Harris Ibrahim
Tanpa berselindung lagi, elemen anarki tempatan sudah menggugut kerajaan - "Kita akan gulingkan kerajaan menerusi protes jalanan besar-besaran". Itulah yang diucapkan oleh Harris Ibrahim, pemimpin pergerakan ABU (Asalkan Bukan UMNO) pada satu perhimpunan yang dihadiri 1,000 orang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu.
Katanya lagi, dia tidak berhasrat menggunakan kekerasan, tetapi menerusi "kuasa rakyat" (people power). Rakyat tak boleh tunggu lima tahun lagi, tetapi mesti bertindak sekarang, tambahnya.
Jawapan segera telah diberi oleh Tan Sri Ismail Omar pada 16 Mei lalu, sehari sebelum beliau bersara wajib. Kata beliau "Jangan sesiapa pun cuba mengubah kerajaan menerusi cara yang tidak demokratik". Kalau rakyat mahu ubah kerajaan, buatlah menerusi cara yang demokratik - iaitu menerusi peti undi, tambahnya lagi.
Pada 17 Mei lalu, pengarah komunikasi PKR yang juga ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya apabila dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Awam 2012, yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, dia dituduh gagal memberi notis 10 hari yang diperlukan di bawah Akta itu sebelum menganjurkan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu. Kes ini masih berjalan, dan kita tidak boleh membuat apa-apa komen atau spekulasi lebih lanjut lagi, misalnya bila dan bagaimana ia akan berakhir.
Pun begitu, akhbar tempatan sehari dua ini sudah menyiarkan pendapat beberapa pihak agar Akta Perhimpunan Awam 2012 itu dikaji semula, kerana ramai berpendapat hukuman yang disebutkan dalam Akta itu terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan serta impak buruk kepada masyarakat setempat dan negara.
Orang ramai yang mengikuti perkembangan ini sedia maklum bahawa perhimpunan haram ini (tidak mematuhi Akta berkenaan) telah diadakan di beberapa negeri dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang.
Nampaknya segala amaran oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) langsung tidak dipedulikan. Nasihat yang diberi oleh pelbagai pihak (termasuk badan-badan bukan kerajaan dan wakil masyarakat setempat) seumpama mencurah air di daun keladi.
Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengugut akan menggerakkan 1 juta rakyat (paling minimum) turun ke jalan raya Kuala Lumpur untuk satu protes besar-besaran pada bila-bila masa sebelum akhir bulan Mei ini.
Badrul Hisham Shaharin (juga dikenali sebagai Chegubard) memberitahu wakil media, dia akan memaklumkan orang awam tempat dan tarikh protes jalanan itu lima hari sebelumnya.
Pada mulanya dia merancang mengadakan protes jalanan itu pada 18 Mei lalu, tetapi beberapa pihak lain yang akan menyertainya memaklumkannya bahawa tarikh itu terlalu suntuk untuk menggerakkan orang awam hadir sama.
Bercakap bagi pihak pakatan pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa cadangan menggulingkan kerajaan menerusi protes jalanan itu "tidak pernah dikemukakan" oleh pihak berkenaan kepadanya dan "tidak pernah dibincang" oleh pakatan pembangkang.
Kata Anwar lagi, pakatan akan meneruskan perhimpunan rakyat pada masa depan (kini digelar "Black 505", sempena tarikh PRU-13 iaitu 5 Mei), tetapi di tempat yang tertutup dan bukan di jalan raya.
Pada 16 Mei, Harris Ibrahim dipetik oleh blog Malaysia Today sebagai berkata "Kita akan teruskan protes jalanan, sama ada disokong oleh pakatan pembangkang atau tidak". Harris menegaskan lagi bahawa protes jalanan ini bukan inisiatif pakatan, tetapi "inisiatif rakyat" (sila lihat http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/newscommentaries/56798-haris-street-rally-will-go-on).
Kajian fenomena protes jalanan yang berlaku di beberapa negara menunjukkan lazimnya penganjur ada membuat aku janji tidak akan menggunakan kekerasan. Soalnya, apabila peserta protes jalanan itu terlalu ramai dan lambat laun pastinya tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh penganjur, apakah ketiadaan kekerasan masih boleh terjamin?
Perlu diingat bahawa hak yang diberi kepada rakyat negara ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak termasuk "protes jalanan" - s.4(1)(c). Apa yang dimaksudkan oleh istilah "protes jalanan" itu telah diberi takrif yang terperinci dalam s. 3.
Andainya satu perhimpunan awam yang sah itu (maksudnya telah mematuhi kehendak Akta berkenaan) kemudian bertukar menjadi satu protes jalanan, pegawai polis diberi kuasa di bawah s. 21 Akta itu memerintahkan peserta protes jalanan itu untuk bersurai dengan serta-merta - s. 21(1)(b).
Bagi tujuan menjalankan kuasanya itu, pegawai polis berkenaan dibolehkan "menggunakan segala kekerasan yang munasabah" - s. 21)(2). Sesiapa sahaja yang ingkar bersurai apabila diperintahkan oleh pegawai polis boleh dihukum, jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM20,000.
Di sinilah letaknya kelemahan Akta Perhimpunan Awam 2012. Di sinilah puncanya pengajur protes jalanan seperti SAMM dan ABU begitu berani menganjurkan protes jalanan sejuta rakyat.
Walaupun kumpulan anarki yang menganjur protes jalanan dan menghasut orang awam menghadiri protes tersebut tidak boleh dikenakan hukuman yang berat di bawah Akta 2012 itu, pihak berkuasa masih boleh menggunakan undang-undang jenayah utama kita iaitu Kanun Keseksaan.
Seksyen 141 mengandungi takrif kesalahan perhimpunan haram (unlawful assembly), seksyen 142 (menyertai perhimpunan haram), manakala seksyen 143 menyatakan hukumannya (penjara tidak melebihi 6 bulan, denda atau kedua-duanya sekali).
Selain itu ada juga kesalahan lain, seperti memiliki senjata semasa menyertai perhimpunan haram (seksyen 144, penjara 2 tahun), terus menyertai perhimpunan haram walau pun telah diperintahkan bersurai (seksyen 145, penjara 2 tahun), dan merusuh (seksyen 147, penjara 2 tahun).
Selain Kanun Keseksaan, yang mengandungi banyak peruntukan mengenai kesalahan perhimpunan awam, Akta Hasutan boleh juga dirujuk oleh PDRM andainya ada ucapan-ucapan melampau yang "berkecenderungan menghasut" (umpamanya membakar api permusuhan atau rasa kebencian rakyat dan sebagainya) oleh penganjur atau mana-mana peserta dalam protes jalanan itu.
Kesimpulannya, kekurangan atau kelemahan yang terdapat dalam Akta Perhimpunan Awam 2012 tidak sewajarnya melemahkan semangat dan komitmen PDRM melakukan yang terbaik dengan segera, agar elemen anarki yang sudah timbul dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini tidak seterusnya dibiarkan bermaharajalela.-UMO
Suara Politik
Belantan
Pihak penjara pun diharap bersedialah untuk menempatkan bajingan jalanan ini. Diharap pihak polis kena tegaslah dengan mereka. Dah berpuluh laporan polis dah dibuat, tanda rakyat tak setuju. Masakan polis boleh abaikan semua laporan polis yang dah dibuat tersebut.
BalasPadam