Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, April 26, 2013
Penganas Kiram mati ditembak askar Filipina?
Pasukan keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram dalam satu pertempuran sengit di Pulau Sibutu di negara jiran itu Sabtu lalu, ketika kumpulan tersebut merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut sumber, dalam pertempuran lewat malam itu, dua daripada kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan Filipina yang terlibat dalam serangan tersebut turut terbunuh.
"Dengan kejayaan itu, satu lagi usaha pencerobohan pengganas Kiram yang diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul untuk masuk ke negara ini berjaya digagalkan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.
"Dalam serangan berkenaan, Kalling dilaporkan terbunuh. Pasukan keselamatan turut merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Sumber itu seterusnya berkata, rancangan kumpulan pengganas tersebut untuk menceroboh perairan pantai timur Sabah dipercayai bertujuan merencatkan kelancaran proses pilihan raya yang sedang berlangsung.
"Walaupun ancaman daripada pengganas ada tetapi kawalan keselamatan akan diperketatkan dari semasa ke semasa malah operasi-operasi membanteras akan terus mendapat kerjasama daripada kerajaan negara berkenaan.
"Oleh itu, keselamatan penduduk khususnya di Lahad Datu dan Semporna adalah terjamin dan hari membuang undi juga diyakini akan berjalan lancar," katanya.
Dalam pada itu, tambah sumber tersebut, pasukan marin Filipina turut mencatat kejayaan dengan penahanan tujuh daripada 18 pengganas Kiram selepas menahan sebuah bot di Pulau Sipangkut, Filipina semasa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Tanduo, Sabah.
"11 pengganas itu walau bagaimanapun berjaya melarikan diri," ujarnya.
Pada 19 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan kumpulan pengganas Kiram yang dibantu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran proses PRU-13.
Kumpulan pengganas bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan Kinabatangan bagi mengelak dikesan.
Walau bagaimanapun, usaha pengganas itu gagal setelah PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan pengundian.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan