Jumaat, Januari 25, 2013

Rani Mukherjee tak peduli jalan gelap di Meru undang bahaya?



Meru, Klang - Jalan utama yang menghubungkan Taman Meru Empat dan pekan Kapar di sini berubah menjadi antara zon berbahaya apabila sering berlaku kemalangan terutamanya pada waktu malam.

Semuanya akibat lampu jalan yang tidak berfungsi di kawasan tersebut sejak empat bulan lalu tanpa sebarang usaha penyelenggaraan dilakukan oleh pihak berwajib.

Tinjauan wartawan mendapati terdapat lebih 20 lampu jalan di kawasan berkenaan namun kesemuanya terpacak sekadar hiasan. Keadaan lebih diburukkan lagi apabila keadaan jalan di kawasan itu tidak rata dan mendedahkan pengguna kepada risiko bahaya.

Selain itu, ketiadaan pembahagi jalan di kiri dan kanan laluan tersebut mengakibatkan ramai penunggang motosikal terbabas ke dalam longkang sedalam satu meter yang berada di situ.

Rata-rata pengguna jalan tersebut melahirkan rasa kesal terhadap pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang gagal melaksanakan kerja-kerja memperbaiki lampu-lampu jalan dan menurap semula jalan di kawasan itu.

Ketiadaan penghadang jalan di kiri dan kanan di Jalan Utama yang menghubungkan Taman Meru Empat dan pekan Kapar Klang, Selangor menambah kengerian pengguna jalan tersebut.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Hafiz Mat Diah, 28, mengakui pernah melihat sendiri kejadian seorang penunggang motosikal jatuh kerana hilang kawalan ketika melalui laluan yang tidak rata itu.

"Nasib baik penunggang motosikal berkenaan tidak tercampak ke tengah jalan kerana dalam keadaan yang gelap, ada kemungkinan penunggang itu dirempuh oleh kenderaan lain yang datang dari belakang.

"Sudah tiba masanya MPK memandang serius masalah lampu jalan yang telah lama rosak di sini demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

"Kerja-kerja baik pulih perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Fathan Farid Fauzi, 18 yang sering menggunakan jalan tersebut untuk ke tempat kerja berkata, lampu jalan di kawasan itu amat diperlukan kerana laluan berkenaan merupakan penghubung utama pekan Meru dan Kapar.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah pengguna di jalan berkenaan semakin banyak terutamanya kenderaan berat.

"Jalan ini memang sentiasa sibuk tidak kira siang atau malam," katanya.

Tambahnya, dia sentiasa bimbang melalui jalan tersebut pada waktu malam kerana terdapat banyak kenderaan berat seperti bas dan lori turut menggunakan laluan yang sama.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Norherman Baharon, 38 berkata, pihak yang bertanggungjawab diharap tidak memandang ringan terhadap keperluan pengguna untuk mendapat kemudahan lampu jalan di situ,

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

"Kerajaan negeri yang kononnya terkenal sebagai kerajaan berkebajikan sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah ini.

"Saya khuatir keadaan jalan yang gelap akan mengundang kejadian tidak diingini," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan