Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Mac 06, 2013
'Alahai Khalid... oh! PKNS'?
Cuba sesiapa tunjukkan kepada kami, kampung yang mana betul-betul 'kampung' di Selangor.
Maksud kami, yang menepati istilah kampung sebenar. Di Selangor, hampir 90 peratus diliputi perbandaran. Kampung-kampung di Sepang dan Semenyih pun kini dilitupi impak KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Kalaupun perhati di Kuala Selangor dan Tanjung Karang, kampung-kampung di situ sudah pun dilimpahi rahmat pembangunan - juga dari impak kepesatan Bagan Datoh, Perak.
Tiada kampung dalam istilah 'kampung dulu-dulu' di Selangor - bermakna sukar dalam tempoh beberapa tahun ini untuk anak-anak muda yang baru berumahtangga mencari penempatan yang kondusif di negeri itu. Malah, penduduk asal Selangor sendiri terpaksa bersaing hebat dengan rakyat dari negeri-negeri lain yang bertandang mencari rezeki, seterusnya jadi pemastautin.
Kerana itu, menjadi tugas - yang sebenarnya peranan penting - untuk digalas oleh menteri besar kerajaan PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggerakkan kerajaan yang berimbang dalam memuaskan hati golongan rendah dan sederhana. Pada masa sama, memang tidak boleh pula mengetepikan orang berduit.
Tapi kerajaan negeri Abdul Khalid tidak fikir sedemikian rupa dalam lima tahun mentadbir Selangor ini. Yang ada dalam benak fikirannya - siapa best buyer, siapa ada duit, boleh datang ke Selangor bila-bila masa. Yang 'biasa-biasa' tidak boleh lawan mereka.
Dia tak fikir orang yang beranak-pinak di Selangor yang tiada rumah. Dia lupa matlamat asal Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membantu golongan rendah dan sederhana memiliki rumah di Selangor, apatah lagi di Shah Alam atau sekitar Petaling Jaya.
Sebab itu Abdul Khalid tanpa rasa bersalah langsung pada Julai tahun lepas, begitu tampak 'lagak korporatnya' mempertahankan tindakan PKNS menetapkan harga rumah yang terlalu tinggi di Selangor. Mudah sahaja rumusannya: "PKNS menetapkan harga projek perumahan di bawahnya berdasarkan harga pasaran. Ini bagi membolehkan syarikat pemaju di bawah kerajaan negeri itu mendapatkan keuntungan dan pusingan modal."
"Apabila PKNS buat, ada diskaun melampau. Jadi, biar ikut harga pasaran. Kalau jual RM1 juta, ada juga pembeli. Keuntungan PKNS kita gunakan untuk usaha membangunkan projek yang tertumpu kepada mereka yang tidak mempunyai tanah atau pendapatan rendah," katanya yang masih terngiang-giang di kepala kami dalam sidang DUN Selangor Julai tersebut.
Eh! betulkah begitu Abdul Khalid? Bukan begitu fakta sebenarnya. Rakyat Selangor atau sesiapapun boleh periksa dan semak - tiada projek rumah mampu milik dan kos rendah sepanjang lima tahun kerajaan PKR memerintah Selangor. Di Bangi dan Shah Alam atau Bukit Botak dekat Selayang kalau ada pun rumah-rumah begini, itu adalah projek dulu era Barisan Nasional. Ia hanya 'lembu punya susu, sapi dapat nama' oleh Abdul Khalid.
Projek rumah kos rendah dan rumah mampu milik di bawah Abdul Khalid tak ada. Tapaknya tak kelihatan pun.
Seelok-eloknya Abdul Khalid singkap balik sejarah Selangor. Kalau boleh, bacalah sejarah waktu Shah Alam dibina awal dulu. Ibu negeri Selangor itu dibina secara susun batu - dengan dibina rumah murah dulu. Ingat tak waktu pentadbiran Menteri Besar, arwah Datuk Harun Idris (sekitar 70-an), habis dibawanya orang Melayu dari negeri-negeri lain ke Selangor. Waktu itu, Kampung Jaya (kini Taman Dato' Harun), Kampung Medan, Kampung Lindungan berceleparan orang Melayu datang untuk merasai 'impak aroma' bandar. Masih ingat tak lagi dengan 'hero setinggan' Kampung Kebun Bunga, Bukit Lanchong, Sri Muda dan Batu Tiga, Allahyarham M. Zin Sulaiman (ADUN Batu Tiga tahun 80-an).
Semasa itu (80-an), Shah Alam baru dibuka. BN bukan sahaja bawa masuk kilang-kilang tetapi juga penduduk setinggan dari Jalan Klang Lama dan sekitar Batu Tiga untuk beli rumah murah di sana. Harga sekitar RM30,000 hingga RM40,000 seunit.
BN tak fikir nak buat untung. Hasilnya, cukup menakjubkan. Iaitu, suatu pembinaan sumber manusia yang hebat. Yakni, dari generasi pertama pembeli rumah, antaranya di Seksyen 24, Seksyen 18 dan Seksyen 16, Shah Alam itu, lahir pula generasi kedua dan ketiga yang cerdik pandai. Anak-anak mereka belajar sampai ke Amerika Syarikat, menjadi doktor, arkitek dan jurutera kini - termasuklah adik penulis sendiri yang datang dari keluarga setinggan Kampung Lindungan, dekat Sungei Way sebelum berpindah ke Shah Alam pada 1986.
Penduduk generasi awal Shah Alam tidak berdepan nasib serupa seperti generasi ketiga hingga generasi kelima di Filipina dan Argentina yang masih bergelut dengan kesusahan hidup termasuk kekal setinggan dan sekadar pemungut barang lusuh dan terbuang.
Dan sempat juga kami menanyakan hal ini kepada anak Allahyarham M. Zin, iaitu penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi akan kenangan manisnya mengikut arwah meredah kepekatan malam menemui dan menyelesaikan permasalahan setinggan.
"Masih saya ingat lagi kata-kata bapa, kami (BN) bangunkan Shah Alam perlahan-lahan, sebabnya nak tunggu sampai orang Melayu atau sesiapa sahaja orang susah itu jadi hingga dia senang.
"Ya, kalau nak 'kaut', waktu era itu (80-an) boleh 'kaut'... tapi tengoklah dek hasil bina rumah murah di Shah Alam... kesannya terpercik hebat pada keluarga generasi awal itu," katanya.
Kata Nawawi: "Kita jadi pemimpin, untungnya apa? Bukankah untuk rakyat akhirnya... kalau ada rizab berjuta-juta apa untungnya?
"Jadi pemimpin bukan untuk kita kejar duit tapi untuk gembirakan rakyat. Itu cerita sebenar jadi pemimpin."
Cuma yang menghairankan Ahmad Nawawi, 51, ialah BN semasa kehilangan Selangor tempoh hari (Mac 2008) telah meninggalkan negeri itu bukan dalam keadaan 'papa kedana' atau dikelilingi hutang-piutang. Bukan seperti Kelantan sekarang. Tetapi Selangor ditinggalkan dalam keadaan kakitangan PKNS menikmati bonus sehingga lima enam kali sebulan. BN tinggalkan PNSB, PKPS dan Worldwide ketika syarikat-syarikat kerajaan negeri itu sedang untung. BN tinggalkan Selangor pada 2008 dalam keadaan kantung rezab negeri berisi RM1 bilion.
"Kita tinggalkan timbunan harta kepada PKR, DAP dan Pas Selangor. Tapi apa yang kerajaan PKR negeri buat? Adakah satu sekolah, masjid, surau, hospital dan klinik dia buat? Masjid di Taman Tun Dr. Ismail Jaya (TDDI Jaya) janji nak dibina, sampai sekarang 'berkurun' dinanti penduduk.
"Hospital Shah Alam hasil tangan BN ini pula bukan setakat hospital sahaja, adakah PKR nak tampung kos doktor dan peralatannya sekali?" kata beliau.
Tambah Ahmad Nawawi : "Kalau BN tak tinggalkan duit pun (pada 2008), tanah-tanah di Selangor ini dah macam lombong emas (harganya mahal) pun.
"Apa yang kerajaan PKR Selangor buat? Rumah mampu milik... tak ada, tak ada bayangnya pun," katanya.
Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan cubaan... Tidak ada apa yang boleh rakyat Selangor banggakan di bawah kerajaan pakatan dalam lima tahun ini. Yang ada mungkin pawagam tujuh panggung di Bukit Jelutong Timur - atau 'pusat hiburan' di Setia Alam.
Cerita nak menstrukturkan semula industri air tak pernah habis dari 2008 hingga nak hampir Pilihan Raya Umum ke-13 ini.
Ini bukan soal dia ahli korporat atau tidak. Tapi ini soal kewibawaan, soal kepimpinan.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan