Selasa, April 23, 2013

PRU -13 : Khalid Samad cuak aura Zul Noordin?


Khalid Samad, calon Pas kerusi Parlimen Shah Alam kelihatan cuba menyalahkan pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Mohd. Jaafar Atan di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam Sabtu lepas.

Ini berlaku apabila pengumuman namanya oleh Mohd. Jaafar di pekarangan dewan itu tidak disahut langsung dengan laungan 'takbir' atau sorakan daripada para penyokongnya sendiri. Tetapi sorakan sokongan daripada para penyokong BN kepada saingannya, Zulkifli Noordin lebih ketara.

Ini menyebabkan Khalid kelihatan 'naik angin' sambil perlahan menyebut 'please respect' (tolong hormat) untuk penyokongnya. Dan pada masa sama Mohd. Jaafar dengan riak kurang selesa, sekadar berbisik kepada staf Suruhanjaya Pilihan Rayanya: "Rasanya mereka (penyokong Khalid) dengar sebab (masing-masing kumpulan penyokong parti) dalam had 50 meter dah."



Khalid, 55, diakui agak 'tersepit' di Shah Alam. Ketika wartawan menghampiri Zulkifli menanyakan kepincangan-kepincangan yang telah Pas lakukan kepada penduduk Shah Alam, peguam itu sekadar berkata: "Apa nak saya ceritakan lagi, saya fikir penduduk Shah Alam sudah tahu apa yang Pas khususnya Khalid Samad, DAP dan PKR lakukan dalam lima tahun di sini. Saya tak akan menyebut lagi apa kepincangan Pas, sebaliknya saya lebih suka menawarkan apa yang ingin kita (BN) berikan kepada penduduk Selangor terutama Shah Alam."

Zulkifli, 50, nampak tidak tertekan dengan kehadiran para penyokong Pas dan PKR. Malahan suatu ketika dalam menghargai kehadiran penyokong BN yang memenuhi jalan di depan sebuah restoran nasi kandar berdekatan, dia dijulang pula oleh sekumpulan penyokong India. Ia merupakan kumpulan sama yang 'menyoraknya' di Seksyen 11 Khamis lalu.

Khalid realitinya akan menerima tentangan sengit daripada Zulkifli. Nama Khalid agak tercalar apabila bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali sebelum ini mendedahkan dialah yang selama ini menjadi 'parasit' dalam Pas.


Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu didakwa oleh Hasan yang dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam Selangor pada 13 Januari 2012 sebagai sering dilihat mengeluarkan kenyataan kontroversi tentang Islam. Malahan selain itu Khalid merupakan individu paling lantang menentang usaha Hasan untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit dan serbaneka di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Khalidlah juga yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai sebuah gereja. Bukan Hasan sahaja mempunyai persepsi begitu terhadap Khalid, Zulkifli demikian juga.

Zulkifli sebelum ini pun meluahkan rasa kesalnya dengan kenyataan Khalid yang menyuarakan persetujuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 - yang membenarkan permohonan kumpulan Kristian melalui akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan Allah bagi ganti nama God dalam penerbitan mereka.


Dan nada sama diluahkan terhadap ungkapan Khalid yang cuba 'memajukan idea' bahawa kematian anggota-anggota keselamatan di perbatasan di Lahad Datu dan Semporna tempoh hari sebagai 'skrip UMNO dan BN untuk terus berkuasa'. Ini juga dibidas banyak pihak.

Barangkali penduduk Shah Alam, yang didiami masyarakat pelbagai taraf pendidikan memahami rentak dan taktik parti-parti yang bertanding untuk meraih undi mereka.

Tapi hakikatnya Shah Alam tidak seperti lima tahun dulu. Pusat hiburan dan hotel- hotel bajet semakin bercambah. Pawagam tujuh panggung pun sudah ada. Satu undi amat berharga bagi penduduk Shah Alam.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan