Khamis, Mei 16, 2013

Cegah sebelum parah..!!! 'Hishamuddin Rais ancam keselamatan'?


Perbuatan aktivis jalanan propembangkang, Hishamuddin Rais menghasut rakyat untuk mengadakan rusuhan jalanan Sabtu ini tidak boleh dibiarkan kerana tindakan itu jelas mencabar keluhuran Perlembagaan serta mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah yang cuba diambil oleh Hishamuddin itu sememangnya amat berbahaya dan pihak polis wajar bertindak segera.

Hakikatnya beliau berkata, undang-undang negara telah dipermain-mainkan dan dimomok sesuka hati sehingga ke peringkat mencabar Yang di-Pertuan Agong.


"Saya amat kenal Hishamuddin ini. Dia pernah lari ke luar negara semasa kebangkitan pelajar pada tahun 1970 atas isu kemiskinan rakyat Baling, Kedah.

"Bertahun lari ke luar negara dan memburukkan nama baik Malaysia di negara yang memberikan suaka politik kepadanya. Dia ini jenis baling batu sembunyi tangan. Kembali ke tanah air dengan selesa tanpa diambil apa-apa tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini menyiarkan berita tentang niat pembangkang untuk mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei lalu dengan bercadang melakukan demonstrasi jalanan Sabtu ini.



Malah, mereka secara terbuka mengakui satu-satunya cara menggulingkan kerajaan BN yang diterajui UMNO ialah melalui rusuhan jalanan kerana mustahil pakatan pembangkang dapat merampas Putrajaya melalui peti undi.

Hishamuddin ketika menghasut orang ramai berbuat demikian berkata, pembangkang menolak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan adalah satu kebodohan jika penyokong pembangkang berdiam diri tanpa turun ke jalan raya bagi menggulingkan BN.

Ibrahim berkata, Hishamuddin kembali ke tanah air semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri.


"Sebenarnya tindakan Hishamuddin menghasut rakyat dengan cara mencabar undang-undang akan memberikan kesan negatif yang mana rakyat tidak akan menghormati undang-undang," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, Ketua Polis Negara dan Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam di peringkat ini wajar bertindak tegas dengan segera.

"Cegah sebelum keadaan lebih buruk dan tidak terkawal. Jangan disebabkan nila setitik, rosak seluruh negara.

"Jenis manusia tidak tahu bersyukur dan tidak hormat undang-undang negara wajar diajar secukupnya," katanya.

Suara Politik
Belantan

3 ulasan:

  1. Dia ni geng Anwar juga masa di Universiti dulu. Orang kena tangkap. Tapi dia cabut lari ke luar negara dan bertahun-tahun menetap di luar negara. Sekali balik, pun masih dengan perjuangan dia yang masih benggang dengan kerajaan. Dendam lama yang masih belum reda. Sebiji lah macam Anuar tu juga. Sape2 yang pecaya dan terikut-ikut spesis ni, memang sah lah termasuk golongan yang bermasalah. Nak tanya "ape masalah korang semua nih?"

    BalasPadam
  2. Kerismudin dah bungkus dari KDN - Norian Mai sudah tentu tak mai punya jadi bila Dato Zaid dengan TS Khalid nak bertindak ? Tak kan dah berjangkit dengan virus "amaran" yang ditinggalkan Kerismudin kot...

    BalasPadam
  3. IMAM ASY-SYAUKANI RAHIMAHULLAH (WAFAT:1250H) MEMBERI AMARAN DENGAN MENYATAKAN:

    ويؤدب من يثبط عنه" فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام

    “Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya.

    Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.”

    (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)

    BalasPadam