Ahad, Februari 17, 2013

Siapa lagi masih tercicir?




Sejak mengambil alih teraju pemerintahan negara dan memperkenalkan konsep 1Malaysia, dengan pelbagai agenda transformasi, rasanya dalam tempoh tiga tahun ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendekati golongan sasaran tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik.

Jelas, beliau amat bertungkus-lumus tanpa mengira waktu dalam melaksanakan tanggungjawab berat yang dipikul ke atas bahu beliau. Bukan sedikit cabaran yang beliau tempuhi. Ada waktunya kita sendiri merasa lemas dengan pelbagai serangan peribadi oleh pembangkang, namun Perdana Menteri kelihatan tenang menghadapi itu semua.

Dalam tempoh singkat ini, dengan serba kekurangan dan kelemahan parti dan negara, beliau sedaya mungkin telah berusaha untuk memulihkan keadaan. Kegawatan politik tanah air dan kegawatan ekonomi dunia merupakan dua elemen yang tidak memihak kepada beliau. Syukurlah beliau dapat mendepaninya dengan penuh berhemah dan kebijaksanaan.

Tuntutan demi tuntutan kaum minoriti di Malaysia terpaksa beliau layan. Tindakan beliau seperti menarik rambut di dalam tepung. Rambut jangan sampai putus dan tepung pula jangan sampai berserakan. Golongan cerdik pandai yang agak skeptikal dengan pelantikan beliau dulu kini telah menerima seadanya beliau sebagai Perdana Menteri yang mempunyai visi dan misi yang jelas ke mana negara ini hendak dipandunya.

Golongan agama yang suatu dulu terpengaruh dengan dakyah pembangkang, kini semakin menghormati beliau. Peneroka Felda dulu kini dan selamanya berpihak kepada beliau biarpun seribu tohmahan dihamburkan kepada beliau. Keluarga Felda terus mendapat pembelaan beliau dari semasa ke semasa.

Golongan nelayan, petani dan penternak mendapat habuan masing- masing, bukan sahaja menerusi bantuan berupa peralatan, dana tetapi juga jaminan masa depan menerusi insurans berkelompok. Golongan pelajar sama ada seawal usia tiga tahun sehinggalah ke peringkat tertinggi untuk menjadi doktor falsafah, semuanya tidak terlepas daripada perhatian beliau.



Menerusi pakej rangsangan ekonomi semua golongan peniaga daripada penjual goreng pisang sehingga ke perniagaan perkapalan yang bernilai berbilion ringgit telah merasai nikmat. Kompleks beli-belah yang menjual barang berjenama terus segar dan dikunjungi orang ramai saban hari tanpa merasai kesan kegawatan ekonomi dunia.

Penjual petai dan pucuk pegaga masih mampu menjual hasil tani mereka dengan harga mahal walaupun melalui ekspo di Pasar Tani. Penjual air oren atau karipap di bawah tangga di komplek beli-belah di Kuala Lumpur mampu meraih ribuan ringgit setiap hari.

Harga komoditi seperti sawit dan getah yang agak tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan penduduk desa membanjiri pusat-pusat peranginan setiap hujung minggu. Pahang kini telah jauh mengatasi negeri-negeri yang suatu dulu mendominasi pendaftaran kenderaan bermotor kerana kemampuan rakyat Pahang dari segi kuasa beli telah meningkat dengan ketara.

Jualan kenderaan di sebalik pelbagai sekatan oleh pihak institusi kewangan masih mampu meningkat. Penjawat awam daripada yang beruniform dan berpakaian biasa semuanya kelihatan selesa dengan Perdana Menteri. Pasukan PGA, polis, tentera, Askar Wataniah, bomba dan penyelamat dan penjara menerima pengiktirafan yang sewajarnya.

Begitu juga, warga pendidik berkali-kali menerima durian runtuh menerusi semakan kenaikan pangkat dan gred perkhidmatan. Pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM3,000 menerima saguhati BR1M 1.0 dan 2.0. Ini melibatkan jumlah besar iaitu hampir lima juta orang termasuk yang mendakwa pemberian itu sebagai haram dan rasuah tetapi mereka tetap mengambil dan menggunakannya.

Pemandu teksi dan golongan karyawan tidak dilupakan dengan geran bantuan atau dana yang disediakan untuk kemudahan mereka.



Tidak berlaku di mana-mana dalam dunia ini kaum Cina dan India mendapat pembelaan seperti yang mereka nikmati di Malaysia ini. Bahasa ibunda juga masih boleh dikekalkan di sekolah rendah.

Lalu golongan mana lagi yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN ini? Golongan agama? Golongan sekular? Golongan oportunis? Golongan kemaruk kuasa? Golongan bankrap politik? Golongan korperat? Golongan bangsawan? Golongan muda dan pertengahan atau veteran?

Mungkin setiap golongan itu ada wakilnya yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerajaan. Jumlah mereka tidak sebesar mana, namun hiruk-pikuk mereka kelihatan gah sepanjang masa. Golongan inilah yang sentiasa mencari salah silap kerajaan walau sekecil mana sekalipun akan cuba diputar belitkan sebagai alat penghasut yang berkesan.

Mereka tidak mempunyai kekuatan dari sudut mana sekalipun untuk menandingi kejayaan UMNO/BN selama ini lalu mereka mengguna pakai kaedah hasut dan semai budaya kebencian yang keterlaluan serta mewujudkan persepsi negatif sepanjang masa.

"Malaysia tidak selamat, undilah pakatan, ubahlah untuk selamatkan Malaysia." Itu antara slogan pembangkang terutamanya Pas. Di mana tidak selamatnya Malaysia ini hanya orang Pas yang tahu.

Orang Pas tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada di negara ini. Mereka termasuk ke dalam golongan orang dimurkai. Mereka kaya raya, senang lenang, bergaya, bebas berbicara, bebas berniaga, bebas melakukan ibadat dari subuh hingga ke subuh dan bebas berkahwin dua tiga. Namun mereka sudah tertulis agaknya bahawa mereka adalah contoh umat yang tidak tahu bersyukur!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan