Isnin, Mac 11, 2013

Wajarkah bayar tuntutan pengganas Sulu?



Ramai yang barangkali sekadar bertanya, terdetik di hati atau mengandaikan begini: "Kalau tindakan kerajaan Malaysia terus membayar 'pajak' sebanyak RM5,300 setahun kepada waris 'kesultanan' Sulu, maka ini sudah tentu bermakna Filipina ada hak untuk menuntut Sabah.

"Atau setidak-tidaknya waris kesultanan itu ada hak berlebihan ke atas Sabah atas alasan penyerahan Sabah kepada saudagar Eropah pada 1878 hanyalah sekadar 'pajakan sementara'."

Mengupas persoalan itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang merupakan penyelidik undang-undang antarabangsa dan bekas Menteri Luar menarik perhatian bagaimana 'isu andaian' di atas tadi bermula. Beliau yang banyak membuat kajian sejarah dan perundangan antarabangsa mahu rakyat Malaysia memahami dahulu perjalanan sejarah isu Sabah ini.

Semasa itu pada 1878, pihak berkuasa Sulu yang dipanggil 'Kesultanan Sulu' memberikan hak kedaulatan sebuah wilayah yang dianggap Sabah atau dikenali Borneo Utara dalam satu perjanjian dengan dua saudagar Inggeris bernama Gustavus Von Overbeck dan Alfred Dent.

Kedua-dua individu ini memperoleh apa yang dianggap 'pajakan' dari kesultanan Sulu dengan membayar wang ehsan kepada waris kesultanan itu yang berjumlah RM5,300 setahun. Kandungan 'pajakan' itu berhubung kait hak untuk berniaga dan pengawasan pantai Sabah yang diserahkan kepada kedua-dua saudagar berkenaan (antaranya untuk kelancaran pengurusan perniagaan mereka).

Setahun kemudian, Overbeck dilantik sebagai Raja Sandakan. Apabila perjanjian itu diiktiraf, maka elemen 'pajakan' menuju ke fasa pemberian kedaulatan kepada Overbeck untuk mentadbir. Dan dari segi undang-undang meskipun disebut sebagai pajakan, kedua-dua saudagar itu beroleh 'hak tanpa tarikh' atau sampai bila-bila ke atas kepentingan wilayah Sabah.

Menjelang 1905, seluruh kuasa ke atas hak dan kepentingan Sabah yang dikawal oleh Overbeck diserah kepada North Borneo British Company (NBBC). Hal ini terkandung dalam perjanjian yang menterjemahkan perkataan 'pajak' itu kepada penyerahan (grant and cede) kawasan, kuasa dan hak. Pertukaran kedaulatan ini disokong oleh kerajaan British yang menguasai NBBC. Sebelum 1878, Sulu sebenarnya pun pernah bertukar tangan di bawah pemerintahan Sepanyol, diikuti Amerika Syarikat. Senario itu diperhitungkan oleh sejarawan mengikut ungkapan latin 'utis possidetis juris' - prinsip di mana apabila bertukar tangan sesuatu entiti atau negara sama ada melalui peperangan atau bertukar ganti kuasa perjanjian, maka semua sempadan terserah kepada pihak yang baru.

Justeru, tidak timbul soal bagaimana hak di bawah Sultan Sulu sebenar tidak ada. Dengan membayar RM5,300 setahun, maka Sabah menjadi hak kekal sehingga bila-bila kepada Overbeck, kemudian NBBC dan diikuti British, sebelum hak mutlak Malaysia melalui pungutan suara penduduk Sabah oleh Suruhanjaya Cobbold pada 1963.

Kata Rais, isu wang 'ehsan atau pajakan' itu bagaimanapun dicetuskan semula pada 1939. Ia berpunca dari kes yang dibawa Dayang Haji Piandau. Dayang menuntut penerusan duit yang dibayar oleh Overbeck sebelum ini. Atas rasa kehakiman, Hakim Makarskie bersetuju melalui Mahkamah North Borneo untuk meneruskan pembayaran. Namun, pembayaran wang ehsan itu realitinya tidak perlu diiktiraf.

"Ini kerana ia cuma bayaran ehsan dan tidak menukar taraf sebenar kepada pajakan atau situasi lain apabila pada 1878, dicapai perjanjian semua hak dan kepentingan Sabah diserah sampai bila-bila kepada Overbeck. Ini diperkuatkan dengan keputusan kerajaan Filipina pada 1936 yang tidak mengiktiraf kesultanan Sulu melalui sepucuk surat kepada Gabenor Sandakan," katanya.

Rais dalam temu bual dengan penulis, turut menolak tanggapan isu tuntutan pihak berkuasa Sulu ke atas Sabah sama dengan isu pengembalian Hong Kong kepada China - yang fakta sebenar lebih berlingkar soal pajakan.

" Saya berpandangan pembayaran wang ehsan RM5,300 setahun kepada waris kesultanan Sulu tidak wajar diteruskan, ditambah kesultanan itu tidak diiktiraf Manila. Dahulu, pembayaran ini dibuat atas rasa kemanusiaan British. Namun hari ini, ia dikusutkan dengan soal ke mana wang ini hendak dihalakan, sebab ada lapan jurai keturunan Sultan Sulu," katanya.

Kerana itu berpegang kepada prinsip-prinsip di atas - kalau pun timbul sekarang tuntutan daripada penyangak atau pengganas Sulu ke atas Sabah, ia hanya berunsur nostalgia lama. Dan lebih penting, tidak berasaskan undang-undang.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan