Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Sabtu, Mei 18, 2013
Di Selangor tanpa menteri, lebih agresif?
Mengapa tiada menteri dari Selangor? Itu persoalan yang beberapa kali dilontarkan oleh rakan seperjuangan kepada penulis lewat petang kelmarin.
Bagi penulis yang berpeluang membuat liputan hampir tiga bulan proses dan perjalanan kempen 15 hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Selangor tempoh hari, maklum mengapa Kabinet baharu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan sedemikian.
Perdana Menteri cukup sayangkan Selangor. Sebab itu beliau sanggup menjadi Pengerusi BN negeri itu semata-mata demi memastikan Selangor kembali ke pangkuan BN pada 5 Mei lalu. Beliau turun padang menemui rakyat negeri itu, malah hatinya sayu dan gembira apabila majoriti masyarakat Cina berasak-asak memenuhi majlisnya.
Namun, malangnya impian itu tidak dapat direalisasikan oleh barisan BN negeri sama ada yang dikendalikan oleh koordinatornya, mahukan timbalan pengerusi.
Berbanding timbalan pengerusi BN negeri, tanggungjawab dan peranan lebih besar diletakkan kepada pemimpin yang menjaga 'war room' BN di Tingkat 9, Bangunan UMNO di Shah Alam yang juga timbalan pengarah pilihan raya negeri. Tetapi malangnya dia dilihat gagal membawa manifestasi Pengerusi BN negeri.
'War room' BN di Selangor bagaikan 'hak eksklusif' dan menjadi bahan rungutan bukan sahaja daripada pihak media untuk memperoleh maklumat perkembangan mutakhir BN, malahan daripada ketua-ketua bahagian UMNO negeri sendiri.
Suatu ketika sekitar Januari lalu, penulis dalam pertemuan dengan seorang ketua bahagian UMNO bertanyakan apa pandangan ketua bahagian berkenaan mengenai 'war room' di Tingkat 9 itu. Penulis sudah dua kali masuk dan diberikan taklimat ringkas carta dan data-data berkaitan statistik pengundi dan serba sedikit strategi dan perancangan BN mendepani pakatan pembangkang.
Sedang asyik bercerita, ketua bahagian berkenaan terus 'mencelah' dan memberitahu: "Kami ketua-ketua bahagian tak pernah dijemput ke sana...tak tahu bagaimana bentuk 'war room' tu. Kalau tak percaya, anda boleh tanya ketua bahagian lain."
Semua pihak di UMNO dan BN Selangor cukup sedar betapa Selangor cukup penting. Ini bukan sahaja kepada parti pemerintah dan Najib sendiri tetapi lebih menyeluruh untuk negara.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung harap kepada Selangor. Di negeri itulah berpusat dan berlegar sebahagian besar urusan dan aktiviti pelaburan, perdagangan dan perniagaan Malaysia.
Selangor di bawah pakatan pembangkang dan dengan BN mengendalikan Pusat , agak sukar untuk kedua-duanya berganding bahu yang akibatnya merencatkan kemasukan pelaburan asing.
Tanyalah Datuk Seri Noh Omar, berapa jumlah pelaburan sudah tersekat untuk pergi lebih jauh ke Selangor gara-gara 'main wayang' pakatan pembangkang mempolitikkan kelulusan loji rawatan Langat 2. Kalau tak salah, hampir 400 projek.
Tetapi ini semua kurang dihayati oleh BN negeri. Mereka kurang sedar bagaimana pertambahan pengundi muda Cina naik mencanak di Selangor. Sama ada kemungkinan ia satu strategi menerusi 'pemindahan sistematik' alamat-alamat para pengundi kaum itu, itu penulis serahkan kepada pertimbangan semua.
Namun, kalau diperhatikan 'strategi licik' menempatkan kumpulan-kumpulan penyokong parti di satu-satu tempat sebagai pengundi berdaftar, diakui taktik yang cukup berkesan dalam meraih kemenangan secara realistik dan pintas.
Kalau disemak statistik sehingga suku keempat atau Disember 2012, pertambahan pengundi Cina kedapatan di banyak kawasan di Selangor. Ia agak 'mencurigakan' meskipun mengikut saluran sah oleh SPR.
Di kawasan DUN Seri Serdang yang menyaksikan ketua pembangkang Selangor dari BN, Datuk Satim Diman menang di kerusi itu dengan 45 undi pada 2008, tiba-tiba pula menunjukkan pertambahan pengundi Cina di situ mencapai 10,638 orang.
