Isnin, April 22, 2013

PRU -13 : Makna Selangor kepada BN!



Biarlah saya buka bicara dalam kolum ini dengan memaparkan perbandingan dua negeri ini.

Sarawak, negeri terbesar di Malaysia mencatat perwakilan tertinggi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) - 72 ADUN kesemuanya. Dari segi pengundi, tidaklah pula sampai mencecah sejuta orang. Ini berbeza dengan Selangor yang jumlah pengundinya 2.1 juta yang tertinggi dalam negara.

Di Selangor, pengundi Melayunya meliputi 50 peratus, Cina 34 peratus dan India, 16 peratus. Daripada keseluruhan itu, 900,000 merangkumi pengundi muda bawah 40 tahun.

Selangor penting dan amat signifikan kepada negara. Justeru, perlu kembali ke pangkuan BN pada PRU-13 ini, kata Pengerusi BN negeri itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Bangunan UMNO Selangor Selasa lalu untuk menyampaikan watikah calon kepada 56 orang untuk bertanding kerusi DUN dan 22 Parlimen negeri itu.

Najib yang tiba dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora di lobi bangunan itu disambut dengan doa, sebelum mengumumkan nama calon-calon BN Selangor.

Hari ini, di Selangor angin perubahan bertiup kencang. Di mana sahaja ada program BN, ramailah berduyun-duyun datang. Bagi bas, bas tak cukup. Bagi kerusi, kerusi pun tak cukup. Bukan sahaja jentera BN berjalan dengan baik, malahan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan-pertubuhan sukarela pun buat pusingan U menyokong BN. Jika dulu menjadi PKR, kini bertukar ke dacing.

Tidak dinafikan setiap orang dalam UMNO dan parti-parti komponennya telah bekerja keras terutama dalam empat tahun ini. Saat yang membimbangkan iaitu semalam (20 April hari penamaan calon) telah pun berlalu. Memang bila bercakap soal calon, terlalu ramai yang layak. Dan terlalu ramai yang telah bekerja keras siang malam untuk BN.


Di banyak tempat, ada sehingga 10 orang yang layak menjadi calon. Tapi hanya seorang terpilih. Ada sedikit kedengaran di beberapa tempat, antaranya Pelabuhan Klang, Sepang dan Dengkil isu tentang calon. Tetapi meminjam kata-kata Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar: “Tiada guna menang dalam parti, tapi kalah pilihan raya."

“Ada rakan-rakan kita akan kecewa kerana tauke masing-masing tidak jadi calon. Ya, seorang pemimpin saya akui tidak akan jadi hebat kalau tidak ada pengikutnya. Kalau ditakdirkan tauke tidak jadi calon, jangan pula bagi api dan minyak kepada mereka," kata beliau kepada saya di kediamannya di Shah Alam, kelmarin.

Sebenarnya saat mencemaskan bagi jentera BN adalah pada 5 Mei depan. Dengan tidak menafikan kepentingan negeri-negeri lain untuk memahkotakan majoriti dua pertiga, di sebalik itu kemenangan BN di Selangor amat signifikan untuk survival bukan sahaja kepada parti itu, tetapi Malaysia keseluruhannya.

Kalau kita rakyat Selangor mengambil fakta besar, tentulah kira-kira 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini bergantung kepada kejayaan membangunkan Selangor. Kalau pembangunan di Selangor terencat, negara tidak boleh menjamin KDNK yang tinggi - sekali gus tidak mungkin Malaysia boleh bertukar ke negara maju.

Tapi malangnya kerajaan pakatan pembangkang atau pakatan rakyat atau lebih tepat lagi kerajaan PKR Selangor tidak berbuat apa-apa pun untuk memastikan kepesatan Selangor seiring dengan tuntutan global.

Kita ambil satu contoh mudah. Isu kelulusan Loji Rawatan Air Langat 2. Rezab air terawat di Selangor sepatutnya jika mengikut piawaian antarabangsa mestilah sekitar 20 peratus dan tidak boleh di bawah aras itu. Namun di negeri itu sekarang cuma tinggal satu peratus. Dalam menyelesaikan isu air, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah sengaja tidak tahu mana keutamaannya. Hendak meluluskan Loji Langat 2 tak sampai lima minit pun.


Dan jika diluluskan atas kebenaran kerajaan PKR Selangor itu, tak sampai pun 14 hari hendak dibina - kerana terowong airnya dari Pahang telah pun tersedia. Malah, urusan jual beli tanah untuk tujuan itu pun telah Kerajaan Pusat lunaskan kepada pemiliknya. Tetapi itu pun susah untuk mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan PKR Selangor.

Akibatnya, air sedia ada di Selangor hanya cukup untuk projek sedia ada. Setakat ini 440 projek baru tidak boleh dijalankan kerana kekurangan bekalan air merangkumi projek perumahan, premis perniagaan, kompleks membeli-belah, hotel, kilang, rumah ibadat dan sekolah. Apabila projek tidak dapat dijalankan, perkembangan ekonomi Selangor tersekat.

Peluang pekerjaan tiada dan pelaburan rugi. Jika siapnya loji Langat 2 itu nanti, bekalan air Selangor akan mencukupi untuk 20 tahun lagi. Tapi, Langat 2 memang tidak berjalan - menyebabkan kemungkinan terowong yang siap tanpa air itu, menjadi projek ‘gajah putih’ terbesar di dunia. Nak diubah buat lebuh raya pun tak boleh kerana spesifikasi memang untuk terowong air.

