Sabtu, Februari 09, 2013

Memburu si 'pencacai'?


Ab. Manap Sahardin (tengah) bersama sebahagian ahli NGO bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ketika ditemuramah mengenai kempen Barisan Nasional di Selangor, baru-baru ini.

Yang paling dibimbangi oleh Ab. Manap Sahardin, penasihat sebuah NGO, 'Gerakan Aktivis Sahabat Sayangi Malaysia' (GASSM) bukan kerana kedudukan politik terkini tanah air. Tetapi yang menjadikan 'senak perut' ialah gelagat atau tindak tanduk 'pencacai-pencacai' politik yang sedang dan akan duduk di warung kopi atau coffee house sambil menyuarakan perasaan yang 'membelenggu' mereka - tak puas hati tidak terpilih sebagai calon PRU-13.

Kepada Ab. Manap, 68, serta 1,000 ahli NGO itu yang bertebaran di merata negeri ketika ini - pakatan pembangkang tidaklah 'sekuat' mana. Dan hakikatnya tidak lagi seperti 2008.

"Cuba perhatikan dua tahun sebelum pilihan raya 2008, waktu itu sudah diagih- agihkan lambang-lambang serta sepanduk. Semasa itu banyak pelekat pembangkang tertampal di cermin-cermin kereta orang awam. Tapi dalam suasana berbahang PRU-13 ini tak ternampak ini semua, walaupun ketika itu (2008) pembangkang tidak menang, tetap bertebaran pelekat parti mereka.

"Kali ini? Majoriti rakyat nampaknya sudah bersedia membuat penilaian yang tepat," ujar beliau kepada saya semasa pertemuan di Bandar Baru Bangi, kelmarin.

Ab. Manap, bukanlah orang baru dalam politik. Sepak terajang politik biasa baginya.

Bisiknya: "Saya ni datang dari dua 'universiti politik', pertama semasa dalam parti Semangat 46 dan kedua, Parti Keadilan. Namun, saya tidak menyesal sertai pembangkang (dulu), tetapi amat-amat kesal jika tak keluar tinggalkan pembangkang," kata beliau lagi.''

Pada pilihan raya umum 2004, Ab. Manap bertanding atas tiket Keadilan dalam persaingan kerusi Parlimen Telok Kemang. Tetapi tewas kepada calon BN. Namun, waktu itu dia tetap berpuas hati kerana masih dapat beri tentangan hebat - dengan mengaut 17,000 undi.

"Sudah dua tahun GASSM yang diketuai saudara Dahlan Marsono ini bergerak di peringkat bawah. Sepanjang waktu duduk dalam Keadilan dulu, saya banyak lakukan dosa, putarbelitkan fakta tentang kerajaan serta menyambung-nyambung fitnah.

"Sebab itu saya nak tebus ini semua seperti yang saya katakan tadi, jika ada pencacai politik, tidak kiralah daripada pihak mana - pembangkang atau kerajaan pun - ...yang cuba bersembang di warung kopi memburukkan calon-calon yang dipilih pucuk pimpinan BN, maka salah satu peranan saya dan anak-anak buah saya ialah menumpulkan atau menjadikan lidah mereka kelu supaya tidak lagi bercakap soal itu.

"Saya percaya inilah yang dibimbangi pucuk pimpinan kerajaan yang mungkin setiap kali terjaga dari tidur pagi seandainya calon-calon yang dipilih nanti tak mendapat sokongan orang sendiri," katanya sambil memberitahu NGOnya beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam.

Menfokuskan strategi menggerakkan jentera NGOnya demi mengembalikan Selangor ke pangkuan BN, Ab. Manap yang juga bekas tentera menjelaskan, dia cukup 'masak' dan 'kenal benar' perangai orang PKR.

"Pembangkang ketika ini cuba wujudkan jentera pilihan raya tapi tak kelihatan pun. Dalam mesyuarat cabang-cabang mereka nak kumpulkan satu dua orang pun susah. Kalau anda ke Sepang, Salak Tinggi atau Sabak Bernam walaupun dalam cabang-cabang berlainan, senarionya tetap sama.

"Dari segi keahlian PKR pun, dah banyak orang mereka 'menyeberang' ke sini (BN), iaitu lebih tiga suku tinggalkan parti. Anwar gunakan isu mata lebamnya pada 2008 untuk raih 'simpati' rakyat. Itu bukan kemenangan mutlak, cuma menang tipis. Kalau nak katakan 'tsunami politik', mengapa tak berlaku ke seluruh negara," katanya.

Beliau menarik perhatian, berdasarkan pemantauan turun padang pihaknya terutama di sekitar Sepang, sambutan ketika ceramah pembangkang (PKR) cukup menyedihkan.

Dicanang 10,000 orang akan hadir, tapi tak sampai 400 orang. Ketika Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim turun ke Bukit Changgang, Dengkil kira-kira dua bulan lepas, hanya kelibat kira-kira 300 orang yang nampak dengan dicanangkan tak putus-putus 'kami mahu ambil Putrajaya'.

Bagi Ab. Manap, beliau dan NGOnya tidak yakin orang Cina akan melakukan 'perubahan' besar dengan memilih pembangkang.

"Kita tak boleh istilahkan Cina itu DAP, DAP itu Cina. Yang kami nampak kaum Cina agak terbuka. Ramai kalangan mereka juga yang tidak bersetuju dengan DAP,pengundi Cina tak ada masalah, saya tak jumpa yang betul-betul ekstremis tetapi yang berumur 40 tahun ke atas semasa ini memandang Datuk Seri Najib terbaik buat mereka.

"Kerana itu kami mencari-cari si pencacai yang cuba mengganggu-gugat kedudukan BN yang saya kira semakin menyerlah di mata rakyat ketika ini, 'pencarian' ini akan lebih agresif sebaik sahaja senarai calon diumumkan. Apa yang si bapa buat tentulah untuk kebaikan yang tak semestinya anak mesti tahu, siapa yang dipilih oleh beliau (Najib) tentulah yang terbaik untuk parti," katanya.

Menurut Ab. Manap lagi, banyak kejayaan diperoleh pihaknya dalam tempoh dua tahun ini untuk memberi kefahaman kepada kalangan mereka yang berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Kita bukan sahaja dapat timbulkan kayu-kayu tetapi batu pun dah mula muncul. Ini setelah diberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar fitnah atau tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan waktu ini. Sebagai contoh, kalau kami jemput tujuh orang, yang datang 25 orang. Dari sekecil- kecil majlis, seramai-ramai orang hadir. Ketika bendera pembangkang tak naik, bendera BN pula tak terusik. Dan ramai semakin berani letakkan di rumah," katanya.

Sebagai orang lama dan orang tua kepada anak-anak muda negara ini, Ab. Manap sempat berpesan: "Kenanglah pohon rendang orang nak berteduh ini, ini pohon yang sudah wujud lebih 50 tahun. Kalau tengok dua atau tiga daunnya kuning, kenapa perlu ditebang. Kalau nak dibetulkan sikit yang pincang, buat apa nak dimusnahkan seluruh perjuangan. Dan kalau tanam pokok yang sama, tak mungkin pokok baru boleh hidup macam pokok lama." -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan