Sabtu, Mei 04, 2013

#PRU13 : Doktrin pembangkang perasan akan menang?

Anwar Ibrahim kelihatan begitu yakin ketika ditanya koresponden BBC tentang peluang pakatan pembangkang untuk menang dalam pilihan raya Ahad ini. Biar pun matanya kelihatan agak letih, namun setiap soalan Jonathan Head dijawab penuh bersemangat. Bagi Anwar, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini milik pakatan pembangkang. Beliau menegaskan, di sebalik kempen Barisan Nasional (BN) yang menurutnya menggunakan wang yang amat banyak, kemenangan tetap memihak kepada mereka.

Temuramah BBC dengan Ketua Pembangkang itu dilangsungkan dalam suasana santai. Anwar ketika itu sedang melaksanakan siri kempen yang didakwa beliau mendapat sokongan begitu mengujakan dalam kalangan pengundi. Selain reaksi Anwar menjawab soalan demi soalan sambil berdiri, temuramah itu diselang-seli dengan klip video pelbagai aksi beliau berkempen.

Penegasan dan keyakinan bahawa pakatan pembangkang akan menang dalam Pilihan Raya PRU-13 oleh Anwar bukanlah sesuatu yang baharu. Di peringkat dalam negara, baik semasa berceramah mahu pun kepada wartawan, menjadi kemestian bagi Anwar untuk menguar-uarkan bahawa pembangkang akan menang. Pakatan pembangkang, kata Anwar, mendapat sokongan rakyat yang mahukan perubahan. Disertakan dalam penegasan itu bahawa kerajaan BN korup, justeru sebuah kerajaan baharu mesti didirikan.


Proses menanamkan doktrin bahawa pakatan pembangkang akan menang hakikatnya telah digerakkan Anwar sebaik sahaja mereka berjaya menidakkan dua pertiga majoriti di pihak BN dalam PRU-12. Bermula dari situ dan saat itu, Anwar dan pasukannya yang pada mulanya menamakan diri mereka barisan alternatif melancarkan perang saraf. Ke mana saja mereka pergi, laungan Malaysia milik pembangkang tidak pernah berhenti. Pelbagai dakyah disebarkan baik dengan cara lembut mahupun keras.

Anwar bermain dengan pelbagai cara untuk memastikan doktrin tersebut meresapi penduduk di negara ini terutamanya dalam kalangan orang muda. Bertopengkan dua gerakan Bersih, keamanan Malaysia berkocak dek tuntutan hak asasi manusia yang mahu 'membersihkan' anasir-anasir kotor dalam pentadbiran negara. Tentunya aspek pilihan raya menjadi percaturan, S. Ambiga menuntut pilihan raya yang adil dan telus. sedangkan baru sahaja mencatatkan kemenangan di empat negeri, kemenangan besar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mengekalkan Kelantan.

Agak mengejutkan kerana usaha awal menanamkan doktrin itu seakan berjaya. Ada yang menerima bulat-bulat tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus. SPR juga dikatakan memihak kepada kerajaan memerintah. Lebih teruk daripada itu SPR dikatakan umpama pak turut dan tidak ada suara. Mereka meraikan kemenangan pembangkang tetapi pada masa yang sama menuduh SPR tidak telus. Akal mereka menjadi tidak logik apabila menerima kemenangan tetapi menolak SPR - pengendali pilihan raya yang mereka menangi itu.


Perjalanan doktrin kemenangan pakatan pembangkang yang dijaja Anwar ke sana sini sama seperti proses memburukkan kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaik beliau dipecat dari kerajaan juga dibebaskan dari penjara. Apabila pakatan pembangkang menang besar pada 2008, proses mendoktrinkan pemikiran rakyat semakin menjadi-jadi. Walaupun cakap-cakap Anwar tidak ada yang betul, tidak ada bukti dan ternyata kosong seperti kes 16 September 2008 Putrajaya menjadi milik mereka, namun doktrin pembangkang akan menang tetap diteruskan.

Tidak ada istilah malu menipu rakyat. Tidak ada juga istilah maaf apabila segala yang diuar-uarkan umpama mimpi dalam mimpi. Catatan kemenangan besar pada 2008 menjadikan Anwar tidak kenal perkataan bohong. Apa saja terlontar dari mulutnya adalah benar. Tidak perlu bukti dan tidak perlu dibuktikan tetapi wajib dipercayai.

