Ahad, Februari 24, 2013

Mana suara Wan Azizah?




Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didesak menyatakan pendiriannya berhubung spekulasi penolakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh Majlis Syura Ulama Pas seandainya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, sikap mengunci mulut Presiden PKR itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli PKR dan seluruh rakyat Malaysia.

"Selaku Presiden PKR, kedudukan Wan Azizah dalam parti cukup besar, setanding Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ini bukan persoalan rumahtangga, ini soal parti. Mengapa Wan Azizah takut untuk bersuara. Diam, senyap seolah-olah tidak wujud lagi.

"Kalau dia takut, dia takut pada siapa, adakah Anwar? Kenapa perlu takut Anwar, sedangkan kedudukan beliau dalam parti cukup tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut ekoran sikap Wan Azizah yang mendiamkan seribu bahasa berhubung pelbagai isu yang berbangkit sejak kebelakangan ini.

Katanya, sikap Wan Azizah itu cukup menghairankan seolah-olah beliau tidak lagi berada dalam radar politik.

"Bukan isu Anwar sahaja, malah, Presiden PKR itu langsung tidak mengulas atau menyatakan pendirian dalam isu kalimah Allah, pluralisme, dakwaan skandal Shamsidar Taharin serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT)," tegasnya.

Secara sinis, Aminah berkata, sikap Wan Azizah yang tidak mempertahankan Anwar dalam spekulasi berhubung keputusan Majlis Syura itu cukup luar biasa.

"Kalau sebelum ini beliau boleh mempertahankan Anwar dengan menyatakan Anwar adalah anugerah Allah kepada rakyat Malaysia kenapa kali ini tidak membuat perkara sama kepada Majlis Syura?

"Saya secara peribadi tertunggu-tunggu kalau Wan Azizah akan mempertahankan suaminya dengan membuat kenyataan Anwar adalah manusia paling bersih di negara ini," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan