Jumaat, Januari 18, 2013

Politik kasih sayang sandiwara baharu pembangkang?



Dalam ucapan pra Himpunan Shamsidar di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara malam kelmarin, seorang pemimpin pakatan pembangkang mengajak khalayaknya supaya memulakan politik baharu. Politik baharu yang diserukan itu ialah politik kasih sayang. Sungguh, satu jargon politik yang mempesona dan menggiurkan daripada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Tetapi malangnya ajakan itu tak berpijak di bumi nyata. Ajakan itu hanya satu tipu daya, helah untuk menutupi kelemahan sendiri. Partinya, PKR yang diberi kuasa memerintah Selangor malah menjadikan masalah rakyat sebagai senjata kepuasan peribadi.

Sukar diterima akal sihat apabila seorang Menteri Besar menyifatkan krisis bekalan air yang menjejaskan lebih 500,000 penduduk di sekitar Ampang dan Gombak sejak seminggu lalu sebagai 'memberi kedudukan lebih baik dan menggembirakan' Kerajaan PKR Selangor. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini.


Dari awal lagi beliau sudah menyediakan jawapan kepada masalah ini iaitu semuanya salah syarikat konsesi, Syabas. Masalah ini bahkan dijadikan alasan untuk menekan Kerajaan Pusat agar menunaikan permintaan mereka menguasai sepenuhnya operasi yang dilakukan oleh Syabas.

Hanya itukah yang ada dalam pemikiran korporat beliau - kekuasaan dan kepentingan ekonomi - bukan segera mengenal pasti langkah bagi mengatasi masalah rakyat yang terpaksa bersusah payah selama beberapa hari ini mendapatkan bekalan air bersih?

Masalah asas rakyat yang masih belum dipenuhi oleh kerajaan ini semakin seru apabila pakar strategi mereka, Rafizi Ramli yang juga dikenal pakar segala hal, ikut campur bagi menghalalkan kenyataan tidak bertanggungjawab Abdul Khalid itu.

"Ini sabotaj politik," tuduhnya. Krisis air yang selalu cuba diingatkan oleh pakar-pakar bekalan air dan juga Kerajaan PKR Selangor menurut Rafizi ialah jerat musuh politik untuk menanam kebencian rakyat kepada kerajaan pakatan pembangkang.


Lupakah beliau masalah dan krisis air inilah yang selalu dinyatakan oleh Kerajaan Pusat supaya diatasi segera? Infrastruktur sedia ada sudah tidak mencukupi untuk menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat. Perlu ada langkah baharu.

Mereka tahu kebenaran itu. Mungkin sebab itu, lagi-lagi Rafizi bermain sentimen dengan membangkitkan gaji besar pimpinan Syabas.

Juga, lupakah mereka bahawa Kerajaan PKR Selangor adalah pemilik Syabas? Kerajaan Selangor memiliki 30 peratus saham. Dua orang wakil mereka ada dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan. Tidurkah dua wakil mereka ini? Atau lebih mudah lantik sahaja Rafizi yang serba boleh itu untuk menyertai Syabas.

Sabotaj

Dengan kata lain mereka ada kuasa dalam Syabas. Syabas adalah di bawah kendalian kerajaan negeri. Jadi kalau menyalahkan Syabas, itu umpama menuding jari ke muka sendiri. Kalau kononnya ada sabotaj daripada Syabas, itu umpama mahu mensabotaj diri sendiri, rakyat sendiri.

Memang sudah tiba masanya untuk pakatan pembangkang berubah kepada politik kasih sayang. Ubahlah sementara masih ada daya dan tenaga. Soalnya, mungkinkah hal itu yang mahu mereka lakukan?

Sebaliknya seperti yang dilakukan di Selangor, politik perpecahan dan politik adu domba menjadi amalan serta strategi demi kelangsungan survival mereka. Mereka begitu takut dengan politik kasih sayang. Mereka bimbang jika politik kasih sayang menjadi anutan habislah pengaruh dan kekuasaan yang ada sekarang.

Lihatlah bagaimana Pas bersungguh-sungguh mempertahan dan memelihara Amanat Haji Hadi walaupun sejak berkurun-kurun amanat itu telah menyebabkan perpecahan kronik umat Islam. Mereka tak peduli pun fatwa kebangsaan mahupun nasihat para ulama tentang kesan dan peri bahayanya amanat itu.

Ada sahaja alasan yang diberikan semata-mata mahu menegakkan amanat tersebut, sekali gus mempertahankan pimpinan mereka. Jelas selama ini Pas banyak bergantung kepada politik perpecahan dan adu domba untuk meraih kekuasaan.

Dalam memberikan justifikasi Amanat Haji Hadi itu mereka sanggup pula menyatakan perpecahan sudah lama wujud iaitu sejak ada politik. Begitu sekalikah perilaku mereka yang bangga dengan politik perpecahan ini? Mengapa bersungguh-sungguh benar mendambakan politik perpecahan dan bukannya politik kasih sayang?

Jika benar bagai dikata mereka mengagungkan politik kasih sayang tidaklah Setiausaha Agung DAP membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam perutusan Krismas Ketua Menteri Pulau Pinang itu. Itukah tanda kasih sayang terhadap umat Islam, majoriti penduduk negara ini?


Keceluparan mulut Guan Eng yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam sama sekali tidak membantu usaha mewujudkan negara Malaysia yang harmoni. Mesej hari perayaan Krismas yang sepatutnya digunakan untuk menyemarakkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang agama kini menjadi polemik yang membahayakan.

Apakah Guan Eng mahu bertanggungjawab? Jangan harap. Sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Abdul Khalid dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin yang bangga dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz ini dilihat memang gemar bermain dengan politik perpecahan.

Jadi sia-sialah ajakan politik baharu, politik kasih sayang yang disuarakan pada malam pra Himpunan Shamsidar itu. Perkara itu tiada memberi apa-apa makna kepada pemimpin pakatan pembangkang. Hal itu hanya sandiwara.

Para politikus kita, seperti yang dipertontonkan semasa mereka berucap dalam Himpunan Shamsidar di Stadium Merdeka itu hanya pandai mengumbar dusta. Berkata dusta bagi politikus ini sudah menjadi makanan harian sehinggakan kita semakin hilang kepercayaan terhadap mereka.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan