Rabu, Mac 13, 2013

Episod sejarah kedaulatan Sabah!



Sukar bagi kita yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan, membicarakan episod berdarah yang berlaku di Sabah kebelakangan ini tanpa emosi.

Apa tidaknya? Bukan satu perkara biasa kita melihat penjenayah bersenjata menceroboh kampung halaman kita, menangkap jiran tetangga kita, menahan mereka sebagai tebusan, menyiksa dengan kejam dan membunuh anggota keselamatan kita - semuanya kerana, kata mereka, "Sabah adalah milik nenek moyang mereka pada satu ketika di zalam silam".

Apakah benar Sabah milik nenek moyang penceroboh dan pengganas ini?

Mengikut pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim walaupun wilayah ini pada satu ketika dulu adalah sebahagian daripada wilayah Sultan Sulu, syarikat Borneo Utara British telah menguasainya sejak 1882.

Mengikut Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan bekas peguam) di bawah undang-undang antarabangsa, Sabah adalah sebahagian Malaysia, satu negara yang berdaulat dan telah lama diiktiraf oleh seluruh dunia.

Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1963 (pada akhir saat referendum) mendapati majoriti orang Sabah mahu menjadi sebahagian Malaysia.

Nampaknya pakar sejarah setuju kesultanan Sulu adalah sebuah negara yang berdaulut sejak tahun 1457, di mana wilayahnya meliputi sebahagian Mindanao di sebelah timur, Borneo Utara di sebelah barat, dan Palawan di sebelah utara.

Sultan Sulu memperolehi Borneo Utara sebagai hadiah daripada Sultan Brunei selepas menolongnya mempertahankan negara itu daripada serangan musuh dan pemberontak. Perkara itu berlaku di sekitar tahun 1704.

Pada tahun 1878, Baron Von Overbeck (warga Austria) dan Alfred Dent (seorang British) memperolehi apa yang dipercayai ramai sebagai satu "pajakan" wilayah Borneo Utara daripada Sultan Sulu. Perjanjian ini dimeterai antara Sultan Sulu (pada satu pihak) dan Overbeck serta Dent (pada pihak yang lain), kedua-duanya ini bertindak atas nama East India Company.

Sebagai balasan, syarikat itu berjanji akan membayar Sultan Sulu sejumlah wang yang dipersetujui sebagai "sewaan tahunan".

Saya belum lagi berpeluang meneliti terma sebenar yang terkandung dalam perjanjian 1878 itu. Tetapi saya ada melihat kandungan perjanjian bertarikh 6 Jun 1800 antara Sir George Leith, Lieutenant-General of Penang (bagi pihak English East India Company) dan Yang di-Pertuan Raja Muda Perlis dan Kedah (bagi pihak Sultan Kedah) - yang dinamakan "Triti Persahabatan dan Perikatan" (Treaty of Friendship and Alliance).

Perjanjian atau triti ini berkuasa "di laut dan di darat, selagi matahari dan bulan memancarkan cahayanya" (on sea and on land, as long as the Sun and the Moon retain their motion and splendour).



Jika kita boleh ambil iktibar daripada perjanjian yang melibatkan Pulau Pinang itu, Fasal 1 dalam Perjanjian itu ada menyebutkan bahawa sejumlah wang akan dibayar kepada Sultan Kedah dan Perlis selama mana orang Inggeris "ada milikan" (continue in possession) Pulau Pinang dan Prai.

Dalam perjanjian atau triti yang mengandungi 14 Fasal itu, kita tidak jumpa istilah "pajakan" (lease). Dalam bahasa mudah, hak yang diberi oleh Sultan Kedah adalah hanya hak menduduki, bukan hak milik mutlak.

Sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian antara Overbeck dan Dent dengan Sultan Sulu, Sultan Kedah juga dijanjikan akan dibantu oleh Francis Light melawan musuhnya sebagai balasan kepada persetujuan Sultan membenarkan syarikat Inggeris itu menduduki Pulau Pinang. Sebenarnya ini hanya satu janji kosong, dan tidak ditunaikan oleh Francis Light.

Tidak mustahil bila Overbeck dan Dent menandatangani perjanjian yang bersejarah itu dengan Sultan Sulu pada tahun 1878, terma dan syarikat yang serupa seperti yang terkandung dalam perjanjian 1800 melibatkan Pulau Pinang itu digunakan. Saya tidak yakin istilah moden seperti "pajakan" sudah digunakan pada masa itu.

Apa pun istilah sebenar yang digunakan, syarikat British North Borneo itu kemudian telah gagal atau enggan meneruskan bayaran kerana ia tidak pasti siapa waris Sultan Sulu yang sebenar. Akibatnya satu tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 terhadap kerajaan Borneo Utara dan syarikat.

Mahkamah memutuskan bayaran hendaklah terus dibayar kepada waris Sultan Sulu yang sah, dan mahkamah mengenal pasti dan menamakan siapa mereka.

Tujuh tahun kemudian, pada 10 Julai 1946 kerajaan British mengisytiharkan Sabah sebagai satu jajahan takluk British. Kita perlu ingat kembali apa yang dilakukan oleh British kepada Pulau Pinang. Jika pada mulanya Francis Light hanya dibenarkan menduduki (continue in possession) pulau itu, kerajaan British kemudian telah mengisytiharkan pulau itu sebagai satu jajahan takluk - sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Melaka dan Singapura.

Ini amalan dan perangai buruk penjajah - mengisytiharkan wilayah dan negara yang bukan milik mereka sebagai tanah jajahan mereka! Disebabkan kuasa ketenteraan mereka, tidak ada sesiapa pun yang dapat melawan mereka.

Pada 12 September 1962, Sultan Sulu, Sultan Muhammad Esmail E. Kiram 1, secara formal menyerahkan (ceded) Sabah kepada Kerajaan Filipina. Peristiwa penting ini berlaku dalam zaman pemerintahan Presiden Macapagal. Berbeza dengan hak menduduki atau "hak milikan" sahaja, satu "penyerahan" (cession) adalah pemindahan hak milik dan kedaulatan atas suatu wilayah oleh satu pemerintah kepada pemerintah yang lain.

Dari sudut undang-undang, antara Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina, hak milik terhadap Sabah sudah bertukar tangan.



Oleh yang demikian, jika masih timbul persoalan "Sabah siapa punya?" pihak-pihak yang layak mengemukakan isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda adalah Filipina, bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya lagi.

Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya. Apakah penceroboh bersenjata yang mengganas di Sabah itu waris-waris sah Sultan Sulu? Tanpa bukti yang kukuh dan meyakinkan, sukar bagi kita membuat sebarang andaian atau keputusan.

Saya sempat bertanyakan isu ini kepada seorang pakar undang-undang antarabangsa, pengamal undang-undang Datuk Dr. Tunku Sofiah Jewa. Menurut beliau, daripada apa yang kita pelajari dalam kes Batu Putih (yang mana kita kalah dengan Singapura), asal usul sejarah sesebuah wilayah itu tidak penting lagi.

Yang lebih penting dan diberi keutamaan adalah siapakah yang telah memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatannya di wilayah itu untuk satu jangka masa yang lama? Dalam kes Batu Putih, memang tidak ada ragu-ragu pulau kecil itu pada asalnya adalah milik Sultan Johor. Pun begitu, kita kalah kepada Singapura kerana untuk sekian lama kita biarkan Singapura mentadbir dan melaksanakan kuasanya (mempamerkan kedaulatannya - exercising its sovereignty) di pulau kecil itu.

Dalam kes Sabah, kita telah sekian lama (sejak 1963) memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatan kita - bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya, sementara Kerajaan Filipina pula (setakat ini) belum memfailkan apa-apa tuntutannya di ICJ. Nampaknya kerajaan itu lebih mengutamakan kerangka kerjasama dalam ASEAN.

Keturunan Sultan Sulu dan pengikut-pengikutnya yang menceroboh Sabah sejak sebulan yang lalu itu tidak lebih sebagai pengganas. Mereka bukan wira atau pejuang seperti yang mereka dakwa, "dalam perjalanan pulang ke wilayah asal mereka."

Oleh : Prof Salleh Buang

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan