Jumaat, Mac 22, 2013

Usah Silap Pilih Lagi?


Cadangan projek Datum Jelatek di Taman Keramat menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan.

Beberapa buah negeri yang terlepas ke tangan pembangkang sekarang memperlihatkan kepada kita betapa negeri-negeri itu seolah-olah seperti tidak ada pentadbirnya. Inilah akibat kesalahan kita yang tersilap memilih pemimpin yang pada mulanya kita sangka boleh dipercayai tetapi sebenarnya mereka 'tidak tahu apa-apa'.

Kita lihat dengan mata kepala kita sendiri seorang Ahli Dewan yang dipilih di kalangan orang 'yang tidak cerdik', telah tidak dapat memahami penghinaan yang dilontarkan kepada seorang pemimpin negeri. Mengatakan seorang itu 'hitam pekat' bererti kita telah menyentuh peribadinya di mana Tuhan telah menganugerahkan beliau begitu.

Di Pulau Pinang misalnya, rakyatnya telah memilih sebuah kerajaan yang mereka anggap boleh dipercayai dapat membelanya apabila keadaan 'payah' timbul di kalangan mereka tetapi apa yang terjadi timbul kegelisahan akibat salah tadbir.

Dahulu penduduk Pulau Pinang dipayungi dengan suasana aman tenteram. Kegelisahan tidak wujud. Demonstrasi, bawa poster itu, bawa poster ini kerana membantah dasar kerajaan jarang berlaku tetapi sekarang saban hari ada pihak yang tidak puas hati.

Kenapa hal ini terjadi? Kerana kita salah pilih, kerana penduduk-penduduknya konon mahu berubah angin. Ternyata 'angin baharu' itu mengandungi 'angin puting beliung'.

Satu contoh lagi ialah dahulu penduduk-penduduk Taman Keramat, Kuala Lumpur berpuluh-puluh tahun menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Pusat bandar Taman Keramat itu disediakan dengan pejabat pos, kedai runcit juga kedai makan. Di sekeliling flat itu ada orang berjualan untuk sarapan dan lain-lain.

Di kawasan itu juga ada satu stesen minyak Petronas. Para penduduk yang memerlukan barang-barang makanan, air minum dan lain-lain lagi boleh terus sahaja ke stesen minyak ini di mana semua keperluan orang ramai ada dijual di situ.

Tetapi sekarang semuanya sudah musnah. Semua kemudahan itu sudah tidak ada lagi. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan restu kerajaan Selangor telah merobohkan semua bangunan yang ada di kawasan tersebut.

Kerajaan Selangor mahu membina satu bandar baharu dengan nama Datum Jelatek. Penduduk bukanlah anti-pembangunan, tetapi sebelum bertindak merobohkan bangunan itu pihak-pihak ini hendaklah menyediakan kawasan sementara bagi para peniaga dan penjaja di situ.

Penghuni flat, para peniaganya termasuk beratus-ratus orang peniaga kecil di bazar Taman Keramat telah diberi notis tanpa diberi kawasan tempat sementara untuk mereka berniaga.

Walaupun para peniaga itu diberi pampasan tetapi mereka dihalau bagai kambing keluar dari reban kambing atau pun ayam dihalau dari reban ayam.

Para peniaga di situ sudah mencadangkan supaya dibina rumah kedai sementara yang tidak jauh dari situ iaitu kawasan letak kereta, tetapi MPAJ dan PKNS langsung tidak memperdulikan rayuan dan cadangan itu. Mereka memperlihatkan kesombongan terhadap para peniaga itu.

Sebahagian daripada peniaga dan penjaja pisang goreng, nasi lemak, lontong, nasi goreng, keropok lekor dan macam-macam lagi terpaksa mencari tempat sendiri. Mereka membuka gerai di tepi-tepi longkang, di tembok-tembok di tepi jalan untuk sesuap nasi untuk anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

Kerajaan negeri langsung tidak mengambil tahu, dan tidak mempedulikan nasib mereka. ''Itu engkau punya pasallah. Engkau nak hidup, pandai-pandailah bawa diri." Barangkali itulah anggapan sesetengah pegawai MPAJ dan kerajaan negeri.

Begitulah akibatnya salah pilih pemimpin, membiarkan orang tidak cerdik mentadbir dan membicarakan masalah-masalah yang berhubung kait dengan kepentingan orang ramai.

Penduduk Taman Keramat khususnya, perlulah berfikir semula, wajarkah pentadbir yang seperti ini diangkat semula untuk mentadbir negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang?

Dulu kita sudah ada satu kerajaan dan pemimpin yang dipercayai, kemudian kita menganggapnya sebagai 'tidak betul'. Kita pilih pemimpin dan kerajaan lain untuk memimpin kita. Lalu kita lihat sendiri akibatnya.

Memanglah dulu ada yang tidak betul. Ada itu dan ada ini tetapi orang-orang jenis ini sudah pun disingkirkan supaya tidak menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.

Kita sebagai orang Melayu/Islam tidak harus membiarkan orang-orang yang tidak cerdik memimpin umat, menguruskan negara dan memerintah rakyat. Justeru janganlah kita tersilap pilih lagi. Fikir-fikirkan lah!

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. Projek Datum ini adalah projek utk memecahbelahkan org Melayu dari struktur geografi. Dengan membina kondo mewah (yg paling murah RM900,000.00) maka terang-terangan tidak termampu utk dimiliki oleh org Melayu. Dan kedudukan projek ini jika diteliti adalah ditengah-tengah kawasan tumpuan org Melayu.

    Mohon tuan yg empunya blog link dengan blog saya di:
    http://mycybertrooper.net.ms
    Atau
    http://mycybertrooper.net.ms/feed/

    Terima kasih

    BalasPadam