Khamis, Mei 02, 2013

#PRU13 : Daim sifatkan Anwar pelakon hebat, bijak kaburi penonton?


Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim seorang pelakon yang hebat dan bijak mengaburi mata penonton.

Katanya, Anwar bukan sahaja bijak bermain dengan kata-kata malah mampu memperdayakan orang di sekelilingnya dengan mendakwa setiap tuduhan terhadapnya sebagai konspirasi.

"Anwar ini dia memang kelakar, Sanusi (bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid) kata dia macam P. Ramlee cuma P. Ramlee tidak buat 'movie' (filem kontroversi) Anwar buat, itu beza mereka.

"Anwar pun pandai cakap macam Sukarno (bekas Presiden Indonesia) cuma bezanya Sukarno suka perempuan dia tak," katanya ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin dalam Ceramah Umum Barisan Nasional (BN) di Puncak Puteri Presint 8 di sini baru-baru ini.


Hadir sama calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Daim, sikap bermuka-muka Anwar bukan sahaja semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri bersama Barisan Nasional (BN) tetapi dibawa juga ketika mengetuai pakatan pembangkang yang terdiri daripada Pas, DAP dan PKR.

"(Hubungan) Saya dengan Anwar lebih baik daripada Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) dah kenal lama. Saya pun sudah kena tipu 17 tahun, (tetapi) Dr. Mahathir lagi lama kena tipu.

"Dengan Anwar tidak boleh cari jalan keluar (bila kena tipu) ini cara Anwar, kita selalu waspada dia janji macam-macam dia jumpa orang Cina, India dan Melayu janji macam-macam tetapi paling teruk kena tipu orang India," katanya.

Pada masa sama, Daim turut menempelak Anwar yang pernah berjanji untuk membawa pelaburan sebanyak RM20 bilion dari negara Arab ketika dilantik menjadi Penasihat kerajaan negeri PKR Selangor tetapi semua itu hanya palsu.

Dalam pada itu, katanya, selain Dr. Mahathir yang pernah menerima surat secara peribadi daripada Anwar selepas dipecat beliau turut pernah menerima sepucuk surat.

"Anwar pun pernah tulis surat pada saya cuma saya tidak mahu cerita dan saya tidak akan tunjuk surat itu tetapi itu tidak penting yang mustahak 5 Mei ini kita keluar ramai-ramai undi Tengku Adnan," katanya.


Sementara itu, Daim ketika ditanya mengenai slogan ubah oleh pembangkang dalam pilihan raya kali ini, katanya, tiada apa-apa perubahan perlu dilakukan pengundi.

"Ubah untuk apa? Ubah untuk jadi lagi teruk? Tidak boleh macam ini. Saya berpendapat rakyat semakin matang dan faham seperti di India, Jepun dan Eropah mereka tukar kerajaan tetapi mengakibatkan tiada peluang pekerjaan dan macam-macam masalah lagi.

"Ekonomi negara juga dalam keadaan baik tiada sebab untuk tukar kerana rakyat mahukan kestabilan dan keamanan tidak seperti tragedi di Lahad Datu baru-baru ini,' katanya ketika ditemui selepas berucap.

Ditanya mengenai jumlah kehadiran penonton yang ramai dalam ceramah pembangkang yang dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat di sini baru-baru ini, Daim berkata, bukan jumlah penonton menjadi penentu undi yang bakal diterima.

"Selalunya mereka akan bawa orang luar ini merupakan kempen psikologi untuk menunjukkan mereka mendapat sokongan ramai tetapi kena sedar pengundi di sini hantar 15,000 pengundi sahaja. Kebanyakan mereka bukan pengundi dan hanya mahu mendengar,' katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan