Jijik mendengarnya apabila satu demi satu pendedahan mengenai skandal seks yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang dibongkar oleh pengendali-pengendali blog menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Malah, pembongkaran itu kini sudah menjadi bahan jenaka rakyat. Bermula daripada skandal seks liwat, China Doll, ais krim dalam jamban, melancap dalam Facebook sehinggalah baru-baru ini, pendedahan video seks dalam blog melibatkan si lelaki tua tidak sedar diri yang melanggan 'ayam' di sebuah bilik hotel.
Bukan tidak mahu percaya, tetapi, perkataan skandal seks itu sendiri memberi impak yang amat besar kerana perkara itu amat melibatkan maruah dan membuktikan masalah moral si pelakunya.
Bagaimanapun, pembongkaran itu secara tidak langsung membuktikan bahawa video skandal seks itu wujud, rakamannya ada, pelakunya juga wujud, namun hanya identiti si pelakunya masih samar-samar dan tidak boleh dikenal pasti.
Mungkin benar video skandal seks tersebut melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang, mungkin juga orang lain yang menyerupai mereka atau pelanduk dua serupa.
Apa yang penting, tuan empunya diri yang terlibat dan mereka yang betul-betul mengenali identiti si pelaku termasuk ahli keluarga, boleh mengetahui siapa yang terlibat dalam video seks berkenaan.
Sudah tentu, si pelakunya berasa malu besar apabila aib nafsu serakah yang tidak terjangka akan dirakam selama ini telah dibongkar.
Apatah lagi selama ini mereka sentiasa tampil dengan imej alim, menjadi imam ketika solat, berkopiah dan bernaung di bawah parti yang memperjuangkan agama Islam.
Malah sering kali mengeluarkan fatwa songsang dan memperleceh parti-parti lawan kononnya tidak bernaung di bawah Islam.
Saya pasti si pelakunya tidak boleh tidur malam atau rumah tangganya mula berantakan selepas video skandal seks itu dibongkar.
Persoalan yang timbul di sini, tidak ada seorang pun yang berani tampil untuk mengaku terlibat dan meminta klip video itu dipadam oleh pengendali-pengendali blog.
Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pendedahan skandal seks melalui blog menjelang pilihan raya adalah pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia.
Katanya, fenomena ini tidak pernah berlaku pada 12 kali pilihan raya terdahulu.
"Kalau boleh, kita (rakyat) nak pilih pemimpin yang bermoral dan berakhlak tinggi. Pendedahan skandal seks sebenarnya tidak elok kerana hal itu mengaibkan.
"Tetapi... melalui teknologi yang canggih pada zaman ini, hal-hal sulit para pemimpin boleh diketahui orang ramai dengan mudah.
"Dalam politik, segala kaedah dan cara akan digunakan untuk menjatuhkan pihak lawan," ujarnya.
Bak kata peribahasa Melayu, 'jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.
Malah, jika ingin menjadi seorang pemimpin, jadilah pemimpin yang berakhlak tinggi, bermoral dan bertanggungjawab, nescaya hidup selamat.
Nasihat saya kepada para pemimpin di luar sana, jaga-jaga dengan aktiviti anda, kerana ada sahaja yang memerhati!
Suara Politik
Belantan
selepas ini semua bangsa melayu ISLAM akan rasa malu untuk pangkah Pakatan dalam PRU13
BalasPadam