Paling ketara adalah kecekapan Anwar dan barisan pemimpin pakatan pembangkang bermain psikologi untuk menerapkan doktrin pembangkang akan menang PRU-13.

Di peringkat antarabangsa, beliau tampil menjual nama Malaysia sebagai sebuah negara yang sarat dengan amalan rasuah justeru beliau 'diutuskan' untuk membuat perubahan dalam pilihan raya kali ini.


Kempen memburukkan Malaysia dan mangsa paling besar iaitu SPR makin mendapat tempat terutamanya apabila hari mengundi hanya tinggal dua hari lagi. Umpama pihak yang terdesak di sebalik keyakinan mendapat sokongan padu daripada rakyat, Anwar menggerakkan kempen menghitamkan nama SPR. Bagi Anwar, tempoh dua hari adalah kemuncak untuk memastikan doktrin pakatan pembangkang akan menang benar-benar menyerap fikiran rakyat dan juga masyarakat antarabangsa.

Sebab itu tanpa ada rasa segan jauh sekali malu, Anwar bersama kumpulannya tidak teragak-agak mahu mengeliru fikiran rakyat, mengaburi mata rakyat dan paling penting menipu rakyat. Dalam keadaan amat terdesak mereka sanggup memanipulasi fakta tentang dakwat kekal yang diperkenalkan SPR kerana memenuhi tuntutan pihak yang menang PRU-13 tetapi menuduh SPR tidak telus.

Dakwat kekal yang sememangnya kekal itu dikatakan Anwar dan pakatan pembangkang sebagai tidak kekal dan membuka peluang untuk mengundi kali kedua. Umpama penglipur lara yang menjaja kisah-kisah dongeng dari satu tempat ke satu tempat, permainan psikologi pembangkang untuk memastikan doktrin bahawa mereka pasti menang mengheret bersama cerita-cerita tidak masuk akal.

Dua hari lagi pilihan raya, Anwar mahu rakyat percaya tentang pengundi hantu. Kisah Penerbangan Malaysia dan AirAsia menerbangkan puluhan ribu hantu untuk mengundi BN meletup-letup keluar dari mulut Anwar umpama bertih sedang digoreng.


Bayangkan 45,000 pengundi hantu dari beberapa bahagian di Sabah diterbangkan setiap hari sekurang-kurang 4,500 orang dan kemudian ditempatkan pula di depot Imigresen. Tidak termasuk pengundi hantu yang diimport dari beberapa negara. Hebatnya BN sehingga dapat menerbangkan puluhan ribu pengundi hantu dari negara luar selain mengizinkan mereka masuk di pintu masuk di utara tanah air.

Lebih hebat lagi Anwar berhujah tanpa bukti. Jika dilihat kesungguhannya melemparkan tuduhan yang maha berat itu tentunya dalam poket ketua pembangkang itu dipenuhi bukti. Di depot mana, pengundi hantu itu ditempatkan? Penerbangan awal pagi atau larut malam yang membawa kumpulan hantu itu? Siapa pula yang akan membawa mereka dari depot Imigresen ke pusat pengundian nanti? Agak-agaknya siapa pula nama-nama mereka?

Tetapi perlukah soalan-soalan tersebut dipanjangkan kepada penglipur lara yang hakikatnya sedang dalam keadaan amat terdesak kerana doktrin pembangkang akan menang masih belum dapat dipastikan sejauh mana telah menyerap di otak pengundi. Kesemua usaha Anwar umpama serampang dua mata. Jika pembangkang tewas, maka kemenangan BN adalah berpunca daripada pengundi hantu dan dakwat kekal. Anwar mencipta keadaan. Keadaan itu akan menjadi alasan jika kekalahan memihak kepada pakatan pembangkang. Alasan itu akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Anwar kelak. Kemarahan pula akan membawa kepada keganasan.

Rantaian keadaan dan alasan hakikatnya dirancang secara teliti oleh pakatan pembangkang dalam permainan psikologi mereka untuk memastikan doktrin kemenangan milik mereka berjaya. Jika tidak berjaya, BN mesti dipersalahkan. BN mesti dijadikan punca kekalahan pakatan pembangkang. Tetapi jika pakatan pembangkang menang, apa pula agaknya kata mereka tentang SPR, tentang dakwat kekal dan tentang pengundi hantu.

Atau adakah kemenangan mereka pada 2008 disebabkan SPR dan pengundi hantu? -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan