Ahad, Mei 19, 2013

Sebenarnya Malaysia Spring dirancang awal?

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (kiri) dan Tan Tuan Tat mengadakan sidang akhbar mengenai Malaysia Spring anjuran Anwar Ibrahim di Kelab Sri Damansara di Kuala Lumpur, semalam.

Pembangkang didakwa sudah lama merancang konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi melampau seperti Arab Spring itu bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau mendakwa, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0 selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada Malaysia Spring pada 26 April tahun lalu.

"Saya agak musykil, apakah yang dimaksudkan beliau dengan Malaysia Spring? Adakah beliau menyokong rusuhan dan keganasan seperti yang berlaku di negara-negara Arab? Adakah juga Bersih 3.0 hanyalah permulaan kejadian lebih buruk selepas ini?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kelab Sri Damansara, di sini hari ini. Yang turut hadir, bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat.

Menurut Tunku Abdul Aziz, demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram setakat ini dirancang pemimpin politik tertentu sejak beberapa tahun lalu sekiranya tidak mendapat mandat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Disebabkan itu juga, katanya, beberapa pemimpin pembangkang ketika itu berterusan menggesa rakyat bersama-sama mereka menggulingkan kerajaan melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.


"Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika ini sedang menjelajah seluruh negara dengan misi untuk terus membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan kononnya terdapat penipuan dalam pilihan raya umum lalu. Dia terus berbohong dengan mengaku dia ialah Perdana Menteri yang sah," katanya.

Tambah Tunku Abdul Aziz, apa yang menghairankan pemimpin pembangkang lain sudah memulakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing meskipun dalam masa sama menuduh pilihan raya umum lalu tidak telus.

Malah, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah antara yang paling awal mengangkat sumpah sekali gus mengakui kemenangannya menerusi proses pilihan raya umum itu.

"Kalau mereka menang, mereka tidak bising malah akui keputusan itu telus tetapi yang kalah menyalahkan kerajaan dengan pelbagai tuduhan tidak logik termasuk 'mengimport' warga Bangladesh mengundi selain berbohong Presiden Amerika, Barack Obama akan campur tangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa polis mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang tindakan Anwar dan pemimpin pembangkang lain daripada terus mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara.

Katanya, beliau bimbang tindakan bebas pemimpin pembangkang menghasut rakyat itu boleh mencetus kepada perhimpunan haram yang lebih besar dan ganas pada masa depan.

"Pembohongan yang menyentuh sentimen rakyat akan menjadi aset untuk mereka merancang sesuatu yang lebih besar dan buruk. Pihak polis perlu bertindak lebih tegas, jangan biarkan golongan seperti ini menghancurkan keamanan negara," katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan