermoral ialah dengan meletakkan jawatan?

Atas dasar prinsip dan etika perkhidmatan, tinggalkan lah perkhidmatan kerajaan! Biarlah mereka yang masih yakin dengan kerajaan yang ada pada hari ini, yang jelas mengikut prestasi selama 56 tahun memartabatkan bangsa Melayu, terus berkhidmat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai ini!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan