Sabtu, Mei 04, 2013

RPK Dedah Dalang Pencerobohan Pengganas Lahad Datu?


JAKARTA 3 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bekas teman karibnya, Raja Petra Kamaruddin sebagai dalang insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah.

Selain Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Raja Petra turut mendedahkan, dua pemimpin PKR lain yang terlibat dalam rancangan menggugat keselamatan negara ialah Tian Chua dan R. Sivarasa.

Pengendali laman web Malaysia Today itu berkata, Anwar, Tian Chua dan Sivarasa pernah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang bertujuan merancang pencerobohan pengganas Kiram.

Menurut Raja Petra, permulaan kepada perancangan membawa masuk pengganas Kiram bertitik tolak pada pertemuan antara Anwar dan Misuari di Hotel Crown Plaza, Jakarta pada 16 Julai tahun lalu.


Selepas pertemuan sulung itu, pakatan tiga pemimpin PKR itu tegas Raja Petra, mengatur perjumpaan lain untuk merancang strategi bagi menggugat keselamatan negara.

“Selain Anwar, orang seperti Tian Chua dan Sivarasa juga terlibat (dalam perancangan dan pertemuan dengan Misuari),” dedah Raja Petra kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Raja Petra tiba dari Manchester, United Kingdom pada Rabu lalu untuk memberi keterangan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Beliau sebelum ini pernah mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua Pembangkang itu mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu dalam artikelnya.

Artikel berkenaan yang bertajuk Kisah di sebalik insiden Lahad Datu disiarkan Raja Petra di dalam laman web Malaysia Today pada 25 Mac lalu.

Raja Petra turut menegaskan, Anwar tidak pernah menafikan pertemuan dengan Misuari.

Sehubungan itu, Raja Petra mengesyaki ada agenda tersembunyi antara Anwar dan Misuari.


“Anwar tidak pernah menafikan beliau pernah bertemu dengan Misuari. Tian Chua dan Sivarasa juga tidak menafikan pertemuan itu,” sambung Raja Petra lagi.

Tegas Raja Petra, pemimpin-pemimpin PKR itu sebaliknya hanya menafikan perjumpaan itu ada kaitan dengan isu Lahad Datu.

Raja Petra berkata, kesanggupan beliau terbang jauh ke Jakarta ialah untuk direkodkan keterangannya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan.

Justeru, beliau tidak akan menafikan apa yang beliau tulis kepada polis dan akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penerbitan artikel itu – Utusan

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan