Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Jun 30, 2013
Ahli Parlimen Malaysia mesti baca : Zahirkan perubahan sebenar?
Sejarah telah tertulis bahawa sudah 13 kali PRU diadakan di bumi Malaysia semenjak 1959. Bagi pengundi yang masih hidup, tentulah sudah lali dengan telatah, kerenah, budi, khidmat wakil rakyat dan juga isu-isu politik yang dikumandangkan. Demikian juga pengundi pertama kali yang terlibat dalam proses pilihan raya yang baru lalu.
Pastinya modus operandi baru disajikan menerusi pengalaman dihadapkan dengan kempen dalam media sosial, blog, facebook serta twitter yang mewujudkan kaedah penyampaian maklumat yang lebih rencam.
Isu asasnya pilihan telah dibuat. Justeru Parlimen kali ini menyaksikan 89 wakil pembangkang dan 133 wakil kerajaan.
Pelbagai kepakaran, latar belakang, kemahiran. Kemajmukan dari segi komposisi kaum, gender juga jelas selain Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri yang dilantik menggabungkan muka lama, tokoh baru, wakil NGO, bekas penjawat awam yang cemerlang buat memacu dasar agar perubahan dan kebaikan dapat dihidangkan kepada seluruh rakyat.
Untuk rekod juga tidak salah kalau dikatakan, Malaysia antara satunya negara di dunia yang cukup unik kerana proses politiking sentiasa mengambil tempat, setiap masa, setiap ketika tanpa mengenal erti rehat dan penat.
Sebab itu sidang Parlimen ke-13 dengan permulaan angkat sumpah kesemua Ahli Parlimen pada 24 Jun 2013 harus dijadikan tanda arus baru.
Jadikan parlimen ruang perdebatan yang sihat untuk menzahirkan dasar-dasar terbaik, bukan untuk kepentingan kendiri tanpa untuk keseluruhan pengundi dan rakyat yang diwakili.
Persoalan prioriti seperti kemakmuran ekonomi, agihan pendapatan, keadilan sosial, peluang pekerjaan, pendemokrasian pendidikan, perlindungan keselamatan dan kewibawaan wilayah, usaha memerangi jenayah, usaha pembinaan negara bangsa yang lebih mantap selain jaminan hak untuk semua kaum mestilah mendasari penggubalan dan perdebatan dasar pada kali ini.
Demikian juga kemuliaan Islam selain kebebasan kaum lain mengamalkan adat budaya dan agama masing-masing harus juga dipertahankan dan mendapat keabsahan yang mutlak dalam setiap sesi perdebatan.
Cukuplah ucapan atau perdebatan bersifat populis. Elakkan bahasa kesat yang tidak menggambarkan nilai keinsanan hanya kerana dilindungi oleh keistimewaan sebagai Ahli Parlimen.
Ironinya jangan jadikan medium sidang Parlimen yang mulia sebagai gelanggang sarkas untuk bertindak semberono yang menjatuhkan maruah, integriti serta moral setiap Ahli Yang Berhormat.
Jangan hampakan pengundi yang telah mewakilkan amanah mereka dan mandat setiap 5 tahun. Tidak perlu juga sekadar menghadiri sidang Parlimen semata-mata sebagai satu 'pelarian' dari berkhidmat atau menjenguk pengundi di kawasan. Sudah semestinya sidang Parlimen tidak dihadiri sekadar untuk mengutip atau menuntut elaun kehadiran sidang semata-mata.
Proses demokrasi yang matang dalam aliran teknologi maklumat yang cukup laju dan terkini membolehkan setiap rakyat dan pengundi mengetahui tindak tanduk wakil rakyat mereka. Rakyat dan pengundi yang matang dan kritis sudah mampu menilai perbezaan antara Wakil Rakyat yang benar-benar berkhidmat ataupun sekadar 'tidur' dan menjadi paku pakis atau 'pokok menumpang' di Parlimen.
Justeru, zahirkan perubahan dalam erti kata sebenar. Apa jua dasar, makluman, perdebatan dan informasi berguna untuk rakyat yang dituntaskan menerusi sidang penuh mulia di Parlimen, hebahkan dan salurkan untuk manfaat semua pengundi setempat.
Lebih elok sekiranya apabila selesai setiap kali sidang Parlimen, Ahli Parlimen berkenaan pulang ke kawasan masing-masing membuat sidang hebahan dan makluman terbuka untuk rakyat dikawasannya selain membuka ruang sesi soal jawab dan penjelasan lanjut. Demikian juga sebarang peruntukan pembangunan, dampak hasil dari projek pembangunan yang diluluskan, dicadangkan dan diabsahkan oleh Parlimen wajar diolah untuk diterangkan dan disalurkan bagi pengetahuan pengundi setempat.
Ini menjadikan kehadiran Ahli Parlimen dalam setiap sidang sesuatu yang ditunggu-tunggu hasilnya oleh pengundi. Tidaklah pula sekadar Parlimen dan persidangannya menjadi sekadar satu rutin atau pelengkap jadual untuk Ahli Parlimen bersantai seterusnya menghabiskan banyak masa dengan urusan lain di ibu kota.
Penulis percaya, perubahan dari segi sikap, kualiti perdebatan, akhlak dalam dewan, selain saranan idea bernas pastinya akan disemarakkan oleh kesemua 222 Ahli Parlimen dalam sidang penggal ke-13 ini. Pastinya Parlimen Malaysia boleh dijadikan contoh dan model terbaik dari segi pentadbiran, kaedah perbahasan selain gelagat ahli Parlimen sendiri. Untuk itu Selamat Bersidang diucapkan, semoga banyak dasar-dasar proaktif yang menguntungkan rakyat dapat terhasil kesan persidangan pada kali ini.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan