Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, Jun 28, 2013
PKR terus 'buli' pemimpin PAS?
''Ada bangkai yang naik atas nama rakyat boleh keluar TV3 terima keputusan PRU... Lu memang c***i...." Demikianlah bahasa kesat yang digunakan oleh seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui posting dalam Facebook beliau, kelmarin (Rabu).
Walaupun pemimpin PKR itu tidak menyebut siapakah 'bangkai' yang dimaksudkan, namun penyokong-penyokong Pas mendakwa ia merujuk kepada Ketua Dewan Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan.
Kalau benarlah apa yang didakwa, maka ini kali kedua pemimpin Pas begitu mudah diperlekehkan oleh pemimpin PKR.
Kita masih ingat bagaimana baru-baru ini, ketika konvensyen PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Sememangnya, jika semua ini dilihat dalam perspektif lebih luas, jelaslah perasaan hormat pemimpin-pemimpin PKR terhadap pemimpin Pas semakin luntur.
Mungkin juga, pemimpin-pemimpin PKR masih marah dengan pendirian ulama-ulama Pas yang mahu rakyat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan Allah.
Itulah yang juga dilakukan oleh Nasruddin yang menegaskan, Pas menerima keputusan PRU-13 sebab itulah mereka mengangkat sumpah, yang mereka tidak terima ialah apa yang didakwa kepincangan dan kepalsuan dalam pilihan raya.
Tidak apalah itu pendirian Pas tetapi kenapakah pemimpin-pemimpin PKR hendak memaki hamun pemimpin-pemimpin Pas sewenang-wenangnya?
Pemimpin-pemimpin PKR mungkin marah kerana sikap dan pendirian Pas itu telah memungkinkan impian mereka untuk mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah pilihan raya tidak ke mana.
Tanpa sokongan Pas, apa juga demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang tidak akan membawa apa-apa makna kerana Pas sememangnya terkenal dengan kemampuan mengumpul ahli-ahlinya menghadiri majlis pembangkang.
Pemimpin PKR yang memaki hamun Nasruddin dalam Facebook tersebut sepatutnya menuju kemarahannya kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia memandangkan Anwar dan 27 lagi pemimpin PKR turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Tindakan itu sekali gus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin PKR jauh lebih hipokrit dan sewenang-wenangnya memperbodohkan penyokong-penyokong sendiri.
Seperti mana ditegaskan oleh banyak pihak, kalau betul PKR terus tegar mempertahankan berlaku penipuan dalam PRU sepatutnya mereka tidak mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Rakyat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri yang pembangkang menang.
Mengangkat sumpah bermakna mengiktiraf keputusan PRU-13 yang mereka dakwa berlaku kepincangan dan penipuan.
Namun seperti biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR cakap tak serupa bikin, yang menjadi mangsa diperbodohkan oleh penyokong-penyokong mereka termasuklah penulis Facebook tersebut.
Seperkara lagi, terimalah hakikat berbanding Pas dan DAP, PKR merupakan parti yang paling banyak masalah dan paling tidak konsisten dalam perjuangannya.
Oleh itu tidak payahlah hendak melempiaskan kemarahan kepada orang lain sebaliknya persoalkan sikap dan tindakan pemimpin sendiri.
Pemimpin-pemimpin PKR perlu faham merekalah yang bertanggungjawab mewujudkan ketidakstabilan dalam arena politik negara.
Keghairahan dan sikap kemaruk pemimpin utama mereka untuk menjadi Perdana Menteri memungkinkan mereka berjaya mempengaruhi Pas dan DAP mengikut rentak politik mereka.
Tetapi sekarang kedua-dua parti itu sudah faham bahawa pilihan raya sudah tamat, sebarang pertikaian mengenai keputusan diselesaikan di mahkamah dan bukannya terus merancang agenda politik jalanan yang menyusahkan rakyat.
Sebab itulah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dilihat selari dengan pemimpin-pemimpin Pas apabila bercakap soal perdamaian nasional.
Beliau dan pemimpin DAP serta Pas pun semakin faham, rakyat sudah letih dengan mainan politik yang dicorakkan oleh PKR.
Justeru pembangkang perlu memahami peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan pilihan raya umum lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan premis utama dalam mencapai matlamat perdamaian nasional.
Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan bagi mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.
Jelas Najib, selepas itu baru kerajaan boleh menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.
Justeru dalam merealisasikan impian ini keikhlasan dan ketelusan perlu ada dalam kalangan pemimpin pembangkang khususnya PKR.
Jangan amalkan sikap lidah bercabang, mengamalkan watak sesumpah dan menikam dari belakang dalam mencari keuntungan politik.
Seperkara lagi janganlah terus hendak memperbodohkan rakyat dengan menyelewengkan fakta berhubung maksud undi popular dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mencapai cita-cita merebut kuasa.
Rakyat Malaysia bukan seperti rakyat di negara lain, mereka tidak harus diajar menjadikan demonstrasi jalanan sebagai pentas untuk membuat tuntutan.
Tidak usahlah melaungkan 'Malaysia Spring' kerana seperti mana ditegaskan oleh Najib, kerajaan tidak gentar dengan slogan berkenaan, sebaliknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melangkaui batas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa dihormati.
Jika kerajaan bertindak demikian janganlah pula marah kerana kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan majoriti rakyat tidak tergugat hanya disebabkan oleh keghairahan golongan minoriti mahu mempolitikkan segala-galanya.
Dalam masa yang sama, apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR ini sepatutnya menyedarkan pemimpin dan penyokong Pas bahawa secara realitinya, rasa hormat PKR terhadap Pas tidak pernah wujud, mereka hanya peralatkan Pas untuk menang pilihan raya sahaja.
Kalau mereka mempunyai perasaan hormat kepada pemimpin-pemimpin Pas khususnya golongan ulama, sudah pasti mereka tidak akan tergamak memaki hamun golongan itu.
Apa pun kepada pemimpin PKR yang tergamak memanggil sekutunya sebagai 'bangkai' banyak-banyaklah ingatkan Allah SWT, sesungguhnya apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan belajarlah bermuhasabah.
Bak kata seorang penyokong Pas yang membalas posting pemimpin PKR itu, ''Alhamdulillah, ada kebaikan pada ketentuan Illahi. Kami Bersyukur Ya Allah Kau Maha Mengetahui. Alhamdulillah beliau kalah dalam PRU lepas, kami tak rela ada pemimpin tak berakhlak seperti ini.'' - Mungkin ini juga majoriti doa orang Melayu dan umat Islam yang lain. -UMO
Suara Politik
Belantan
Assalamualaikum,
BalasPadamTambah pengunjung ke blog atau lama web anda dengan bertukar laman web di
Produk Muslim Ads Network
Baru dilancarkan.. daftar segera ia percuma!!.. kelulusan serta merta...
Terima kasih