Di DUN Subang Jaya, angka pertambahan itu mencecah 10,000 pengundi kaum itu. Di kawasan DUN Paya Jaras dalam Parlimen Subang yang mana penyandangnya dari UMNO, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor menang sekitar 600 undi pada 2008, gagal mengulangi kejayaan sama 5 Mei lalu. Lebih parah lagi Muhammad Bushro tewas lebih 5,000 undi di kawasannya yang turut memperlihatkan pertambahan pengundi Cina mencapai 6,000 orang.
Juga, sama ada sedar atau tidak, prinsip-prinsip asas seperti calon boleh menang di Selangor seolah-olah telah 'tercabul'. Ini ketara khususnya di kawasan Sepang. Orang yang layak bertanding, diserahkan kepada yang tidak berhak. Begitu sebaliknya.
Sebab itu Sepang menjadi 'ceritera penglipur lara' dengan perbuatan 'tikam dari belakang'. Itu belum termasuk sabotaj yang digerakkan oleh 'individu' terbabit sehingga calon BN tewas di tangan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang.
Kelmarin, Najib mahukan BN setiap negeri khususnya Selangor menyematkan dalam sanubari bahawa sesuatu perlu dibuat.
BN Selangor daripada kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC perlu bertindak.
Orang Cina barangkali telah terasa pada tarikan dan dividen politik DAP di Pulau Pinang dalam tiga empat tahun ini. Kerana itu kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuching, Ipoh, Seremban serta Cheras, Bukit Bintang, Kepong merasakan MCA tidak boleh diharap dalam memperjuangkan nasib mereka.
BN Selangor harus bermuhasabah dan mencari jawapan tanda tanya tiada portfolio Kabinet untuk negeri selepas parti itu kalah teruk dalam PRU-13.
Jika telahan ini benar, sekurang-kurangnya BN Selangor khususnya UMNO perlu bangkit dan bersungguh-sungguh untuk menyarankan formula sekali gus kemenangan pada PRU-14.
Buktikan sekalipun tanpa jawatan menteri dari Selangor, perubahan secara drastik akan dilakukan untuk mengembalikan semula negeri itu ke pangkuan.
Selagi Melayu tidak bersatu, selagi BN negeri tidak merancang strategi dari sekarang, selagi itulah pihak-pihak tertentu akan lebih mudah 'memperkosa' negara bangsa.
Turunlah jenguk surau dan masjid di subuh hari atau setidak-tidaknya berjemaah semasa Maghrib mulai hari ini. Lihatlah di belakang pasar raya-pasar raya besar sekitar Shah Alam sudah ditumbuhi kondominium-kondominium mewah. Pembeli kondo yang juga penghuni di situ akan menjadi pengundi berdaftar di ibu negeri Selangor itu.
Bangkitkah dan tampillah dari sekarang agar menjelang PRU-14 tidak dianggap sekadar calon 'payung terjun'.
Oleh : ZULKIFLI JALIL
Suara Politik
Belantan
Dalam UMNO Selangor sendiri wujud kelompok kayap yang sendirinya akan membunuh pengidapnya. Kepentingan individu diutamakan dari kepentingan parti. Apa yang terjadi di Sepang, Pelabuhan Kelang ada kebenarannya, jgn lupa di Seri Setia, calon "parachute" seolah kemaruk cuma dia saja yang layak disitu, Taman Medan nampak seperti calon berjalan sendiri tanpa dokongan dari Bahagian dan banyak lagi faktor seperti peningkatan pengundi Cina dan peratusan keluar mengundi. Orang Melayu sepatutnya sedar, lihat sekeliling mana-mana saudara yang belum berdaftar sebagai pengundi diberi kesedaran daripada asyik bertelagah, tak puas hati. Kekuatan sesuatu Agama dan Bangsa datang dari dalam, penuhkan Saf di Surau/Masjid dan Majlis-majlis Ilmu, perjalanan kita masih jauh, anak cucu kita bakal mewarisi apa yang kita lakukan sekarang......
BalasPadamSaya melihat bahawa DSN banyak mengenepikan orang yang layak menang sebenarnya. Contohnya Tan Sri Muhammad Taib yang dilihat calon yang sesuai untuk memimpin umno selangor. Begitu juga di gombak yakni anak Mahaguru Silat yang mana beliau merupakan penyelaras dan banyak melaksanakan khidmat berbanding Azmin Ali tetapi tidak dipilih langsung
BalasPadam