Itu satu hal. Alih-alih pula kerana pilihan raya umum ini, baharulah ‘terhegeh-hegeh’ pakatan pembangkang di Selangor ini menumpukan perancangan hendak bina rumah mampu milik.

Apa kata PKR, DAP dan Pas di Selangor semasa melancarkan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor: Selangorku Meneruskan Kecemerlangan, di sebuah dataran di Shah Alam Khamis lalu?

Mereka ini nak bina rumah mampu milik dengan keluasan minimum 800 kaki persegi, berharga di bawah RM150,000 seunit. Opps! ada lagi. Pakatan ini mahu mewujudkan pula Skim Perumahan Rakyat bagi pembeli yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, dengan cadangan peruntukan berjumlah RM25 juta atau RM50 juta setahun.

Salah guna

Mengapa dalam lima tahun ini tidak terfikirkah pakatan di bawah Abdul Khalid dan ketuanya, Anwar Ibrahim hendak membina rumah mampu milik.

Ini semua yang terkandung dalam manifesto pakatan tidak lain, tidak bukan untuk menipu rakyat. Malah, tujuan dan peranan agensi dan badan untuk jaga ekonomi Selangor juga disalah guna mereka.


PKNS, misalnya, kini bertindak macam syarikat swasta. Cari untung sehingga lupa agenda penubuhannya. PKNS ditubuhkan atas titisan air mata orang Melayu agar orang luar bandar dapat beli rumah di bandar, tapi ke mana haluannya yang dibawa pakatan? Konsep projek perumahan di Datum Jelatek, Keramat asalnya mampu milik tapi dibuat lari dari konsep PKNS - jadi rumah mewah.

Menteri Besarnya bagi alasan: “Ini cara untuk majukan orang Melayu agar tak berada di takuk sama". Padahal, dengan harga rumah dari RM700,000 hingga RM11 juta, bukan semua orang mampu beli. Kerajaan PKR Selangor bukan nak membantu tapi menindas. Apabila rumah dalam bandar dibuat dengan mahal, orang akan beralih beli rumah di pinggir dan luar bandar. Mungkin sebagai orang korporat, Abdul Khalid hanya fikir untung.

Berbeza dengan pakatan pembangkang, manifesto BN yang dilancarkan di Shah Alam Rabu lalu turut siap disertakan dengan data-data kos pelaksanaannya sekali. Saya difahamkan, BN Selangor bakal menyalurkan peruntukan one-off untuk perbelanjaan manifesto berkenaan seandainya mandat rakyat kembali.

Bagi tahun pertama program mensejahterakan kebajikan rakyat yang tertera dalam manifesto BN Selangor itu, peruntukannya adalah sebanyak RM24.2 juta, RM25.2 juta (2014) dan RM26.4 juta (2015). Untuk program komuniti Sayangi Selangor - yang antaranya menjanjikan 10 elemen termasuklah dana khas aktiviti kemasyarakatan kepada persatuan penduduk, kampung tradisi dan kampung baru bernilai sehingga RM5,000 setahun pula - diperuntukkan RM9 juta (2013, 2014) dan RM8 juta (2015).


Bagi program perumahan di Selangor yang dijanjikan BN, peruntukan untuk menyediakannya sahaja dalam beberapa tahun ini mencecah RM120 juta. Antaranya, membina 25,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan PPRT. Hasrat BN untuk mewujudkan peluang kepada rakyat mampu beli rumah. Justeru itulah kalau nak dikira peruntukan manifesto BN untuk rakyat Selangor berbanding kutipan hasil kerajaan negeri pada nilai anggaran RM2 bilion adalah seimbang.

Untuk tahun pertama dalam menggerakkan aku janji 7 teras ‘Janji Ditepati’ 56 janji kepada rakyat Selangor itu, kerajaan negeri BN selaku penerima mandat kelak, perlu memperuntukkan sejumlah RM629 juta. Tahun kedua dan seterusnya ialah RM491 juta (2014), RM417 juta (2015), RM412.9 juta (2016) dan RM412.9 juta (2017).

Peringkat seterusnya pertumbuhan Selangor selepas PRU-13 adalah kritikal. Pelan transformasi bagi Selangor adalah lebih baik daripada pelan tindakan untuk kemajuan. Dan pelan transformasi melalui pelancaran manifesto khusus untuk rakyat Selangor menyediakan hala tuju untuk membina kejayaan negeri terkaya itu, yang impaknya kepada negara.

Semalam lagi dan seterusnya pagi ini (Ahad 21 April) sehinggalah berbaki 14 hari menjelang 5 Mei , kesemua calon BN di seluruh negara termasuk Selangor perlu menyematkan amanat Najib dalam misi Yakini BN, Sayangi Selangor. Teruskanlah berjumpa rakyat dengan pembawaan rendah diri.

“Walaupun saya (nanti) bukan Menteri Besar Selangor, tapi sebagai Perdana Menteri saya akan teliti secara serius dan pantau supaya aku janji ini (manifesto BN Selangor) ini ditunaikan," kata Najib Rabu lalu.

Oleh : Zulkifli Jalil

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan